Menikmati hidangan Itali tanpa rasa ragu tentang status halal. Itulah yang cuba diketengahkan oleh Positano Risto yang terletak di Publika. Sebagai sebuah restoran yang diiktiraf nombor satu di Singapura dalam kategori makanan Itali, halal dan restoran pizza, Positano Risto cuba membawakan konsep yang sama untuk para penggemar makanan Itali di Malaysia.
Selepas berjaya memperkenalkan Positano sebagai restoran Itali halal di Singapura, ia kini melebarkan sayap perniagaan ke Malaysia. Menurut pengasas Positano, Imran dan Ishak, visi mereka untuk memberikan lebih banyak pilihan makanan Itali halal dan tanpa penggunaan alkohol untuk umat Islam wajar diberi pujian kerana tidak dinafikan agak sukar untuk mencari restoran makanan Itali tanpa kehadiran alkohol di seluruh dunia.
Dengan jumlah seramai 18 million umat Islam di Malaysia, sudah tentu pasaran makanan Itali halal adalah meluas dan tidak mustahil sekiranya restoran makanan Itali halal ini boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira budaya dan agama. Di atas rasa kepercayaan bahawa industry makanan halal boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa, Imran dan Ishak memasang cita-cita untuk membuka lagi cawangan di seluruh Malaysia bagi membolehkan masyarakat Malaysia beragama Islam menikmati hidangan autentik Itali.
Positano Risto @ Publika telah membuka pintu untuk penggemar makanan Itali di Malaysia pada 9 Disember 2018 dan memilih Publika sebagai lokasi perniagaan. Dengan berbekalkan lokasi yang strategik dan kedudukan restoran yang berhadapan dengan jalan utama di Publika, sudah pastinya restoran ini menjadi pilihan untuk umat Islam menikmati hidangan Itali tanpa rasa was-was.
Mengetengahkan konsep dekorasi moden, Positano Risto @ Publika boleh memuatkan sehingga 120 tetamu dalam satu jangkamasa. Malah, dekorasi dalaman yang moden dengan mengetengahkan konsep Alfresco Patio memberikan mood yang berbeza terutamanya di waktu malam. Dengan gabungan lampu neon yang diletakkan di sekeliling pokok yang terdapat di bahagian luar restoran, ia membawakan mood romantik dan elegan, sesuai untuk acara yang bakal diadakan.
Melangkah masuk ke dalam restoran, sebuah dinding yang berlatar belakang keindahan Positano menyambut kedatangan pelanggan. Ia sering menjadi pilihan untuk para pelanggan mengabadikan gambar kenangan tanda telah menikmati hidangan di Positano! Selain ruangan dalaman restoran yang selesa, di bahagian luar Positano turut disediakan tempat menjamu selera yang selesa dan lebih santai dengan penggunaan sofa untuk menikmati hidangan minum petang dalam suasana yang mendamaikan.
Nak tahu apakah menu istimewa dihidangkan di Positano Risto, dapatkan majalah NONA edisi April 2019 yang telahpun berada di pasaran. Pasti anda mahu mengetahui menu istimewa yang disediakan disini seperti yang telah dicuba oleh penulis dan jurufoto, bukan! Selamat mencuba!