Tahun Ini Beraya Berempat, Aafiyah & Afwa Penyeri Syawal DATO’ SRI SITI NURHALIZA

Tahun ini sangat bermakna buat penyanyi nombor satu negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza Tarudin dan suami. Bukan saja dapat pulang ke kampung halaman setelah 2 tahun tidak berpeluang berbuat demikian disebabkan pandemik dan PKP, kehadiran anak lelaki mereka, Muhammad Afwa turut menjadi pelengkap kemeriahan raya bagi keluarga ini.

Kredit Foto: IG Dato’ Sri Siti Nurhaliza.

Ketika sesi temu bual bersama Dato’ Sri Siti Nurhaliza jelas terpancar keterujaannya sebagai seorang ibu kepada sepasang cahaya mata. Terutama bila menyentuh tentang persiapan baju raya untuk mereka sekeluarga. Semestinya warna sedondon menjadi pilihan Dato’ Sri Siti Nurhaliza.

RAMADAN & SYAWAL
“Bagi saya berpuasa dalam fasa endemik kita masih berpeluang untuk solat tarawih sendiri di rumah bersama keluarga. Manakala hari raya pula, apa yang membuatkan kita semua rasa teruja pada tahun ini ialah bila dapat balik kampung dan ziarah menziarahi. Itu sesuatu yang dinanti-nantikan. Saya sendiri tidak terkecuali untuk turut sama nak merasa vibe raya dan tak sabar hendak balik kampung.

Ikut perancangan, saya tidak balik pada awal Syawal sebab diramalkan tahun ini mungkin akan berlaku kesesakan jalan raya yang teruk. Jadi, biarlah orang lain berhari raya dulu. Bila keadaan kembali reda barulah turn

kami pula balik kampung. Kalau balik pun dalam 2-3 hari saja. Jadi awal raya kami berkumpul di Kuala Lumpur saja.

PENGALAMAN BERAYA DENGAN MENTUA
Pengalaman saya berhari raya dengan mentua cukup menarik kalau dikenang. Ketika mula-mula kahwin, saya balik kampung suami iaitu Kedah semasa first raya. Keluarga di sana siap buat rumah terbuka. Bayangkan, ketika itu bila saya umumkan hendak balik ke Permatang Pasir, Kedah punyalah ramai orang datang. Macam konsert pula.

Ketika itu rumah kampung suami yang asal masih ada lagi, dapatlah saya lihat bilik suami yang digunakan ketika beliau remaja. Rumahnya itu memang banyak kenangan. Namun kini, rumah tersebut telah diwakafkan. Jadi itulah kenangan raya saya ketika baru-baru kahwin pergi berjumpa keluarga mentua.

TERUJA BERAYA BEREMPAT
Memandangkan kita sudah 2 tahun tidak dapat menyambut hari raya dalam suasana meriah seperti lazimnya, tahun ini saya sangat teruja kerana dapat beraya berempat dengan Afwa dan Aafiyah. Alhamdulillah dah dapat sepasang anak pastinya suasana raya kali ini sangat meriah dan bermakna.

Kredit Foto: IG Dato’ Sri Siti Nurhaliza.
Kredit Foto: IG Dato’ Sri Siti Nurhaliza.

Afwa lahir sebagai ‘anak pandemik’ yang lahir pada musim COVID-19. Saya sangat bersyukur kerana Allah SWT telah memakbulkan doa saya untuk memiliki sepasang cahaya mata.

Tahun ini Afwa kali pertama sambut raya. Dia pun dah mula aktif antaranya dah pandai nak bangun sendiri dan berjalan. Sudah boleh dibawa bermain dan bergurau. Kalau tidak sebelum ini baby kan asyik tidur saja. Jadi itu yang membuatkan saya sangat teruja nak tempah baju Melayu.

Aafiyah pula dia sangat excited bila dapat tahu yang dia dan saya akan pakai baju sama. Dari segi tema warna pula, Datuk K sendiri yang pilih. Tak sangka Datuk K pilih warna carnation pink

.
Kredit Foto: IG Dato’ Sri Siti Nurhaliza.

Kalau dulu memang tak pernah terlintas pun nak sedondon tapi bila dah ada anak ni automatically jadi perlu. Saya tanya Datuk K nak warna apa, Datuk K cakap carnation pink. Masa itu saya terkejut juga tapi bila Datuk K beritahu yang Rasulullah SAW suka pink jadi saya terus setuju.

Untuk saya dan Aafiyah, baju yang akan dipakai raya nanti adalah jenis bercorak dengan sentuhan warna carnation pink. Manakala suami dan Afwa akan pakai baju Melayu berwarna carnation pink. Untuk warna baju raya kedua, memandangkan saya suka menggemari warna hijau maka saya pilih mousse green. Manakala baju ketiga warnanya belum pasti lagi. Saya serahkan saja kepada designer. Seterusnya kami akan pakai ready-to-wear Rizman Ruzaini x Siti Nurhaliza.

Berapa pasang baju? Kalau tahun lepas saya cuma tempah sepasang baju saja khas untuk ambil gambar pada hari raya pertama. Tahun ini bila dah ada Aafiyah dan Afwa, saya tempah dalam 3 pasang baju saja.

LAGU ‘LIP LAP RAYA’
Dato’ Sri Siti Nurhaliza kini popular dengan lagu raya terbarunya iaitu Lip Lap Raya. Ulasan beliau berkenaan lagu tersebut.

“Untuk lagu ini saya berpeluang bekerjasama dengan komposer-komposer muda. Mereka ini sangat kreatif kerana masih menyelitkan unsur-unsur tradisional dalam lagu tersebut antaranya inang. Jadi, mood raya kita tak hilang kerana masih mengekalkan ciri-ciri kedesaan, dengan irama dan kemeriahannya.

Bagi saya lagu tersebut kena dengan situasi sekarang. Lirik yang ditonjolkan pun relate

dengan perkara sebenar contohnya kita dah dapat balik raya, bertemu sanak saudara, pakai baju lip lap dan sebagainya. Nampaklah keseronokan dalam lagu tersebut. Sebagai penyanyi saya enjoy sangat menyampaikannya.

Sempena hari ray aini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh pembaca majalah Nona. Semoga raya kali ini akan memberi keberkatan kepada kita semua.”

DUTA JENAMA UNIVERSITI SWASTA
Baru-baru ini Dato’ Sri Siti Nurhaliza dilantik sebagai duta jenama Binary University pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara beliau dan universiti swasta tersebut. Menerusi Yayasan Nurjiwa, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa turut membantu melalui aktiviti CSR bagi memperluaskan lagi usaha ini agar masyarakat mendapat pendidikan yang lebih baik.

Kredit Foto: IG Dato’ Sri Siti Nurhaliza.

Sebagai public figure dan artis, beliau tidak ketinggalan mengalu-alukan lebih ramai peminat, pengikut serta seluruh masyarakat khususnya dari luar bandar untuk merebut peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad