Bukan hanya Hanis Zalikha, kita yang ada anak kecil ni pun turut geram dengan Bill Gates ni. Dia cipta pelbagai kemudahan dalam teknologi gajet tetapi tak benarkan anak sendiri guna gajet masa kecil.
Ramai yang pernah baca dan tahu bahawa Bill Gates sangat tegas terhadap peraturan memberikan gajet pada anak-anaknya. Lelaki terkaya di dunia ini juga telah menetapkan had usia, sebelum anak-anaknya boleh memiliki telefon pintar sendiri.
Hanis Zalikha sendiri kalau boleh memang tak nak bagi anak sulungnya, Yusof Iskandar main gajet. “Umur berapa nak bagi anak gajet? Entah. Tak nak bagi boleh tak.
Geram baca Bill Gates and other tech giants dekat Silicon Valley pun bagi anak diaorang gajet bila anak diaorang cecah 14 tahun ke atas. Padahal diorang yang cipta benda-benda camni. Tapi diaorang pun beranggapan yang gajet dan easy access to things ni sangat harmful.
Kita macam mana? Takut anak ketinggalan? Tak up-to-date? We are so clueless, kesiannya kita. Tak ada resipi atau formula yang betul-betul terbukti selamat dalam pada menyediakan anak menghadapi masa depan. Kita nak didik anak mengikut zaman, tapi berada dalam zaman yang menakutkan.
Ramai tanya what is our stand with Yusuf and gadget. Just like all parents, kita pun tengah navigate our way through it, mula-mula try cara ni, pastu cuba cara tu pulak. Macam-macam.
But for now, we only allow channels on TV. So dia tak ada pilihan nak suruh kita tukar-tukar. Macam kita dulu kena duduk je tengok iklan coklat Apollo terbang banyak-banyak kat angkasa.
Yusuf suka tonton Baby TV (channel 618, Astro), banyak vocabs bagus dia belajar dari situ,” kongsi Hanis Zalikha.
Amalan Bill Gates
- Anak tidak boleh memiliki telefon pintar atau gajet sebelum berusia 14 tahun.
- Sesiapa pun tidak boleh memegang telefon sewaktu di meja makan.
- Membataskan ‘waktu di depan skrin’ atau screen time supaya mereka meluangkan lebih masa dengan keluarga.
- Menetapkan waktu untuk menggunakan gajet atau menonton televisyen.
Keburukan Gajet Terhadap Anak-Anak
- Anak-anak cepat terpengaruh perbuatan negatif atau bahasa kesat di Internet.
- Ketagih Internet hingga susah bersosial dengan baik dan tiada teman bermain.
- Terdorong menjadi mangsa ‘predator’ atau pembuli di dunia digital.
- Menjejaskan perkembangan otak anak-anak.
- Terlalu bergantung pada gajet hingga tidak pandai menyelesaikan masalah.
- Membuatkan anak-anak malas bergerak dan melambatkan sistem motor mereka.
Semoga perkongsian Hanis Zalikha ini turut diamalkan oleh mak-mak moden supaya tidak menjadikan gajet sebagai hiburan anak-anak. Sebab selain menjejaskan kesihatan mata, lebih banyak pengaruh buruk daripada baik yang boleh menjejaskan tumbesaran si manja.
Ingkar PKP, DSP Noorhamasiren Boonthnam Tegas Ambil Tindakan Demi Kepentingan Orang Ramai
Sempena sambutan Hari Polis ke-214 hari ini, Nona terpanggil untuk mengimbau kisah Fokus bersama DSP Noorhamasiren yang kini baru saja menggalas jawatan baru sebagai DSP Kolaborasi Agensi Bukan Kerajaan di Bahagian Kepolisian Komuniti, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibupejabat Polis Bukit Aman.
Sebagai salah seorang anggota PDRM, frontliner hebat ini telah banyak mencurahkan khidmat bakti, komitmen mahupun pengorbanan dalam memastikan kedaulatan, keselamatan negara dan ketenteraman awam sentiasa terjamin. Apatah lagi dalam memerangi wabak COVID-19 sejak dari tahun lalu.
DSP Noorhamasiren Boonthnam Ekkasook sebelum ini menggalas jawatan Pemangku Pegawai Turus D11 (Seksual, Wanita & Kanak-Kanak) di Jabatan Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Kontinjen Selangor.
Namun bermula Mac, beliau telah bertukar ke Bukit Aman dengan memegang portfolio yang lebih besar dan mencabar.
“Tugas saya kini lebih kepada pencegahan jenayah. Objektif Jabatan adalah untuk merangka strategi serta melaksanakan inisiatif-inisiatif dengan objektif untuk mengurangkan jenayah dan meningkatkan persepsi keselamatan,” ujar wanita kacukan Melayu Siam yang mesra disapa Puan Siren itu.
Temu bual Nona dengan Puan Siren yang viral dengan gelaran Akak Polis ini antara kenangan terindah kami tahun lepas! Jom tonton…
Perbualan kami tentang tugasannya sepanjang Ops COVID-19 (Perintah Kawalan Pergerakan) lalu cukup meniupkan inspirasi, sekaligus membuat penulis tambah kagum dengan keberanian wirawati negara tersebut.
“Pada 16 Mac 2020, Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan PKP selama dua minggu mulai 18 hingga 31 Mac di seluruh negara, disebabkan situasi ancaman wabak COVID-19 yang menimbulkan kebimbangan. Jadi PDRM berperanan sebagai agensi yang membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mengekang penularan pandemik tersebut.
Objektif kami jelas untuk menyedarkan masyarakat bahaya COVID-19 dan memastikan PKP dipatuhi. Operasi pasukan saya terdiri daripada seorang pegawai dan tiga orang APR, untuk memantau kawasan-kawasan yang dikenal pasti sering menjadi tumpuan orang awam.
Pendekatan yang kami gunakan sebenarnya lebih kepada memberi nasihat secara berhemah kepada orang ramai yang berkumpul, supaya beredar dan mematuhi PKP yang dikuat kuasakan,” cerita Puan Siren panjang lebar.
KETEGASAN
Di sebalik perwatakan tegas beliau, Puan Siren sebenarnya seorang yang amat komited dalam tugas, berdisiplin tinggi dan berintegriti kerana mereka membawa nama pasukan PDRM.
“Wajah saya mungkin nampak garang tapi niat hanya mahu memberi teguran, nasihat dan jika perlu mengeluarkan kompaun serta tangkapan individu yang melanggar undang-undang.
Khususnya ketika Ops COVID-19, kami perlu tegas mengambil tindakan terhadap individu yang mengingkari PKPB dengan melakukan kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) atau mana-mana peraturan yang dibuat dibawah Akta ini.
Bagi menangani perkara ini, tindakan penguatkuasaan mengkompaun kesalahan terhadap mana-mana orang yang mengingkari PKPB akan diambil sebagaimana kuasa yang diberikan di bawah seksyen 22 akta yang sama.”
“Tidak dinafikan sebagai frontliners, kebimbangan terhadap penyakit sudah tentu ada kerana kami sentiasa keluar bertemu masyarakat. Begitu juga apabila menjalankan tugas, rasa bimbang terhadap keselamatan keluarga serta terhadap setiap orang yang ditahan kerana tidak mengetahui latar belakang mereka.
Cabaran lain adalah dari segi menguruskan keluarga kerana saya perlu meninggalkan suami dan anak-anak pada bulan Ramadan untuk menjalankan tugas. Pernah juga bersahur dan berbuka di tepi jalan masa tu.
Sebenarnya sebagai pegawai polis, saya berjumpa pelbagai karakter manusia. Mahu atau tidak, saya mesti melengkapkan diri dengan kekuatan mental, fizikal dan emosi.
Setakat sakit-sakit ringan macam pening kepala, selesema atau batuk, itu perkara biasa. Ada kalanya bertemu orang susah sampai tersentuh hati dan perasaan, tapi demi tugas diteruskan juga,” luah Puan Siren.
Menyentuh secara ringkas latar belakang Puan Siren, wanita ini mula berkhidmat dalam PDRM pada 1 Oktober 2000 sebagai Inspektor Pelatih. Selepas tamat latihan, beliau diarahkan bertugas di Ibupejabat Polis Daerah Kajang sebagai Pegawai Penyiasat Siasatan Seksual.
Kemudian beliau bertugas sebagai Pemangku Pegawai Turus D11 (Seksual, Wanita dan Kanak-kanak) Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor sebelum berpindah ke Bukit Aman baru-baru ini.
“Bulan Oktober 2020 menandakan tahun ke-20 usia perkhidmatan saya. Alhamdulilah keluarga amat memahami tugas dan kerjaya ini. Sebenarnya penglibatan saya dalam operasi Jabatan Siasatan Jenayah, bukanlah satu perkara baru.
Tetapi operasi kali ini berbeza sebagai Pegawai Pemantauan dan Penguatkuasaan Ops COVID-19, yang mana kami berlawan dengan sejenis virus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan sememangnya menjadi ancaman kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.
Setiap kali keluar bertugas, perasaan bimbang dan takut sememangnya ada, kerana saya mempunyai keluarga yang perlu dijaga dan kemungkinan kita menjadi ejen pembawa kuman tersebut kepada ahli keluarga sendiri.
Mujurlah keluarga memahami dan selalu menasihati saya supaya sentiasa mengambil langkah-langkah keselamatan seperti yang telah dinasihatkan oleh KKM.
Soal perlindungan diri menjadi keutamaan kami. Kami perlu memakai sut PPE, mask, sarung tangan dan mengamalkan penggunaan hand sanitizer yang sentiasa berada di poket saya.”
Kerjaya beruniform merupakan cita-cita Puan Siren sejak kecil. Ceritanya, sejak di bangku sekolah lagi beliau telah dilantik sebagai ketua darjah, dan di peringkat sekolah menengah dilantik sebagai ketua tingkatan dan pengawas, juga kerap menyertai pasukan beruniform seperti Kadet Polis.
Daripada aktiviti kepimpinan yang dijalankan, minat beliau terhadap imej, ketrampilan, ketegasan dan disiplin anggota beruniform cukup menarik minatnya.
“Misi saya sekarang dalam Jabatan amat jelas iaitu ingin mencegah jenayah secara holistikke arah pengwujudan komuniti sejahtera. Kami sebagai agensi penguatkuasa utama yang berintegriti akan selalu kompeten dan komited bekerja untuk masyarakat,” akhiri Puan Siren sambil tersenyum.
Setinggi-tinggi penghargaan daripada kami buat seluruh warga kerja PDRM. Terima kasih di atas pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengira penat lelah dan masa sebagai petugas barisan hadapan selama ini. Polis dan masyarakat berpisah tiada!
21 Tahun Hidup Bersama, Amy Aziz Isteri DR AHMAD IDHAM Kongsi Rahsia Kebahagiaan Rumahtangga
Siapa yang tak kenal dengan pengarah, penerbit filem dan pelakon, Ahmad Idham yang terkenal menerusi drama bersiri popular iaitu ‘Cinta Antara Benua’ dan ‘Cinderella’. Kini bahagia bersama keluarga dan dikurniakan empat anak berusia belasan tahun.
Isteri tercintanya, Amy Aziz sentiasa menjadi tulang belakang di saat susah mahupun senang. Pasangan ini mendirikan rumahtangga pada tahun 1999 dan antara pasangan yang jarang dilanda gosip rumahtangga. Berikut perkongsian Amy Aziz kepada Nona bagaimana dia menjaga kebahagiaan rumahtangga selama 21 tahun.
RAHSIA KEKAL BAHAGIA
“Bila berkahwin dengan seorang selebriti, saya perlu bersedia dengan segala dugaan dalam perkahwinan. Kami amalkan toleransi dan tak cepat melatah jika ada sebarang gosip. Alhamdullilah kami mampu harunginya bersama. Bohonglah kalau kata tak pernah bergaduh, yang penting jangan pendam dalam hati.
Suami seorang simple man dan sentiasa tenang dalam menangani masalah. Saya pula jenis yang tak suka pendam. Saya akan luah semuanya baru rasa lega. Kami juga tak akan sesekali bergaduh depan anak-anak. Mereka sedang membesar, kalau kita tunjuk sikap tak baik secara tak langsung mereka akan buat perkara yang sama kelak. We are their role model.”
BANGGA KEJAYAAN SUAMI
Saya sentiasa menyokong dan bangga dengan setiap kejayaan suami. Berjaya menamatkan pengajiannya di peringkat Doktor Falsafah (Ph.D.) adalah pencapaian terbesar suami sekaligus mendidik anak-anak tentang betapa pentingnya ilmu. Arwah ayah saya adalah penyokong tegarnya kerana sentiasa berbangga dengan pencapaian suami.
Syukur alhamdulillah, suami diberi kepercayaan sekali lagi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) berkuatkuasa 5 Jun 2020 sehingga 6 Jun 2022. Banyak dugaan yang dihadapi dari permulaan perlantikannya sejak Mac 2019. Semoga di bawah pimpinan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, YB Dato’ Saifuddin Abdullah dapat dia membangunkan semula industri kreatif tanahair selepas negara mengalami pandemik COVID-19. All the best to him!
MILIKI ANAK ISTIMEWA
Sebagai manusia biasa pasangan ini juga tidak terkecuali daripada menerima ujian. Anak sulung mereka, Ahmad Firdaus Ahmad Idham, 20, merupakan seorang anak istimewa. Ketika usianya dua tahun Ahmad Firdaus diserang sawan dan doktor mengesahkan dia mengalami focal encephalitis sehingga mengalami kesukaran berjalan dan bertutur.
“Sejak awal usianya Abang (panggilan kepada anak sulung) seorang anak yang aktif. Sehinggalah suatu hari dia mengalami sawan ketika usia dua tahun yang menyebabkannya sukar berjalan dan bertutur. Sebagai ibu bapa, kami pastinya sedih. Dalam tempoh dua tahun itu akademiknya terganggu kerana banyak yang delay.
Kini usianya sudah 20 tahun. Banyak perubahan positif berlaku pada dirinya seperti pandai berdikari, lebih berani dan yakin. Setiap perkembangan walau sedikit tetap menjadi kebanggaan kami. Hanya ibu bapa yang memiliki anak istimewa saja faham keadaan seperti ini.
Kami mempunyai banyak support system iaitu keluarga dan teman-teman rapat. Alhamdulillah hingga ke hari ini Ahmad Firdaus tidak pernah dikecam atau dihina dengan keadaannya itu. Ahmad Firdaus bertuah kerana disayangi ramai orang.
Kami sentiasa memberikan yang terbaik buat Abang sama seperti anak-anak yang lain. Sebagai ibu, saya sentiasa ada untuk Ahmad Firdaus. Sekurang-kurangnya bila saya sudah tiada nanti saya dah tinggalkannya dalam keadaan selamat dan pandai berdikari.
Ahmad Firdaus seorang yang bersungguh-sungguh untuk mendapatkan apa yang dia mahu. Semua perkara dianggap penting baginya. Sehinggakan saya sering bercakap pada diri sendiri dan anak-anak yang lain “If only Abang is normal I’m sure he would be the smartest among all”
DIDIKAN
Anak-anak yang lain memang rapat dengan anak sulung. Kerana sejak kecil kami didik mereka saling menghormati, prihatin dan tak pandang rendah kepada orang lain. Tak semua keluarga bertuah dikurniakan anak istimewa seperti keluarga kami.
Sebagai ibu saya layan mereka seperti sahabat termasuk berkongsi cerita, pendapat mahupun masalah. Selalunya mereka lebih selesa dengan saya kalau berkongsi masalah atau meluah perasaan. Jika ada sebarang masalah berkaitan anak-anak, saya akan update kepada suami.
Sekarang ini kami ada banyak masa untuk mengaji dan solat berjemaah. Kami juga sering berpesan kepada mereka, kalau nak kesenangan di dunia jangan lupa Allah SWT. Harapan kami dapat melihat kejayaan mereka sebelum menutup mata.”
Tiga lagi anak pasangan ini ialah Ahmad Aydeel, 16, Kintan Myra, 14, dan Ahmad Khaliff, 10.
UMUR 44 TAHUN MASIH AWET MUDA
Tahun ini usia saya 44 tahun dan suami pula 49 tahun. Segalanya bermula dengan amalan gaya hidup sihat. Antara rutin sihat dan cergas saya ialah workout tiga kali seminggu dan sesekali turun bermain golf bersama suami. Saya tak makan nasi setiap hari namun masih mengikut diet seimbang. Saya juga tak ambil suplemen kerana kurang percaya dengan cara ‘segera’ untuk kurangkan berat badan. Bagi saya amalan gaya hidup sihat itu yang terbaik.
EDEN FIRDAUS SCHOOL
Dikurniakan anak istimewa telah mencetuskan idea untuk Amy dan suami menubuhkan Eden Firdaus School pada Februari 2016. Ia sebuah sekolah pendidikan khas dan terapi sempurna buat anak-anak istimewa (OKU).
“Sebelum ini kami menempatkan anak sulung di Saint Claire, Singapura pada tahun 2014. Dua tahun di sana kami nampak perkembangan positifnya. Dari situlah tercetusnya idea membina Eden Firdaus School. Ditambah pula dengan pengalaman saya yang hampir 20 tahun mengendalikan pusat jagaan dan pendidikan kanak-kanak.
Sekolah ini dikhususkan bagi mempersiapkan kanak-kanak istimewa ini menempuh dunia luar sekaligus menjadikan mereka seorang yang mampu berdikari tanpa perlu bergantung kepada orang lain. Harapan kami agar Eden Firdaus School menjadi hab sekolah pendidikan khas terkemuka suatu hari nanti. Semoga usaha ini mendapat sokongan kerajaan.”
Amy mempunyai latar belakang pendidikan awal kanak-kanak dan pernah menubuhkan Tadika Sinar Indah Montessori di Ampang sekitar 1998-2010.
Kredit foto: IG @amyabdaziz
“Walau Tetamu Itu Musuhmu, Jamulah Dia Bagai Raja!” Pesanan FAZIANI ROHBAN Segar Di Ingatan Anak!
Jumaat lalu genap 40 hari pengasas produk kecantikan Dnars, Allahyarham Faziani Rohban kembali ke rahmatullah. Meskipun sudah lebih sebulan usahawan berjiwa pemurah ini meninggal dunia… setiap jasa baik dan amalan yang dilakukan arwah sepanjang hayat sentiasa segar dan terpahat kemas di sanubari. Lebih-lebih lagi dalam kalangan insan memerlukan, anak-anak yatim dan pelajar tahfiz.
Perginya arwah Faziani meninggalkan seribu satu pengajaran… bukan saja kepada masyarakat tetapi juga lapan cahaya mata arwah. Salah seorang anak yang nekad meneruskan sifat terpuji arwah Faziani ialah Irdiena Hakim berusia 16 tahun dan dikatakan antara anak yang memiliki raut wajah paling iras dengan ibunda tersayang.
Berkongsi suasana ketika kenduri tahlil di kediaman arwah di Tumpat, Kelantan… Irdiena menzahirkan rasa syukur atas kehadiran tetamu yang sudi meluangkan masa mendoakan kesejahteraan arwah dan keluarga.
“Terima kasih kepada semua yang hadir bagi majlis kenduri tahlil 40 hari arwah bonda tercinta saya Hajah Faziani Bt Rohban Ahmad pada 28 Jun bersamaan hari yang mulia hari Jumaat yang lalu.
Sesungguhnya memberi itu adalah hobi arwah, saya selalu ingat pesan arwah… ‘Lebih banyak kita memberi lebih banyak lagi Tuhan akan berikan kepada kita kakak.’ Tenanglah di sana bidadariku. Aku di sini akan meneruskan setiap hobimu di rumah ini iaitu memberi dan menjamu tetamu bagaikan raja.
Selalu aku ingat pesananmu ‘Walaupun tetamu itu adalah musuhmu, tapi jamulah ia bagaikan raja. Sesungguhnya kekayaan yang kita ada ini kerana tetamu, tetamu itu adalah pembawa rezeki dan rahmat.’
Manakala yang lain sedang menaikkan legasi kita bonda, kakak di sini akan sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik bagi menjaga istanamu dan 8 permata yang telah engkau tinggalkan.”
Team Nona sendiri pernah menyaksikan betapa arwah sangat pemurah orangnya ketika sesi fotografi di kediaman arwah sekitar Mac lalu. Menyambut tetamu dengan tangan terbuka dan penuh senyuman… arwah tidak sekadar menjamu kami dengan hidangan yang pelbagai bahkan turut menghadiahkan sehelai telekung sebagai kenang-kenangan. Allahu, baiknya hati arwah Faziani.
Terkenang kembali sisi ceria dan peramah isteri Ahmad Shah Rizal Ibrahim sewaktu menjadi penghias kulit Nona pada Mei 2016. Tika itu anak bongsunya, Qaseh Khadija baru mencecah usia tiga tahun.
Yang pasti, perniagaan Dnars cukup dekat di hati Irdiena kerana arwah Faziani menamakan produk berkenaan daripada singkatan nama Irdiena. Kata-kata arwah yang paling penulis ingat sehingga sekarang ialah sikapnya yang suka mendahulukan orang lain.
Antara bait-bait kata yang disampaikan arwah, “Rezeki untuk dikongsi dan Dnars bukan rezeki saya seorang. Konsep saya, rezeki yang diterima hari ini patut dikongsi bersama orang lain. Rezeki itu datang daripada kita untuk diagihkan kepada semua.
Saya sering tanamkan dalam hati supaya tidak rasa sayang mengeluarkan duit untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan. Orang paling utama dalam hidup saya adalah ibu bapa, anak-anak, suami dan adik-beradik. Akhir sekali baru saya fikirkan tentang diri sendiri.
Kalau dia hendak tarik nikmat ini sekejap saja. Memang saya mahu semuanya berpanjangan. Tetapi apa yang akan berlaku kelak saya reda dan tak mahu riak. Bila saya senang, Tuhan hadirkan semua orang susah di sekeliling saya.
Saya tahu Dia nak uji sebab itu niat saya waktu pernah susah dulu. Bulatkan hati dan niat kita. Kalau kita tengah makan dan ada orang datang minta sedekah, beri sumbangan ikut kemampuan kita. Saya percaya ada ketika bukan doa kita saja yang sampai ke Tuhan. Doa orang-orang yang kita bantu inilah yang memurahkan lagi rezeki kita.”
Mulianya hati dia. Moga Allahyarham Faziani ditempatkan dalam kalangan orang-orang beramal soleh dan usaha murni yang pernah dilakukan menjadi sumber inspirasi kepada semua untuk saling membantu dan mengejar akhirat.
Kredit foto: Instagram Dnarfaziani
Kredit: Instagram Dnar Faziani