Ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi. Mempunyai ibu seorang penyanyi popular di Indonesia banyak mendorong Amabel Odelia untuk mempunyai ilmu tentang bidang muzik.
Anak kepada penyanyi Ruth Sahanaya ini semakin mencuri perhatian. Selain parasnya yang cantik, berbakat dalam bidang muzik juga satu kelebihan buat dirinya.
Amabel Odelia merupakan lulusan Bachelor Degree Music Performance dari Australian Institute of Music dah baharu sahaja selesai majlis graduasi bulan lalu. Sayangnya, dia menolak untuk melanjutkan kuliah di Amerika kerana memilih untuk mengikuti jejak sang ibu, berkarier di dunia hiburan di Indonesia.
Amabel Odelia merupakan anak sulung Ruth Sahanaya dan suaminya, Jeffry Waworuntu. Anak sulung ini dilahirkan pada 14 Ogos 2000 dan kini sedang meniti alam dewasa yang cantik dan sering mencuri tumpuan di laman Instagram miliknya.
Sejak menamatkan pengajian di peringkat rendah, Amabel Odelia menetap di Sydney Australia sehingga tamat pengajian peringkat ijazah sarjana muda baru-baru ini.
Selepas empat tahun menetap di Australia, kini Amabel Odelia sudah pulang ke Indonesia. Selain itu, anak gadis Ruth Sahanaya ini juga telah mementaskan sebuah persembahan teater muzikal berjudul Teater Salihara di Jakarta oktober lalu.
Penyanyi bertaraf lagenda Indonesia itu baharu sahaja usai mengadakan persembahan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) November lalu menerusi konsert solonya Fabulous Friday Ruth Sahanaya. Penyanyi yang berusia 56 tahun itu telah memukau lebih 500 penonton pada malam tersebut dengan lagu-lagu popularnya antaranya termasuklah Kaulah Selagalanya, Keliru, Bersama Dirimu, Tak Kuduga dan banyak lagi.
Cantik, Muda & Luhur Jiwanya. PUTERI ANNISA AMALIN Kongsi Minat Memasak Sajian Istana Kelantan
Manis dan ayu sungguh gadis kelahiran Cik Siti Wan Kembang ini. Tak berkedip mata memandang. Puteri Annisa Amalin Amir atau mesra digelar sebagai Puteri merupakan anak jati Kota Bharu, Kelantan. Memiliki darah campuran Melayu, Cina dan Uzbekistan memberi kelebihan buat personaliti kerabat Diraja Kelantan ini.
Dalam usia 24 tahun Puteri dilihat sebagai seorang gadis yang sangat bijak, matang dan pandai berdikari. Ternyata Puteri bukan calang-calang anak muda. Selain bertugas sebagai penasihat pemasaran perniagaan, Puteri juga kini aktif sebagai model sambilan.
“Sejak kecil Bonda dan Ayahanda mendidik saya sentiasa merendah diri, bersederhana dan saling menghormati. Tiada had untuk saya bergaul dengan sesiapa pun. Saya turut dididik sentiasa berdisiplin dan menepati masa. Sebab itulah saya sangat teliti dalam segala hal.
Saya bersama Pertubuhan Kerabat Diraja Kelantan aktif melaksanakan aktiviti kebajikan antaranya pengurniaan zakat kepada anak-anak yatim serta tahfiz. Tidak ketinggalan kami turut melakukan pengurniaan zakat kepada golongan asnaf dan lawatan ke rumah orang-orang asli sekitar negeri Kelantan.
Selalunya, setiap kali bulan Ramadan kami akan berbuka puasa bersama anak-anak yatim negeri Kelantan. Namun tahun ini memandangkan kita dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kami turut menyalurkan sumbangan berupa barangan keperluan harian kepada mana-mana ahli yang terkesan dengan situasi wabak COVID-19 seperti yang bergaji harian, ibu dan bapa tunggal. Sumbangan diberikan pada 15 April 2020 yang lalu. Selepas ini ada lebih banyak lagi agihan yang akan diberikan buat mereka yang memerlukan.”
PANDAI MEMASAK
Sejak usia 6 tahun Puteri sudah pun menunjukkan minatnya terhadap dunia masakan apabila gemar membelek buku-buku masakan milik nendanya, YM Tengku Anisah@Zainab Binti YM Tengku Muhammad. Menu pertama yang dipelajari oleh Puteri ialah rendang ayam bersama pulut kuning, serta makaroni bakar.
“Ketika kecil saya memang suka memerhatikan Bonda dan Nenda memasak termasuklah ketika mereka menyediakan bahan-bahan masakan. Bonda saya bernama Nik Safuanah Binti Mohd Hashim.
Saya juga merindui suasana ketika belajar memasak bersama sepupu-sepupu ketika zaman kanak-kanak. Kami sama-sama menyediakan hidangan untuk keluarga sambil dipantau oleh Nenda. Momen ini sangat seronok dan meninggalkan banyak kenangan manis.
Detik bersama keluarga adalah masa berkualiti kami kerana ketika inilah dapat berkumpul sambil melakukan aktiviti seperti jamuan makan. Kami akan memasak bersama-sama Bonda dan Nenda untuk menyediakan sajian istana Kelantan seperti Itik Serati Solor, Ayam Percik, Kerutuk Daging, Mas Sejemput, Pauh Dilayang, Jalur Emas, Cekmek dan Bunga Tanjung.
Menu lain yang turut menjadi kegemaran kami sekeluarga ialah Ros Lidah, Kerabu Sayuran Campur, Kerabu Daging, Solok Ikan Goreng, Kerabu Bekol Sri Kelantan dan Pulut Kuning Bersama Rendang Daging. Manisan pula kami menggemari Nasi Manis, Tepung Manis, Puding Jala Emas, Nasi Kaya, Cucur Betawi dan Martabak Diraja.
Antara hidangan yang sering saya masak ialah Ros Lidah. Ros Lidah ini merupakan menu turun temurun daripada Nenda saya. Ia merupakan lidah lembu yang direbus empuk kemudian dibersihkan dan dihiris nipis. Seterusnya ia diperap, digoreng dan akhir sekali dilengkapkan dengan kuah yang sangat mudah dihasilkan.
Secara peribadi, sajian istana yang paling saya suka ialah Itik Serati Solor yang juga resipi turun temurun keluarga saya. Ia mempunyai pelbagai rempah ratus yang dikisar secara tradisional sama ada digiling atau ditumbuk menggunakan batu gilingan.
Itik serati dibakar menggunakan bara arang. Memasak menu ini memerlukan kesabaran kerana ia mengambil masa. Itik Serati Solor sangat sedap dihidangkan bersama nasi putih dan ulam ulaman.
Bagi saya sajian istana Kelantan cukup istimewa kerana masih mengekalkan resipi asli serta mengekalkan kaedah tradisional seperti menggunakan bara arang, kuali tembaga, dulang tembaga, periuk atau belanga tanah dan batu gilingan. Selain itu, ia turut menggunakan bahan-bahan masakan semula jadi.
AMAL 3 PETUA UNTUK KEKAL CANTIK
Saya amalkan tiga jenis petua kecantikan yang diwarisi sejak turun temurun dari keluarga iaitu melumurkan bedak sejuk bersama kulit rambai dan asam jawa pada badan dan wajah bagi melembutkan kulit serta mencerahkannya secara semula jadi.
Saya juga mengamalkan susu santan yang dicampur bersama asam jawa dan limau purut bagi melebatkan rambut dan mencuci kulit kepala agar lebih segar. Petua ketiga untuk kesihatan dalaman. Saya amalkan makan ulam ulaman bersama nasi seperti pucuk gajus, pucuk paku, pegaga dan ulam raja. Bagi saya ulam umpama suplemen semula jadi yang bagus untuk kesihatan luaran dan dalaman.
PENCINTA GAYA KLASIK
Minat saya terhadap fesyen bermula daripada Bonda di mana beliau sering memberi idea kepada saya tentang gaya yang sesuai terutama ketika menghadiri majlis-majlis Diraja. Selain gaya moden saya turut menyukai fesyen yang ada sentuhan klasik. Saya sebenarnya pencinta songket dan batik Kelantan kerana ia melambangkan tradisi keluarga Diraja Kelantan.
Aksesori pula ‘item wajib’ pelengkap gaya. Saya gemar mengumpul barangan antik seperti barang kemas yang diwarisi daripada Nenda contohnya anting-anting, gelang kaki dan tangan, serta rantai. Tidak ketinggalan pakaian Nenda yang dipakainya ketika berada di dalam istana Kelantan.
Saya dan rakan-rakan baik memang suka berfesyen. Sometime shopping with your best friend is all the therapy you need. Kebanyakan rakan-rakan sangat mengenali cita rasa saya. Adakalanya kami gemar menyarungkan outfit yang sama tema ketika keluar. Sekiranya ada masa kami juga gemar bercuti bersama walaupun jarang berjumpa. Apa yang paling penting ialah our bond sisterhood unbreakable.”
BONDA SUMBER INSPIRASI
“Selain memiliki sikap keibuan yang tinggi, Bonda juga sangat lemah lembut, penyayang dan mementingkan disiplin. Bonda juga seorang yang mengambil berat dan penyabar. Saya bersyukur kerana dikurniakan seorang ibu yang menjaga saya umpama menatang minyak yang penuh. Saya berdoa agar Bonda dipanjangkan usia dan sihat selalu.”
Puteri turut berkongsi foto kenangan ketika Bondanya aktif sebagai penari istana yang turut disertai oleh sepupu-sepupu dan anak-anak kerabat Diraja Kelantan.
Impian Puteri ialah mahu menjadi usahawan berjaya kelak serta ‘membangun’ bersama-sama wanita Malaysia dalam bidang perniagaan. Baginya menjadi seorang wanita sebenarnya sangat menakjubkan kerana mampu berdikari dan melakukan pelbagai perkara pada zaman kini. #syukurbersama
Kredit Foto: Instagram Puteri Annisa Amalin
Ambil Keberkatan Ramadan, NURIDA SURAYA Berjaya Khatam Sempena Nuzul Al-Quran!
Bulan Ramadan pastinya menjadi bulan yang paling dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam. Malah, kedatangan bulan suci ini juga mendorong lebih ramai orang berlumba-lumba membuat kebaikan.
Tidak terkecuali, isteri kesayangan pereka fesyen terkemuka Rizman Ruzaini, Nurida Suraya Mohd Suhaimi atau mesra disapa Suraya.
Tumpang gembira bila terbaca posting wanita cantik ini yang berjaya khatam Al-Quran. Lebih manis, ia berlaku dalam bulan Ramadan dan Nuzul Al-Quran. Berita tersebut dikongsikan Suraya di Instagram miliknya.
Memuat naik gambar dirinya yang lengkap berjubah merah sambil memegang Al-Quran, kongsi Suraya, “Syukur alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, berjaya khatam Al-Quran pada hari Nuzul Al-Quran. Alhamdulillah.”
Sebagai suami, perkhabaran itu turut mengundang perasaan teruja dan gembira buat Rizman. Menghargai usaha isteri tersayang yang mendalami dan menghayati kitab suci tersebut ketika Ramadan, Rizman menghadiahkan pelbagai jenis bunga-bungaan segar berwarna putih khas buat Suraya. Sweet sangat!
Nota yang disertakan dalam jambangan bunga tersebut juga tertera nama anak mereka, Rizqaa.
Bahagianya hati seorang isteri apabila setiap usaha yang dilakukan mendapat penghargaan dan perhatian insan tercinta.
Suraya yang berusia 32 tahun dan berasal dari Kuala Lumpur merupakan pengasas Rizman Ruzaini Beauty (RR Beauty) dan Rizman Ruzaini Cosmetics.
Sehingga kini, RR Beauty mempunyai rangkaian produk seperti eyebrow, eyeliner, maskara, foundation, moisturizer, lipstick, eyeshadow dan eyelash curler. RR Beauty juga mempunyai produk supplemen Fruity Shapez.
Semoga kisah kejayaan dan pencapaian Suraya dalam memajukan perniagaan serta menuju ke arah kebaikan menjadi suntikan inspirasi buat semua
Rasa Tenang, Hilang Penat, Datuk Azizulhasni Khatam Al-Quran Sehari Sebelum Beraksi Di Olimpik!
Bertanding dalam sebuah kejohanan dunia cabaran besar buat atlet negara. Lagi-lagi kalau menggalas harapan 32 juta rakyat Malaysia, seperti yang dikongsi jaguh berbasikal trek, Datuk Azizulhasni Awang yang turut digelar ‘The Pocket Rocketman’.
Kejayaan meraih pingat perak Olimpik dalam acara Keirin pada Tokyo 2020 itu disifatkan sebagai bukan sesuatu yang mudah. Namun menariknya, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu ini berpegang kepada mukjizat Al-Quran untuk mendapat ketenangan.
“Ada yang tanya apakah rahsia saya kekal tenang menghadapi situasi-situasi yang ekstrem ini? Jawapan saya adalah Al-Quran.” Datuk Azizulhasni
Dalam sebuah kajian saintifik yang dijalankan oleh Dr Ahmed Al-Qadhi dari Florida, Amerika Syarikat, bacaan Al-Quran sangat berpengaruh pada saraf, otak dan organ tubuh badan.
Tidak ada bacaan yang dapat menguatkan daya ingatan dan memberi ketenangan kepada seseorang kecuali membaca Al-Quran.
Rahsia inilah yang membantu Datuk Azizulhasni menunjukkan prestasi terbaik, fokus dan tenang sepanjang perlumbaan yang disertainya.
Bercerita lebih lanjut tentang rahsia ini, wira Malaysia berusia 33 tahun itu turut mendedahkan ‘amalan’ membaca Al-Quran yang memberi kemenangan besar buatnya.
“Bermula di atas kapal terbang menuju ke Tokyo, saya tidak mensia-siakan waktu yang ada. Separuh perjalanan saya luangkan dengan membaca Al-Quran.
Menteri Belia & Sukan yang ketika itu ternampak dan mengetahui misi tersebut memberikan kata-kata semangat dan juga beberapa tips kerohanian.
Boleh kata semua waktu terluang yang ada ketika di perkampungan sukan tu, saya memang mengejar bacaan dan apabila kita baca Al-Quran ini tidak mudah, banyak dugaan-dugaan serta bisikan-bisikan yang cuba mematahkan semangat kita.
Sebab tu bila kita baca Al-Quran di bulan Ramadan sangat berbeza ketika baca di bulan-bulan yang biasa. Apabila setiap kali ada perasaan ‘berat’ tu, saya akan lawan dan lawan dan lawan.
Tetapi setiap kali saya membuat bacaan, saya tidak mengetahui apa yang berlaku di sekeliling saya, saya seolah-olah berada di dimensi yang berbeza dan dapat lupakan seketika kepenatan daripada latihan, tekanan yang berada di bahu saya dan juga segala macam masalah duniawi yang tersumbat di kepala.
Tenang. Bukan mudah untuk tenang apabila berdepan kejohanan terbesar dalam karier kita. Tetapi saya tidak tipu, memang dengan bacaan Al-Quran ini membuatkan pemikiran dan jiwa saya tidak bergelora.” Datuk Azizulhasni
Bapa kepada dua orang puteri, Amna Maryam dan Amna Khadeeja itu turut menyatakan beliau berjaya khatam bacaan pada hari Jumaat, sehari sebelum memulakan perlumbaan dalam acara Keirin.
“Sejurus selepas khatam tu, saya terus bernazar kepada Allah SWT dan saya meletakkan segala perihal dan urusan perlumbaan saya kepada-Nya kerana Dia lah Al-‘Alim, Allah yang Maha Mengetahui segalanya.”
MasyaAllah inilah perkongsian Jumaat terbaik dari seseorang yang cukup kita kagumi dan sanjung sebagai idola. Sebagai seorang atlet, pastinya pasukan Datuk Azizulhasni sudah membuat sebaik-baik persiapan fizikal, mental dan ‘jentera’ lawan.
Namun pada akhirnya sebagai seorang Muslim, kita juga perlu berserah dan tawakal kepada Tuhan sebagai usaha terakhir.
Sumber: Facebook Azizulhasni Awang