Pasangan bahagia sama cantik sama padan, siapa lagi kalau bukan Wawa Zainal dan Aeril Zafrel. Anak-anak pun comel sangat. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, kan? Tidak dinafikan Wawa dan Aeril antara pasangan selebriti yang bebas kontroversi rumahtangga. Bahagia bersama keluarga serta bisnes yang mantap.
Menurut Wawa, kalau dulu mereka kerap ‘mencuri masa’ anak-anak degan kesibukan kerja dalam perniagaan. Namun kini Allah SWT mengembalikan masa yang ‘hilang’ itu. Pandemik COVID-19 telah ‘mengeratkan’ semula hubungan mereka sekeluarga.
“Apabila ada masa yang fleksibel kami dapat meluangkan masa yang banyak bersama anak-anak. Sebelum ini kami terlalu sibuk dan tiada masa untuk anak-anak. Sehinggakan saya rasa sangat berdosa apabila sering ‘mencuri masa’ anak-anak dengan kerja-kerja kami. Waktu balik kerja mereka sudah tidur, kalau ada masa pun sekejap sahaja.
Sekarang ini kami bersyukur kerana dapat bersama anak-anak pada bila-bila masa terutama pada hujung minggu. Saya lebih suka duduk di rumah sambil layan anak-anak. Sekali sekala kami akan bawa mereka keluar contohnya tidur di hotel untuk eratkan lagi hubungan kami dengan anak-anak.
CARA DIDIKAN ANAK
Cara didikan saya dan Aeril sedikit berbeza. Saya agak tegas dengan anak-anak manakala Aeril seorang bapa yang tegas dalam kelembutan dan tidak pernah berkasar atau marah dengan anak-anak. Aeril mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang, lembut serta gemar bergurau dan berjenaka. Seperti mana yang dikongsikan oleh Aeril di laman sosial itulah realitinya, bukan dibuat-buat.
Secara tidak langsung sikapnya itu telah memberi contoh dan inspirasi kepada saya dalam mendidik anak-anak. Apa yang saya belajar adalah bagaimana untuk menjadi seorang ibu yang penyabar dalam melayan karenah anak-anak.
Alhamdulillah dengan masa yang fleksibel sebagai usahawan dapatlah saya meluangkan masa bersama anak-anak termasuklah menyelami jiwa dan perasaan kecil mereka. Harapan kami semoga anak-anak membesar dengan penuh kasih sayang dan selagi termampu kami akan sentiasa memberikan yang terbaik buat mereka, Insha-Allah.
RAHSIA KEBAHAGIAAN
Beruntungnya Wawa kerana dikurniakan seorang suami yang sangat penyabar. Berkat kematangan Aeril akhirnya perkahwinan mereka berjaya diselamatkan. Wawa terinspirasi dengan keikhlasan Aeril yang sentiasa bertolak ansur jika berlaku perselisihan faham. Akhirnya Wawa berubah menjadi seorang isteri yang baik, taat, setia serta penyayang. Selain menjaga hubungan sebagai suami isteri, mereka juga mula mendekatkan diri dengan Sang Pencipta yang memberi nikmat kebahagiaan sampai ke hari ini.
“Tahun ini masuk sembilan tahun usia perkahwinan kami, alhamdulillah. Walaupun banyak dugaan namun pengalaman mengajar erti hidup serta mematangkan kami berdua. Sekarang adalah fasa sedekad untuk perkahwinan kami. Saya sedar apabila memasuki fasa ini tidak akan ada lagi masa untuk bergaduh, merajuk apatah lagi cemburu. Masing-masing sudah matang dan kita mahu melalui hidup ini dengan tenang.
Fokus utama kami adalah membina empayar perniagaan. Sekarang usia saya 29 tahun manakala Aeril ialah 33 tahun. Impian saya ialah mahu pencen sebelum usia 40 tahun. Kalau diizinkan Allah SWT, lepas usia 40 tahun impian saya adalah hendak travel ke destinasi impian. Maka, sementara masih kuat dan ada kudrat untuk bekerja dan mencari rezeki kami akan terus mengembangkan perniagaan.
Ini juga adalah demi kesenangan anak-anak kelak. Sebab niat kami berniaga adalah untuk jangka masa panjang. Satu lagi impian kami adalah untuk menjadi kilang gergasi di Malaysia suatu hari nanti. Untuk anak-anak, selain meninggalkan empayar perniagaan kami juga sudah membuat extra care dengan menyediakan pelan insuran masing-masing termasuk simpanan masa depan.
Kami sebenarnya tidak terlalu mengharapkan mereka terlibat dalam perniagaan apabila dewasa kelak. Lagi pula, kalau hendak membuka perniagaan baru atas nama mereka perlukan perancangan yang teliti serta masa yang banyak kerana semuanya kami uruskan sendiri,” akhiri Wawa.
Kredit Foto: Koleksi Peribadi Wawa Zainal