Tamat Belajar & ‘Master’ Dalam Genggaman, Kejayaan DATO’ NURUL Bersungguh Timba Ilmu Cetus Inspirasi!

Kagum dengan keazaman Dato’ Nurulhidayah Datuk Seri Ahmad Zahid yang berjaya tamat pengajian peringkat Master baru-baru ini. Satu pencapaian yang memang patut dijadikan inspirasi. Iyalah, bukan satu tugas mudah tu.

Apatah lagi, Dato’ Nurul merupakan seorang ibu bekerjaya dan isteri. Kalau tak bijak bahagikan masa, tak mungkin wanita berjiwa cekal ini mampu menggenggam Master seperti sekarang. Tahniah!

Dalam Majlis Konvokesyen Lincoln University College 2022 yang berlangsung pada 22 Februari lepas, anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri ini selesai melanjutkan pengajian Master of Business Administration (MBA) dari Faculty of Business and Accountancy.

Dia melahirkan rasa syukur kerana segala penat lelah menimba ilmu akhirnya membuahkan hasil. Mendedikasikan kejayaan tersebut khas buat kedua-dua ibu bapa yang tidak putus-putus memberi sokongan, isteri Dato’ Saiful Nizam Mohd Yusoff ini berkongsi khabar gembira tersebut di Instagram miliknya.

Kongsi Dato’ Nurul, “Alhamdulillah. For Mak, Abah, suami dan anak-anak. Semoga ini adalah permulaan yang baik untuk tahun 2022 dan tahun yang mendatang. Aaminn.
Nak bagi harta dunia tak mampu lagi. Bagi Mak Abah proudness and happiness is what I can afford for now. This is for both of them. Especially for you Abah.”

Mengulas lanjut mengenai kejayaan itu, Dato’ Nurul ketika dihubungi Nona pada mulanya agak keberatan untuk berkongsi kisah perjalanannya mengejar Ijazah Sarjana kerana bimbang disalah ertikan sesetengah pihak.

Namun demi memberi semangat kepada kaum wanita, dia akhirnya akur. Dengan harapan agar kejayaan ini dapat membuka mata masyarakat khususnya wanita mengenai kepentingan pendidikan.

“Saya mula sambung MBA sejak Januari 2021 sepenuh masa secara online. Masa PKP, kelas tak menentu. Dekat dua tahun jugalah. Yang betul-betul focus on assignments sampai exam dalam setahun. Sepatutnya habis dalam masa setahun je.

Saya nak ada Master untuk kepuasan diri sendiri dan juga ‘desakan’ dari Abah. Abah ada phD, so dia nak anak dia ada strong academic background juga.”

Ujar Dato’ Nurul lagi, sebelum memperoleh Ijazah Sarjana dari Lincoln University College dia merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Dato’ Nurul kemudian melanjutkan pengajian ke peringkat Master Corporate Communication di UPM dan Master in Dakwah and Islamic Leadership di USIM. Namun kedua-duanya tertangguh atas faktor tertentu. Bagaimana pun kali ini, dia tekad menamatkan Master.

Mesra disapa Kak Long, Dato’ Nurul juga aktif dengan aktiviti kebajikan dan membantu golongan memerlukan terutamanya sewaktu pandemik Covid-19. Semoga perkongsian kejayaan dan usaha murni Dato’ Nurul meringankan beban golongan susah menjadi ikutan ramai. Selain mencetus inspirasi buat semua agar terus berusaha menggapai impian hidup.

 

Share
Published by
Suzi