Di sebalik perwatakannya yang ceria dan kesempurnaan fizikal yang dimiliki tiada siapa pernah menyangka wanita ini sebenarnya telah kehilangan payu dara kirinya ekoran menderita penyakit Benign Phillodes Tumor lima tahun lalu.
Dalam usia 29 tahun dan masih bujang, Nurnawaitul Najwa Ahmad Nazri atau panggilan mesranya Najwa akur dengan takdir Ilahi demi meneruskan kehidupan sementara nyawa dikandung badan. “Sebagai wanita yang masih bujang ini sesuatu yang sukar untuk saya terima. Segalanya bermula sekitar Oktober 2013. Rupanya kesakitan di bahagian payudara kiri selama ini disebabkan adanya ketulan.
Waktu itu saiz ketulan sebesar sebiji telur ayam. Disebabkan rasa malu dan takut payudara dipotong, ditambah pula faktor kekangan wang maka saya pendamkan hal ini tanpa rawatan susulan sehinggalah ke tahun 2017.
Empat tahun saya sembunyikan perkara ini daripada pengetahuan keluarga. Ketulan kian membesar sehingga sebesar cup D bersamaan dengan 17x15cm. Beratnya pula mencecah 860gram,” kongsi Najwa anak kelahiran Kelantan ini.
PASRAH
“Akhirnya sekitar Julai 2017 ibu bapa saya dapat tahu juga mengenai perkara ini. Namun begitu saya lega. Biarlah mereka tahu sendiri kerana sukar untuk saya jelaskan keadaan sebenar. Sebenarnya saya tak sanggup buat mereka bimbang apatah lagi menambah beban masalah kewangan ketika itu.
Sebab itulah saya sanggup pendam derita ini seorang diri sehinggalah keadaan payudara kiri sudah di tahap kronik. Semasa di awal-awal pemeriksaan, rata-rata doktor mengatakan kemungkinan 90% ia adalah kanser! Saya jadi down sangat, penampilan diri pun terabai.
Bukanlah perkataan kanser itu yang menakutkan saya tapi terpaksa menerima hakikat yang payu dara perlu dipotong membuatkan saya takut. Sebelum tiba tarikh pembedahan iaitu pada 22 Mac 2018, macam-macam rawatan alternatif dibuat antaranya rawatan sengat lebah di payu dara dan minum madu, termasuk pergi ke Kelantan bagi mendapatkan air penawar.
Sehinggalah sampai satu tahap saya dah tak mampu lagi nak bertahan. Waktu itu ketulan makin membesar terutama di bahagian puting. Saya kata pada ibu “Bu..Along dah ready
untuk operate.”Saya pasrah ‘melepaskan’ payu dara kiri dan berkata pada diri sendiri, selepas pembedahan I am the new person..the new me!
Melepaskan bukan bermaksud saya berputus asa sebaliknya mengharapkan peluang kehidupan baru yang lebih cerah dan membahagiakan. Setelah pembedahan selamat dijalankan, keputusannya keluar pada 24 April 2018. Alhamdullilah syukur kepada Allah SWT, ia bukan kanser sebaliknya disahkan sebagai Benign Phillodes Tumor. Saya tak perlu buat rawatan radioterapi dan kemoterapi.
Memang benar, selepas operation saya bertambah ceria dan bertenaga. Tiada lagi rasa sedih dan kecewa seperti dulu,” ujar anak sulung daripada lima beradik ini.
SUMBER KEKUATAN
“Semestinya diri saya sendiri. Bayangkan selama empat tahun saya menanggung kesakitan seorang diri dengan ketulan yang panas membakar setiap hari. Beratnya pula amat membebankan. Namun saya takkan lupa jasa ibu bapa yang tak pernah jemu-jemu berikhtiar demi melihat saya kembali pulih seperti sedia kala.
Melalui penderitaan ini saya melihat banyak hikmah. Selain sebagai ‘hadiah terbesar’ dari Allah SWT, saya dapat merasai bagaimana rasanya mempunyai implant
di payu dara.Saya juga semakin matang, kuat dan ceria. Kini, walau apa pun masalah yang dihadapi sedikit pun tidak mengganggu mood saya untuk terus ceria. Paling ketara ialah saya berjaya mengawal berat badan dan hilang sebanyak 9kg. Ditambah pula dengan kata-kata semangat daripada surgeon yang menyarankan saya untuk makan buah, sayur dan sumber protein.
Kalau dulu saya memang tak boleh hidup tanpa nasi. Tapi sekarang saya dah tak ambil nasi di samping aktif berbasikal. Seterusnya impian saya untuk berkongsi ilmu dan memberi kesedaran buat seluruh wanita tentang penjagaan kesihatan payudara yang betul. Jika ada sesuatu yang tak kena segeralah bertemu doktor,” akhiri Najwa.
This website uses cookies.