Ramai terkejut apabila Angelina Jolie umum menamatkan perkhidmatannya sebagai duta khas agensi Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) baru-baru ini.
Mana tidaknya, selebriti jelita tersebut memang sinonim dengan kerja amal menerusi agensi berkenaan.
Akui Jolie, dia akan membawa haluan sendiri selepas dua dekad bersama PBB. Namun akan kekal sebagai aktivis kemanusiaan.
Sepanjang khidmat tersebut, penglibatan Jolie dengan aktiviti amal cukup sebati dalam diri. Buktinya, dia sudah menjalankan lebih 60 tugasan di lapangan selama 21 tahun bersama UNHCR dan bertegas mahu terus bekerja dengan pelarian di luar badan global itu.
“Selepas 20 tahun bekerja dalam sistem PBB, saya rasa sudah tiba masanya untuk saya bekerja dalam ruang lebih besar membabitkan diri secara langsung dengan pelarian dan organisasi tempatan serta menyokong advokasi mereka untuk penyelesaian,” kata Jolie dalam satu kenyataan berhubung pengundurannya dari UNHCR.
Jolie sudah menjadi duta khas UNHCR sejak 2012. Tahun ini dia berkesempatan melawat Yaman dan Ukraine untuk bertemu dengan orang yang terpaksa berpindah.
Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk pelarian, Filippo Grandi mengucapkan terima kasih atas khidmat, komitmen dan perbezaan yang dilakukan Jolie untuk pelarian dan orang yang terpaksa melarikan diri.
“Selepas sekian lama bersama UNHCR, saya menghargai keinginannya untuk usaha lebih besar dan menyokong keputusannya.
“Saya tahu membantu pelarian akan kekal dekat di hatinya dan saya pasti dia akan membawa semangat dan perhatian yang sama kepada portfolio kemanusiaan yang lebih luas.”
Angelina Jolie sebelum ini pernah berkahwin dengan aktor kacak Hollywood, Brad Pitt.
This website uses cookies.