Tak Punya Banyak Masa MENGURUSKAN DAPUR? Amalkan PETUA-PETUA Ringkas Ini, Mungkin Menyelamatkan Hari Anda

Walaupun ramai yang menjadikan ruang dapur sebagai salah satu spot kegemaran dalam rumah, namun apabila timbul situasi seperti bekas gula dihurung semut atau nasi termasak mentah dan sebagainya, sudah pasti ketenangan berada di dapur boleh terjejas dan mengubah mood anda.

Terutama sekali di kalangan wanita berkerjaya yang sudah pasti tak menang tangan hendak selesaikan masalah di dapur. Ikutkan hati semua benda mahu diselesaikan dengan pantas tapi terhalang pula dengan kekangan masa.

Tak perlu gusar dan serahkan saja masalah tersebut dengan menggunakan barang yang ada di sekeliling anda. Berikut petua dapur yang cukup berguna untuk dipraktikkan.

(a) Nasi mentah
Jangan sesekali membuang nasi yang dimasak mentah kerana anda boleh mendapatkan kembali rasa nasi seperti biasa dengan hanya membuat langkah ini. Salah satu cara untuk mengatasi nasi mentah adalah dengan mencampurkan air dan sedikit garam kemudian direnjis ke atas nasi mentah. Kacau sekata dan tutup kembali periuk serta dipanaskan sekali lagi.

(b) Bekas gula bersemut
Melihat tempat simpanan gula dihurung semut memang menjengkelkan. Jalan penyelesaiannya adalah dengan meletakkan tiga ke empat biji bunga cengkih ke dalam bekas tersebut. Di samping itu, pastikan bekas simpanan tadi ditutup rapat. Aroma kuat yang terhasil daripada bunga cengkih tersebut akan meghalang kehadiran semut.

(c) Kesan kopi atau teh melekat di cawan dan teko
Minuman kopi atau teh yang dibiarkan dalam cawan atau teko dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan kesan minuman tersebut sukar untuk ditanggalkan. Petua yang boleh diamalkan untuk menyingkirkan kotoran ini dengan merendam bekas ke dalam air suam bercampur garam dan limau nipis selama lebih kurang lima belas minit. Sesudah itu, basuh seperti biasa menggunakan sabun pencuci pinggan mangkuk.

(d) Peti sejuk berbau
Paling mudah untuk menyingkirkan bau kurang enak dalam peti sejuk adalah dengan mengambil dua hingga tiga potong kulit nanas. Masukkan ia ke dalam peti sejuk sehingga hilang bau tersebut. Selain itu, ada juga yang mengelak bau peti sejuk dengan mengelap atau menyapu permukaan menggunakan kain yang dititiskan esen vanila.

(e) Kehadiran serangga seperti lipas
Selain bentuk lipas yang menggelikan, ia juga menjadi pembawa penyakit kepada penghuni rumah. Oleh itu, apabila mendapati kehadiran serangga ini segera ambil beberapa helai daun pandan untuk diletakkan di tempat yang dipercayai menjadi tempat tumpuan lipas. Antaranya seperti di almari dan ceruk dapur. Daun pandan yang telah layu perlu digantikan dengan daun baru untuk membangkitkan aroma yang tidak digemari lipas.

(f) Kuah terlebih garam
Terdapat beberapa cara untuk meneutralkan kembali masakan yang telah terlebih garam. Antaranya dengan mengambil segenggam kelapa parut bersama kain jarang untuk dibunjutkan. Masukkan ia ke dalam masakan sehingga 15 ke 20 minit. Sesudah itu, keluarkan. Selain itu, boleh juga memasukkan kentang dibelah empat ke dalam masakan bagi menyerap rasa masin. Jika tiada kentang, gantikan dengan timun yang dipotong memanjang. Suziana Abu Daud

Share
Published by
Norzalina