Usahawan terkenal, Vivy Yusof sememangnya mempunyai pengaruh yang cukup besar. Kejayaan yang dikecapi dalam bidang keusahawanan nyata memberi inspirasi kepada ramai wanita khususnya golongan muda.
Kalau sebelum ini, produk keluarannya The dUCk Group ‘laku keras’ di pasaran dalam masa singkat kali ini Pengasas FashionValet dan The dUCk Group berkenaan menggunakan pengaruhnya untuk menjana dana bagi membantu rakyat Palestin yang ketika ini ditimpa kesusahan menerusi Viva Palestina Malaysia.
Sehingga semalam, usahasama dUCk x Viva Palestina Malaysia sudah mencecah RM1,004,030 melibatkan hampir 20 ribu penderma. Luar biasa! Difahamkan kutipan dana ini akan disalurkan bagi tujuan perubatan dan keperluan kritikal penduduk Palestin yang terjejas akibat keadaan bergolak di sana.
Terkejut melihat sokongan luar biasa daripada rakyat Malaysia yang prihatin dan dermawan, Vivy menzahirkan jutaan terima kasih kepada mereka yang terlibat. “In less than 24 hours, @theduckgroup x @vivapalestinamy fund has raised over half a million for P (Palestine)!!! MasyaAllah!!! We budget 30 days for this campaign but in 1 day it’s already passed 50% thank you everyone!”
Sepanjang situasi huru-hara yang terjadi di Bumi Palestin sejak akhir Ramadan lalu, Vivy turut dilihat kerap memuat naik keadaan kanak-kanak dan rakyat Palestin di samping menunjukkan sokongan penuhnya terhadap saudara seagama di sana.
Tidak hanya bersama-sama membantu menyalurkan sumbangan untuk Palestin, Vivy sebelum ini juga aktif mengumpul dana untuk petugas barisan hadapan dan golongan terjejas susulan wabak Covid-19 di negara ini.
Selain Vivy, Nona percaya ramai rakyat Malaysia termasuk usahawan, selebriti dan syarikat korporat turut menzahirkan keprihatinan mereka dalam menjayakan usaha kutipan dana untuk rakyat Palestin. Semoga sokongan padu semua pihak dapat meringankan beban yang ditanggung penduduk Palestin dan berdoa agar mereka dilindungi daripada insiden tidak diingini.
This website uses cookies.