Tak Semua Petua Kecantikan TikTok Boleh Dicuba, Sesetengahnya Jemput Masalah Kulit!

Industri kecantikan dan kesihatan dunia bergerak pantas. Nilai kepesatan industri ini dianggarkan mencecah RM151 bilion (£26.7 billion) pada tahun 2022 dengan pelbagai kaedah serta penemuan saintifik kecantikan baru diperkenalkan.

Begitu banyak petua kecantikan atau beauty hacks yang meraih tontonan tinggi di atas talian, terutama sekali menerusi platform media sosial seperti TikTok, Instagram dan sebagainya.

Namun tahukah anda, tidak semua petua tersebut selamat dicuba? Pendedahan pakar estetik dari Vera Clinic, Dr Waleed Taleb, antara yang patut menjadi perhatian para pencinta kecantikan.

Skin Icing

Kiub ais diratakan ke seluruh muka

Trend penjagaan kulit terbaharu yang menjanjikan keserian wajah ini telah mendapat tontonan 10.3 juta di TikTok. Dengan meratakan kiub ais ke seluruh muka, ia dikatakan mampu mengecilkan pori-pori sekaligus menjadikan wajah ‘terbentuk cantik’ dan anjal.

Sungguhpun kedengaran biasa tapi hakikatnya, perubahan suhu yang mendadak pada kulit boleh membuatkan kulit merengsa serta kemerah-merahan. Sebaik-baiknya dapatkan saranan pakar sebelum dicuba.

 

Slugging

Jeli petroleum dijadikan masker dan dibiarkan semalaman (Foto: Getty Images)

 

Satu lagi trend yang viral ialah ‘slugging’. Ia bermaksud melumur wajah dengan Vaseline seperti masker dan dibiarkan semalaman untuk melembapkan kulit. Beauty hacks ini telah mendapat 117.1 juta tontonan di TikTok.

Tapi sayangnya, Vaseline atau produk jeli petroleum boleh menyumbat liang pori dan membuatkan jerawat tumbuh semakin banyak. Adalah lebih sesuai menggunakan krim pelembap malam yang sesuai untuk jenis kulit anda.

 

Microneedling

Rawatan menggunakan derma roller di rumah

 

Microneedling merupakan rawatan kecantikan menggunakan derma roller

untuk mencucuk kulit menggunakan jarum-jarum halus. Ia dikatakan baik untuk meregenerasi kolagen agar kulit tampil lebih lembut dan tegang.

Dengan capaian 364.9 juta tontonan, rawatan microneedling tanpa pengawasan pakar sebenarnya berisiko tinggi. Ia boleh mengakibatkan reaksi alahan daripada krim atau serum yang dioles (selepas rawatan microneedling) dan luka yang terhasil boleh terinfeksi jika tidak dijaga dengan betul.

Selain itu, cucukan jarum juga boleh menyebabkan iritasi dan kegatalan kulit. Pastikan anda mengambil tahu tentang kesan-kesan sampingannya sebelum memulakan prosedur.

 

Urutan Gua Sha

Gua sha tradisional biasanya terbuat daripada tanduk lembu

 

Teknik yang kian popular sebagai langkah terakhir dalam rutin kecantikan. Urutan gua sha dikatakan baik untuk melicinkan kulit, menganjalkan dan melambatkan penuaan.

Dengan tontonan mencecah 92 juta, peralatan gua sha yang kebiasaannya diperbuat daripada batuan kristal ini hakikatnya belum dibuktikan kesahihannya secara klinikal.

 

Menggunakan ubat gigi

 

Dengan harapan dapat meredakan jerawat dan cela gelap, petua menggunakan ubat gigi pada kulit sebenarnya tidak berkesan. Kandungan ubat gigi itu sendiri akan mengeringkan kulit dan menyebabkan iritasi. Tak berbaloi mencubanya!

 

Buat sendiri masker muka

 

Begitu banyak perkongsian DIY masker dan skrub muka mudah menggunakan bahan-bahan dapur seperti lemon, madu, gula dan kopi. Nah, meskipun semua bahan di atas tidak menjejaskan kulit namun tekstur eksfoliasi yang terhasil (daripada gula contohnya) boleh membuatkan kulit berubah kasar.

Lebih baik gunakan masker atau skrub yang dijual di farmasi. Ia bekerja lebih efisien dan selamat untuk wajahmu!

Share
Published by
Norzalina