Menjadi seorang ibu bukan satu perkara yang mudah. Seorang ibu yang baik sentiasa mempersoalkan dirinya “Adakah saya telah menjadi ibu yang baik?” Mengasuh serta mendidik anak merupakan satu tugas yang sangat mulia.
Buat para ibu di luar sana anda telah melakukannya dengan sangat baik! Bagi membuktikannya berikut antara tanda-tanda kehebatan seorang ibu. Jika anda memilikinya ternyata anda seorang ibu yang hebat!
Saat keletihan anda merasa bersalah menguruskan anak-anak. Atau, tidak dapat menghentikan tangisan anak kerana anda tidak memahami apa yang diinginkan. Jika terbitnya rasa bimbang seperti ini ketahuilah seorang ibu yang hebat seringkali memikirkan hal-hal seperti ini.
Pernahkah anda menangis ketika melihat anak menangis tanpa henti kerana sakit? Jika ya, anda adalah ibu yang hebat. Perasaan itu didorong oleh besarnya rasa cinta dan sayang anda terhadap anak-anak sehingga menyentuh naluri keibuan anda tatkala melihatnya dalam kesakitan atau bersedih.
Kadangkala rasa letih membuatkan seorang ibu merasa ingin lari daripada tanggungjawab. Tidak larat hendak bangun malam dan membiarkan saja si kecil diam sendiri ketika menangis kerana dahagakan susu. Namun, sebagai ibu yang hebat anda tidak akan pernah tergamak untuk melakukannya. Tidak sekali-kali lari daripada tanggungjawab.
Ya, anda telah menjadi ibu yang hebat dan terbaik buat anak-anak. Anda sentiasa berusaha untuk terus belajar dari pengalaman orang lain atau pakar sekaligus membuktikan bahawa anda bersungguh-sungguh memberikan yang terbaik untuk buah hati anda.
Ingatlah tiada manusia yang sempurna. Seorang ibu pasti pernah merasa sedih dan bahagia. Seorang ibu juga pasti pernah melakukan kesilapan. Anda tidak sempurna! Anda pasti akan merasa bersalah ketika memarahi anak namun ketahuilah ibu yang hebat juga manusia biasa, kadangkala kesabarannya teruji.
Di sebalik ketidaksempurnaan itu ada yang lebih besar iaitu kecintaan anda terhadap tugas sebagai seorang ibu. Meskipun anda tahu banyak rintangannya, cinta tidak akan pernah berubah sampai bila-bila pun. Ini membuktikan anda seorang ibu yang hebat! AMY MOHD
This website uses cookies.