Sekarang ambil cermin muka dan lihat wajah anda. Perhatikan bahagian pipi dan dagu. Adakah ia berbentuk V atau U? Trend sekarang siapa yang memiliki raut wajah runcing, dagu berbentuk V, putih gebu dan kurus ramping itulah yang dipandang cantik.
Raut wajah berbentuk U atau kendur khususnya di bahagian pipi dan dagu berlapis pastinya membuat wajah tampil tua dari usia. Tidak dapat dinafikan, apabila usia kian meningkat, kebanyakan kita mudah menjadi gemuk di mana lebihan lemak juga boleh berkumpul di bawah dagu, rahang dan pipi. Lebihan lemak ini menyebabkan dagu menjadi berlapis, lebih besar dan tidak menarik.
Namun, ada sesetengah orang mempunyai otot pipi yang tebal dinamakan otot masseter yang berfungsi untuk mengunyah dan mengetap mulut. Ada individu dilahirkan dengan otot pipi yang tebal tetapi ada juga individu yang suka mengunyah gula getah atau mengetap gigi.
Perbuatan ini boleh menyebabkan otot pipi menjadi tebal dan besar. Mempunyai otot masseter yang tebal menampakkan seseorang itu mempunyai dagu yang bersegi.
Malah, tidak dinafikan semakin usia meningkat, kulit muka mula kehilangan elastisiti sekaligus menyebabkan pipi jatuh akibat isi pipi berkurangan dan otot pipi menjadi lemah serta lembik. Secara tidak langsung, ini akan menyebabkan dagu yang runcing berbentuk V, bertukar bentuk tebal dan besar menjadi bentuk U.
Ada beberapa faktor yang dikenal pasti penyebab kulit kendur dan kehilangan elastisitinya. Antaranya:
Usia yang bertambah. Kebiasaan, kulit mula menjadi kendur apabila usia mencecah 35 tahun dan ke atas. Namun, individu berusia 20 tahun juga mempunyai keberangkalian yang sama.
- Faktor graviti dimana salah teknik mengoles perawatan wajah.
- Kurang tidur, stres, merokok, dan mengambil minuman beralkohol.
- Tabiat menggosok-gosok mata dan bahagian wajah.
- Terdedah kepada sinaran UV dan tidak memakai krim pelindung matahari.
- Diet tidak seimbang dan gemar mengambil makanan manis.
SENAMAN MERUNCINGKAN MUKA
- Berdiri tegak dan lihat ke hadapan. Menggunakan belakang telapak tangan, lakukan pergerakan menyepak bergilir-gilir dengan tangan kiri dan kanan. Lakukan sebanyak 40 kali.
- Berdiri tegak dan lihat ke hadapan. Jelirkan lidah sepanjang yang boleh. Ulangi sebanyak 10 kali. Pasti anda akan alami kesannya kerana otot di bahagian leher akan berasa tegang dan ketat.
- Menggunakan otot muka dan leher, cuba angkat bahagian bawah bibir melewati bibir atas sejauh yang boleh. Ulangi sebanyak 10 kali.
- Buat senaman muka a e i o u setiap pagi, petang atau malam 40 kali semasa menghadap cermin untuk mencantikkan bentuk muka.
- Tepuk dagu menggunakan belakang tangan setiap pagi, petang atau malam 40 kali sambil menghadap cermin untuk mengurangkan dagu berlapis.
- Berteleku di bibir katil, topangkan telapak tangan untuk menampung dagu setiap kali bangun pagi selama 10 minit. Siku di atas lutut untuk mengurangkan dagu berlapis.
- Berteleku di bibir katil, tundukkan kepala dan tampung muka dengan telapak tangan (penuhkan muka dengan telapak tangan), siku di atas lutut, 10 minit untuk mengurangkan muka sembab dan menaikkan tulang pipi.
TIP KECILKAN PIPI
- Cara instant adalah teknik solekan.
- Tepuk pipi 2-3 minit untuk melancarkan pengaliran darah di bahagian pipi.
- Urut pipi dan rahang dengan tapak tangan secara membulat mengikut arah lawan jam.
- Rajinlah untuk senyum.
- Senaman pipi, sebut huruf a-e-i-o-u.
- Banyakkan senaman harian, lemak-lemak terbakar dengan baik.
- Amalkan diet pemakanan yang betul disamping suplemen tambahan.
TIP HILANGKAN DAGU BERLAPIS
- Gosok di bawah dagu dengan urutan dari belakang ke depan.
- Urut dagu menggunakan pergerakan dari bawah ke atas. Urutan boleh membantu mengetatkan otot dan merangsang peredaran darah. KR