Kalau dah jodoh takkan ke mana. Tanggal 22 Jun 2019 menjadi detik bermakna buat Ain Edruce apabila dia selamat bergelar tunang kepada jejaka pilihan, Amirul Hafiz. Terbuka berkongsi wajah bakal suami sejak awal lagi… Ain atau nama sebenarnya Nurulain Edruce disifatkan seorang selebriti yang mudah didekati dan terkenal dengan sikap ‘gila-gila’.
Enggan menjalin ikatan pertunangan terlalu lama dan sedar akan dugaan sebaik bergelar tunangan orang, wanita cantik berusia 28 tahun ini tanpa berselindung menjelaskan akan melangsungkan perkahwinan bersama Amirul pada 13 Disember depan.
Di sebalik kemeriahan dan majlis pertunangan serba indah yang diadakan di kediaman keluarga Ain di Sentul, pelakon yang pada mulanya agak skeptikal apabila ada dalam kalangan rakan-rakan yang bertemu pasangan di alam maya dan lebih muda daripada mereka ini sama sekali tidak menyangka turut melalui perkara sama.
“Sampai sekarang saya masih tak percaya bagaimana boleh berjumpa dengan seseorang yang saya cinta di laman sosial. Sebelum ini jika kawan yang bertemu pasangan di media sosial, saya akan menasihati mereka.
Begitu juga jika pasangan itu lebih muda daripada usia mereka. Bagaimanapun, semua itu terjadi kepada saya apabila dapat Amirul yang lebih muda daripada saya.
Anggun mengenakan persalinan rona pastel ilham Wanpa, Ain turut menerima sebentuk cincin dan sembilan dulang hantaran berbalas 11. Dianggarkan seramai 200 tetamu hadir memeriahkan majlis.
Menurut Ain, dia mula mengenali Amirul tahun lalu apabila tunangnya itu menghantar mesej peribadi di media sosial miliknya sebelum hubungan mereka jadi semakin serius. Ikut perancangan, Ain pernah memaklumkan akan berkahwin pada Februari depan namun ketika majlis pertunangan lalu… kedua-dua keluarga sepakat untuk mempercepat tarikh perkahwinan.
“Saya rasa tiada sebab untuk saya melambat-lambatkan benda yang baik dan mahu melakukannya tahun depan. Lagipun, apa yang saya buat ini elok, jadi saya nak ia dilakukan tahun ini.
Tambahan pula orang cakap bertunang ini banyak dugaan jadi hasil perbincangan kedua-dua pihak kami sepakat memilih 13 Disember. Malah keluarga juga berharap kami dapat disatukan secepat mungkin selepas majlis pertunangan ini.
Sumber: Harian Metro
Kredit foto: Instagram Ain Edruce
This website uses cookies.