Kehilangan penceramah dan ulama terkenal, Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz ke rahmatullah semalam nyata mengundang rasa sedih kepada seluruh umat Islam di Malaysia.
Sepanjang hayatnya 73 tahun, Allahyarham Datuk Seri Abu Hassan menghabiskan masanya dengan berdakwah dan menyampaikan syiar Islam tanpa kenal erti lelah.
Bahkan sehari sebelum beliau dijemput kembali ke pangkuan Sang Pencipta, Datuk Seri Abu Hassan Din sempat menyampaikan kuliah agama seperti biasa. Tiada langsung sebarang tanda atau reaksi sakit yang tergambar di wajah beliau.
Allahu, moga Allahyarham dikurniakan syurga atas segala jasa baik dan sumbangannya dalam dunia Islam kepada negara!
Turut terkesan dengan pemergian Allahyarham Datuk Seri Abu Hassan Din ialah selebriti muslimah popular, Heliza Helmi. Berpeluang menziarahi keluarga Allahyarham di kediamannya, Heliza sempat menemu ramah salah seorang anak Allahyarham yang berkongsi keperibadian bapa tersayang.
Dalam sedutan video yang dimuat naik Heliza di Instagram miliknya, anak keempat Allahyarham terbuka berkongsi sisi bapa yang tidak diketahui ramai. Katanya, “Dia memang tak pernah marah, tak pernah tinggi suara, anak-anak buat salah sikit tak pernah tinggi suara… tak pernah marah, tengking.
Dia hanya cakap benda yang bagi kita faham. Memang betul-betul menusuk.. haa, itu je dan kita faham dah. Jadi kami tak berani dah lah nak buat. Dia tak ada macam setengah ayah yang marah, tinggi suara, dia bukan macam tu.”
MashaAllah, bagus didikan Datuk Seri Abu Hassan Din sebagai seorang ayah terhadap anak-anak. Penuh kelembutan dan tegas dalam caranya tersendiri.
Menceritakan kembali detik akhir Allahyarham, anak lelakinya Mohamad Yusri berkata bapa mereka dikatakan tiba-tiba rebah ketika mahu menunaikan solat Subuh dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum disahkan telah meninggal dunia.
Allahyarham Datuk Seri Abu Hassan Din merupakan adik kepada bekas Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din yang meninggal dunia di Amerika Syarikat pada tahun 2016. Pada tahun yang sama juga, Allahyarham kehilangan seorang lagi abangnya iaitu Allahyarham Ishak Din.
Allahyarham Hassan Din merupakan bekas imam di Masjid Negara selain pernah menjadi Penasihat Agama kepada beberapa Yang di-Pertuan Agong termasuk Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Sultan Mizan Zainal Abidin.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Seri Rosbi Shabudin berusia 66 tahun, tujuh orang anak dan 13 orang cucu.
Kredit foto: Instagram Heliza Helmi