Melewati tempoh tiga dekad dalam industri seni, Ziana Zain terus unggul di dalam kelasnya yang tersendiri. Walau penyanyi bersilih ganti, Ziana tetap menjadi pujaan sama ada mereka yang membesar dengan lagunya mahupun generasi muda yang baru mengenalinya. Itulah hebatnya insan seni legenda yang bernama Ziana Zain.
Semasa ditanya dalam temubual eksklusif bersempena dengan NONA SUPERWOMAN AWARD yang diadakan baru-baru ini, Ziana Zain ditanya kenapa jarang sekali beliau menjadi juri tetap di mana-mana pertandingan nyanyian walaupun cukup berkelayakan, dan ini responnya.
“Mungkin Kak Gee ni tak laser kot, Kak Gee selalu play safe. Ada orang boleh menerima dengan fikiran terbuka, ada orang terus tertusuk di dalam hatinya, dia terasa sampai bila-bila kita pula yang berdosa dengan dia, itu yang Kak Gee kadang fikir macam mana ya..”
Lantas, bila Ziana Zain diundang menjadi juri jemputan, pendekatan ini yang diambil penyanyi bertaraf legenda ini “Jadi itu sebabnya setiap kali Kak Gee jadi juri, Kak Gee akan cakap ‘minta maaf ya, ni Kak Gee terpaksa cakap’ supaya diorang tak terasa hati.
Sebab kita takut bila kita komen, macam kita ni bagus sangat,” ulas Ziana Zain yang pernah menjadi juri jemputan untuk beberapa program seperti AF Megastar dan Vokal Bukan Sekadar Rupa.
Baru-baru ini, tular isu berhubung dengan seorang juri sebuah program hiburan yang menengking seorang artis secara langsung sehingga membuatkan penyanyi tersebut menangis. Juri tersebut turut dikecam bukan sahaja oleh para netizen namun rakan-rakan selebriti turut menyelar tindakan berkenaan.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***