
Perancis, secara rasmi dipanggil Republik Perancis merupakan sebuah negara yang terletak di Eropah Barat. Di sepanjang ibu kota metropolitan ini terdapat deretan kafe menyediakan pelbagai pencuci mulut istimewa Perancis yang dinikmati bersama secawan espresso mahupun latte. Manisan popular dan sering menjadi sebutan dan turut digemari di seluruh dunia! NONA berkongsi resipi Creme Brulee yang boleh dilakukan sendiri di rumah. Selamat mencuba!
CREME BRULEE
BAHAN-BAHAN:
4 biji telur
50gm gula
230 whipping cream
1 sudu teh esen vanilla
CARA MEMASAK:
Masukkan semua bahan dalam mangkuk dan putar sehingga timbul buih.Tuangkan campuran adunan ke dalam mangkuk kecil. Letakkan mangkuk dalam dalam dulang berisi air sehingga separuh mangkuk casserole.Bakar lebih kurang 40 minit, kemudian keluarkan dari dulang. Masukkan pula dalam peti sejuk sekurang-kurangnya dua jam. Sebelum dihidangkan taburkan gula di atasnya kemudian panaskan gula menggunakan torch sehingga gula menjadi keperangan atau menjadi seperti karamel.
Selain Baik Untuk Penyembuhan Penyakit, Cendawan Bonus Jika Nak KURUSKAN BADAN!

Cendawan merupakan sejenis hidupan semula jadi yang popular dalam sajian tempatan. Di antara jenis-jenis yang biasa terdapat di pasaran adalah seperti cendawan Tiram Kelabu, Jarum Emas, Shitake, Butang, Ling Zhi dan Telinga Kera/Jeli Hitam. Ada yang dijual secara segar, dikeringkan malah dijadikan serbuk dan kapsul. Segalanya kerana pelbagai khasiat di dalamnya termasuklah diamalkan untuk menyembuhkan penyakit.
Pengambilan cendawan yang enak dan mengenyangkan merupakan satu bonus kepada anda yang ingin menguruskan badan. Ia berkalori rendah tetapi dapat membekalkan tenaga menyamai daging lembu. Manfaat lain pada cendawan adalah vitamin B, asid pantothenic, riboflavin, niasin, selenium, beta glucan dan antioksidan. Bergantung pada jenis yang diambil, semak senarai di bawah untuk khasiat dan kuasa penyembuhannya.
CENDAWAN BUTANG
Berbentuk butang putih di bahagian atasnya, tumbuhan dengan nama saintifik Agaricus brasiliensis ini sering menjadi kegemaran ramai. Terdapat dakwaan yang mengaitkan cendawan ini dengan fungsi mengawal tekanan darah. Ia juga baik untuk meredakan gastrik. Sangat sedap ditumis atau dijadikan sup.
CENDAWAN SHITAKE
Shitake atau Lentinus edodes banyak ditanam di kawasan tanah tinggi dan bersuhu sejuk. Ia mengandungi lentinan yang bersifat antikanser, membantu meningkatkan sistem imunisasi, menentang bakteria, virus serta toksin yang terkumpul dalam badan manusia.
CENDAWAN TIRAM KELABU
Ini merupakan jenis cendawan yang paling mudah ditanam dan didapati di pasar. Selain kelabu (Pleorotus sajor-caju), terdapat juga jenis yang berwarna kuning (Pleorotus citrinopileatus), merah jambu (Pleorotus flabellatus) dan putih (Pleorotus florida). Tiram Kelabu kaya dengan kandungan protein, serat, vitamin E, selenium, zat besi, kalsium dan magnesium. Ia baik diamalkan untuk mengawal pengaliran darah, menurunkan tekanan darah serta mengawal paras gula dan lipid dalam darah.
CENDAWAN KUKUR
Cendawan kukur atau Schizophyllum commune baik untuk meningkatkan sistem imun, bersifat antikanser, antiradang, antibakteria dan antiparasit. Ia juga dapat membantu mengawal dan melindungi organ hati manusia.
CENDAWAN JARUM EMAS
Berbentuk jarum dengan batang panjang berwarna keemasan, cendawan Jarum Emas atau Flammulina velutipes banyak dihasilkan di negara China, Jepun, Korea dan Eropah. Ia didapati meningkatkan sistem imun badan, menghalang jangkitan kulat serta virus pada pemakannya. Ia juga bertindak sebagai antiradang, meningkatkan aktiviti perlindungan sel serta menghalang kerosakan DNA dalam sel darah.
CENDAWAN LING ZHI
Ling Zhi banyak ditanam di Malaysia dan sering dijadikan produk makanan kesihatan. Ia pernah diuji secara klinikal dan diamalkan secara tradisional untuk merangsang imun badan, bersifat antialergi, antiradang, antiviral dan antibakteria. Masyarakat juga percaya bahawa ia membantu melegakan asma serta beberapa masalah pernafasan yang lain. Ling Zhi juga mampu menyembuhkan luka, tinggi antioksidan dan menurunkan tekanan darah.
Pemakanan cendawan merupakan pilihan bebas gluten yang baik, bebas lemak, bebas kolesterol, rendah kalori dan rendah natrium. Nutrien di dalamnya kerap ditemui dalam makanan bersumberkan daging. Ia seharusnya dijadikan makanan tambahan yang lazat dan berkhasiat untuk anda yang mengambil berat perihal makanan sihat.
Tuna Ayam Brand, Resipi Sihat Untuk Golongan Diet

Tak perlu lagi risau tentang kalori apabila anda menikmati sajian sihat dari Tuna Ayam Brand. Dihasilkan dengan ramuan organik dan bermutu tinggi, produk terbaru ini mengandungi khasiat sayuran dan minyak zaitun dara ekstra organik yang baik untuk keperluan tubuh.
Sebagai pengenalan kepada produk Tuna Flakes in Organic Broth dan Tuna Chunks in Organic Extra Virgin Olive Oil, dua resipi mudah turut disediakan sebagai rujukan anda. Di samping kaya dengan Vitamin K, Omega-3 dan Omega-6, rangkaian produk tuna Ayam Brand turut mendapat pensijilan halal daripada JAKIM.
Dapatkan Ayam Brand Tuna Flakes in Organic Broth dan Tuna Chunks in Organic Extra Virgin Olive Oil di kedai runcit dan pasar raya terpilih dengan harga RM6.60 bagi 150 gram setin.
TUNA KENTANG PEDAS
Bahan-bahan:
- 1 tin Chunks Tuna in Organic Olive Oil (dengan minyak)
- 4 biji kentang (dikupas & dipotong kiub)
- 1 sudu makan serbuk paprika
- Garam secukup rasa
- Minyak untuk memasak
- 2 tangkai daun ketumbar (dicencang)
Cara membuat:
Campurkan kentang dengan serbuk paprika. Panaskan minyak 50 ml dalam kuali dan goreng kentang hingga keperangan. Masukkan bawang dan tuna kemudian tumis sekali lagi kentang tadi hingga masak. Perasakan dengan garam secukupnya. Hidangkan bersama hirisan daun ketumbar.
TUNA KICAP MANIS
Bahan-bahan:
- 1 tin Chunks Tuna in Organic Olive Oil (dengan minyak)
- 100 ml kicap manis
- ½ sudu teh garam
- 1 bawang merah (dihiris)
- 6 tangkai cili padi (dihiris)
Cara membuat:
Campurkan semua bahan. Kemudian, gaulkan bersama mi atau pasta kegemaran yang telah siap di masak. Akhir sekali, masukkan kicap manis. Sedia untuk dinikmati.
Selain Ketupat Rendang, Hidangkan 5 Buah-Buahan Tinggi Air Ini Untuk Keluarga Di Hari Raya

Tubuh badan kita sangat memerlukan air untuk berfungsi secara normal. Tanpa hidrasi secukupnya, pelbagai gangguan seperti keletihan, pening kepala, kejang otot, tekanan darah rendah, masalah kulit dan degupan jantung yang laju akan berlaku.
Menjelang ketibaan Syawal ini, golongan ibu pasti sudah sibuk di dapur menyiapkan juadah wajib seperti ketupat dan rendang. Meskipun hanya menjamu ahli keluarga kecil, namun kesibukannya tetap sama. Bezanya mungkin pada saiz masakan yang lebih sedikit berbanding dulu.
Walau bagaimanapun, inilah masanya menyajikan hidangan yang lebih berkhasiat pada pagi raya. Selain juadah wajib, apa kata anda tambahkan buah-buahan sebagai hidangan sampingan? Selain minum lapan gelas air sehari, sebenarnya anda juga boleh mendapatkan cecair daripada buah-buahan.
Jom semak lima jenis buah dengan kandungan air tertinggi ini untuk dinikmati.
(1) Nenas
Buah nenas mengandungi 86% air dan mampu membekalkan banyak nutrisi seperti vitamin B, vitamin C, magnesium, kalium serta mangan.
Ia juga mengandungi bromelain iaitu enzim yang bersifat anti-inflamasi. Bromelain juga baik untuk meredakan sinus, osteoartritis dan masalah pencernaan.
(2) Pic
Buah pic mengandungi 90% air dan padat dengan nutrisi. Ia juga kaya dengan serat, vitamin dan mineral penting seperti vitamin A, B, C dan kalium.
Menurut Journal of Medicinal Food, pengambilan buah pic bukan saja mengenyangkan malah sesuai untuk menurunkan berat badan jika dimakan dengan kulitnya.
(3) Strawberi
Strawberi mengandungi 91% air, tinggi antioksidan, vitamin C, folat dan mangan. Kajian oleh Journal of Agricultural and Food Chemistry mendapati bahawa pengambilan buah strawberi secara teratur dapat mengatasi radang, melindungi dari penyakit jantung, diabetes, Alzheimer dan mengurangkan risiko kanser.
(4) Limau Bali
Limau bali mengandungi 88% air dan tergolong buah sitrus yang sangat baik untuk kesihatan. Ia juga padat dengan serat, antioksidan, vitamin A, kalium dan folat.
Dengan menambah limau bali ke dalam diet harian dapat membantu dalam mengurangkan berat badan, merendahkan kolesterol, tekanan darah dan kadar gula darah.
(5) Tembikai
Akhir sekali, sudah pasti buah tembikai harus dimasukkan ke dalam senarai ini kerana ia mengandungi air tertinggi iaitu 92%. Ini juga menjadikan tembikai sebagai pilihan paling rendah kalori.
Tembikai kaya antioksidan sekaligus mampu mengurangkan masalah kerosakan oksidatif pada sel seperti yang sering dikaitkan dengan penyakit jantung dan diabetes.