Bilik tidur yang menyenangkan serta nyaman adalah yang dihias cantik, bersih dan sesuai dengan keperluan. Tetapi bagaimana kalau ada bau yang kurang menyenangkan? Cantik macam mana sekalipun bilik tidur kalau ada bau yang mengganggu kenyamanan pun tiada gunanya.
Anda pasti akan rasa selesa kalau bilik tidur sentiasa dalam keadaan wangi. Cara ini boleh anda terapkan di bilik tidur.
JAGA KEBERSIHAN
Membersihkan ruang bilik tidur seharusnya dibuat setiap hari. Habuk bukan saja mudah masuk ke dalam rumah malah dari pakaian yang digunakan ketika keluar. Selain itu, gantikan sarung bantal, selimut dan langsir sekerap yang mungkin.
BUKA TINGKAP
Buka tingkap pada setiap pagi agar udara segar dapat masuk ke dalam rumah. Selain dapat menjaga aliran udara segar di dalam bilik tidur agar tidak berbau ‘kepam’ ia juga memberikan keselesaan. Cahaya matahari juga bebas masuk melalui tingkap sekaligus mengurangkan risiko bilik tidur berada dalam keadaan lembap.
JANGAN LONGGOK PAKAIAN KOTOR
Kadangkala bau hapak dalam bilik tidur berpunca daripada pakaian kotor yang dilonggokan di satu sudut. Peluh daripada aktiviti seharian yang melekat pada pakaian mengundang bau yang kurang menyenangkan. Sebaiknya cuci pakaian itu segera atau letakkan di ruang mencuci atau mesin basuh.
BERSIHKAN BAKUL SAMPAH
Pastikan bakul sampah yang disediakan dalam bilik tidur hanya untuk menampung sampah secara sementara, bukannya untuk tempoh yang lama. Jangan tunggu sampai sampah penuh baru hendak dibuang.
Membersihkannya secara kerap dapat mengelakkan bau kurang menyenangkan dalam bilik tidur. Usahakan juga untuk tidak membuang sampah basah mahupun cebisan makanan dalam bakul sampah. Bukan saja bau, serangga yang tak diundang pun akan datang seperti lipas, lalat dan semut.
MANFAATKAN CUKA DAN SODA PENAIK
Menurut petua cuka dan soda penaik berkesan bagi menghilangkan bau kurang menyenangkan. Caranya, gosok dinding bilik tidur dengan kain yang telah dibasahkan dengan campuran cuka dan air bagi menghilangkan bau hapak. Setelah kering bau akan hilang. Manfaatkan juga satu gelas soda penaik yang diletakkan pada salah satu sudut dalam bilik tidur untuk menyerap bau kurang menyenangkan itu.
PENGHARUM
Selain menggunakan pengharum khas, anda juga boleh menggunakan pewangi pada sarung bantal, selimut, cadar dan langsir setelah dicuci. Gunakan juga pengharum pada permaidani, pengalas kaki serta seluruh aksen kain dalam bilik tidur.