“Tak Tunjuk Mewah Tak Semestinya Bisnes Kurang Berjaya” Pengasas DE’WAJAH Kongsi Rahsia Kejayaan 3 Dekad

Suatu ketika dulu, jenama kecantikan DE’WAJAH pernah mencetus fenomena tersendiri. Pengasasnya, Datuk Junaidah Kitting merupakan pioneer syarikat kosmetik Bumiputera terawal di Malaysia. Walau kini berusia 63 tahun, ibu anak 4 ini masih meletakkan komitmen yang tinggi terhadap empayar bisnesnya agar terus relevan dengan situasi semasa.

Jenama kecantikan De’Wajah yang masih bertahan lebih 30 tahun.

“Bisnes De’Wajah sudah bertahan lebih 30 tahun. Kami mempunyai pelanggan setia sejak dulu sampai kini. Dari muda sampailah sekarang saya masih bekerja. Orang berniaga ni memang tiada pencennya. Sebagai pengasas saya sudah melalui pelbagai cabaran jatuh bangun dalam perniagaan.

Bezanya dahulu cabarannya tidak terlalu terasa, tiada saingan yang banyak dalam bidang kecantikan. Ketika itu saya rasa boleh dikira dengan jari usahawan-usahawan wanita yang terbabit dalam spa, salun rambut dan pembuatan produk. Saya antara wanita Melayu terawal yang menceburkan diri dalam bidang kecantikan di Malaysia.

Pengasas De’Wajah, Datuk Junaidah Kitting yang masih cantik di usia 63 tahun.

Kita jangan cepat menganggap bahawa perniagaan kitalah yang paling hebat dan berjaya, manakala perniagaan orang lain pula gagal.

Sudah menjadi lumrah kadang-kadang bila kita lihat orang itu ada rumah besar, kereta mewah, kerap makan angin ke luar negara, beli barang-barang berjenama kita sudah anggap dia sangat berjaya.

Kemudian bila lihat usahawan yang nampak ‘biasa-biasa’ itu gagal atau kurang berjaya.

Apa yang boleh saya katakan ialah bagi yang berniaga dan berjaya dia sememangnya mampu memiliki apa yang diinginkan. Hak masing-masing, tetapi kita tidak boleh melihat usahawan-usahawan yang tidak seperti itu dianggap gagal. Dalam perniagaan tidak ada yang gagal sebenarnya.

Sokongan dan kerjasama dari staf antara faktor kejayaan De’Wajah.

Bagi saya, gagal itu totally tiada apa-apa. Kadang-kadang mereka berjimat. Tiada kereta mewah, tinggal di rumah biasa, pergi makan tempat-tempat biasa. Kita tidak seharusnya ada persepsi seperti itu. Mungkin dia sudah ada simpanan dan mahu berjimat cermat demi masa hadapan termasuklah tidak mahu menunjuk-nunjuk kemewahan.

Kesimpulannya, pada pendapat saya tiada usahawan yang dianggap gagal melainkan usahawan itu mengalami bankruptcy. Setiap usahawan ada cara masing-masing, ada yang low profile dan hidup dalam bersederhana.”

CABARAN BERNIAGA DULU & SEKARANG
Kalau dulu kita beriklan melalui suratkhabar dan majalah contohnya Karangkraf. Selama lebih 20 tahun saya bekerjasama dengan syarikat tersebut dan boleh dikatakan hampir semua majalah di Karangkraf saya beli iklannya. Jatuh bangun bersama Karangkraf, dalam masa yang sama ia telah banyak menaikkan nama saya sebagai usahawan.

Datuk Junaidah Kitting bersama artis tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Maka, sangat berlainan dengan sekarang lebih-lebih lagi dengan berlakunya pandemik COVID-19. Oleh itu, kita perlu bertukar contohnya bertukar dari segi cara kerja, periklanan, cara mengendalikan perniagaan dan sebagainya. Sekarang ini kita tidak boleh lagi bergantung kepada perniagaan sedia ada.

Saya ada spa tetapi dulu setahun tidak boleh buka termasuklah salun rambut. Jadi income langsung tiada tetapi saya ada pekerja dan kedai yang perlu dibayar sewa. Maka kita perlu berfikir apa lagi yang boleh kita buat untuk survive dan supaya bisnes tidak tutup sementara pandemik ini tamat.

Fokus saya sekarang lebih kepada produk sebab saya tahu kebanyakan wanita tetap nak nampak cantik, nak pakai skincare, haircare

dan kosmetik maka kita kuatkan periklanan melalui online dan apa saja platform mengikut trend sekarang. Alhamdulillah sambutan di luar jangkaan walaupun pada mulanya agak keluh kesah juga.

Tetapi apabila kita sudah melaluinya kita tahu apa yang kita nak buat. Kalau tak lalui, kita tidak akan tahu apa tindakan yang boleh kita buat. Bila dah lalui kita akan berfikir lebih cergas tentang apa yang kita akan lakukan ke depan.

Bergelar usahawan ini sentiasa ada cabarannya. Macam-macam kena lalui. Jiwa orang berniaga ni kena kuat, kental dan tak boleh lemah semangat walau apa pun yang kita lalui. Kita kena berfikir dan kuat untuk menangani permasalahan itu.

Kredit Foto: Facebook Junaidah Kiting Dewajah

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad