Tindakan usahawan Huda Beauty, Huda Kattan ini menggunakan platform media sosial sebagai medium menyokong dan membela nasib rakyat Palestin yang dilanda kekacauan kebelakangan ini mendapat pujian masyarakat Muslim seluruh dunia.
Cukup lantang menyuarakan pendapat dan membantu saudara Islam, Huda yang berketurunan Iraq tidak kisah dikecam atau produk kosmetik keluarannya diboikot.
Sebaliknya dia terus berani berkongsi video dan situasi terkini yang sedang menimpa Palestin hingga ke hari ini.
Demi meningkatkan kesedaran dunia mengenai insiden duka yang sedang dilalui penduduk di bumi anbia itu, Huda komited menggunakan media sosial Instagram miliknya yang mempunyai lebih tiga juta followers untuk usaha murni itu.
Apatah lagi jenama kosmetik ternama antarabangsa berkenaan memang sudah cukup berjaya menjual rangkaian produk mereka hanya menerusi dalam talian.
Luah Huda, “I’m horrified by the scenes coming out of Gaza. Time is running out for the children of Gaza; hundreds of children have already been killed and injured.
Hospitals are overwhelmed, and the numbers keep rising. No child should have to witness this!”
Huda yang kini berusia 40 tahun berhijrah ke Boston ketika dia baru berumur dua tahun.
Memetik laporan Vogue Arabia, Huda dilahirkan pada 2 Oktober 1983 di Oklahoma dan mewarisi keturunan Iraq daripada kedua ibu bapanya yang berhijrah ke United Kingdom untuk mengajar subjek Biologi di samping mendalami bidang kejuruteraan mekanikal.
Huda merupakan anak kedua daripada empat beradik. Kakaknya, Alya ialah 10 tahun berusia darinya dan dia mempunyai seorang adik perempuan dan lelaki masing-masing bernama Mona dan Khalid. Semasa tinggal di kejiranan Boston, Huda dikenali dengan nama panggilan ‘Heidi’.
Merujuk kenyataan Huda bersama Vogue pada tahun 2015, “Saya suka dengan nama Huda tapi masyarakat di sana menganggap nama tersebut pelik. Bagaimanapun setelah berpindah ke Massachusetts, rakan-rakan menyambut baik nama Huda. Begitu juga bila mereka tahu saya berketurunan Iraq.”
Ketika melanjutkan pengajian dalam bidang kewangan di University of Michigan-Dearbon, Huda berkenalan dengan Chris Goncalo iaitu suaminya hari ini. Pasangan ini dikatakan berhijrah ke Dubai pada tahun 2006 dan menyambut cahaya mata perempuan diberi nama Nour Gisele tidak lama kemudian.
Sebelum bergelar usahawan kosmetik berjaya, Huda pernah menjadi makeup artist di Hollywood dan mula didedahkan dengan produk kecantikan melalui kakaknya sendiri, Alya.
Figura yang memiliki raut wajah cantik dan bibir mungil ini sudah menjadi blogger
sejak tahun 2010 lagi seterusnya mencipta populariti di alam maya selepas tip dan petua kecantikannya menjadi viral.Tiga tahun bergelar blogger, Huda mendapat inspirasi menghasilkan bulu mata palsu selepas dia sukar mendapatkan produk berkenaan di pasaran.
Bermula dari situlah, empayar Huda Beauty diterajui tiga beradik ini wujud dan terus berkembang hingga ke peringkat antarabangsa.
Rangkaian kosmetik Huda Beauty kini mempunyai lebih 140 produk yang terdiri daripada set pembayang mata, bedak asas, variasi gincu bibir, kuku palsu dan sebagainya yang dianggarkan mencecah jualan tahunan tidak kurang USD 250 juta.
Melihat kejayaan itu, tidak hairanlah Forbes menyenaraikan Huda Kattan antara 2019 America’s Richest Self-Made Women berjumlah USD 610 juta.
Artikel berkaitan https://www.nona.my/keturunan-palestin-adik-beradik-hadid-ini-pertahan-maruah-tanah-air-bapa/
This website uses cookies.