Gaya Hidup

Tampak Anggun & Menawan, DATUK NICOL ANN DAVID Curi Tumpuan Netizen Dengan Busana Rona Hitam

Jaguh skuasy negara, Datuk Nicole Ann David tidak perlu diperkenalkan lagi. Kejayaannya mengharumkan nama Malaysia di persada dunia bukan lagi sebuah persoalan. Malah, figura ini menduduki tangga pertama dunia dalam sukan skuasy wanita. Pernah memenangi gelaran Terbuka British pada tahun 2005 sehingga 2008 dan juga gelaran Terbuka Dunia pada tahun 2005 sehingga 2010, nama Nicol Ann David sudah terpahat sebagai lagenda.

Namun begitu, pada tahun 2019, Nicol mengambil keputusan untuk bersara dari dunia sukan dan menubuhkan Nicol David Organisation (NDO), bertujuan melahirkan penggantinya  untuk mengharumkan nama negara di persada antarabangsa. Ternyata, usaha murninya itu menjadi inspirasi dan aspirasi kepada masyarakat.

Biarpun tidak lagi ligat dan aktif dalam arena sukan skuasy, namun kejayaannya tidak pernah lenyap dalam sejarah negara Malaysia. Oleh kerana itu, Nicol seringkali mendapat pengiktirafan kerana pencapaiannya selama ini. Pernah dianugerahkan Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia dari Persatuan Sukan Dunia Antarabangsa (IWGA), Nicol tersenyum bangga apabila dia turut dianugerahkan Diamond Award dari Tatler Malaysia sebagai tanda pengiktirafan atas kejayaan dan pencapaiannya dalam dunia sukan serta sumbangannya menerusi NOD.

Menerusi perkongsiannya dalam laman Instagram, Nicol menyifatkan anugerah yang diterimanya itu sebagai pembakar semangat baginya untuk terus menyumbang bakti kepada negara dalam melahirkan generasi muda yang hebat dalam dunia sukan skuasy. 

Selain daripada anugerah yang diterimanya itu, rekaan busana yang disarungkan oleh Nicol pada majlis tersebut turut menjadi perhatian ramai. Tampak anggun dalam rekaan serba hitam dari pereka terkenal tanah air, Alia Bastamam, ia berjaya menyerlahkan sisi lain figura ini. Tidak kekok dalam menyarungkan busana tersebut dan tampak bersahaja, aura personalitinya yang anggun terus menyerlah.

“Thank you Alia Bastamam for this beautiful dress, I felt like a Queen”

Tidak hanya menjadi fokus lensa kamera, malah netizen juga turut terpukau dengan keanggunan Nicol dalam busana rona hitam itu. Rekaan busana ‘Oasis’ itu juga mendapat pujian ramai apabila sesuai dipadankan di atas tubuh pemain pertama dunia dalam sukan skuasy wanita.

Sentuhan solekan Sheng Saw yang cemerlang dalam mewujudkan konsep elemen glamor serta gaya rambut yang sisir kemas ke belakang hasil magis Edvid Kwa, menyempurnakan keseluruhan penampilan Nicol di majlis tersebut. Tambahan pula rekaan Alia yang mempunyai potongan seksi di bahagian belakang seolah-olah memberi definisi ’empowerment’ dalam keseluruhan gaya Nicol.

Sumber gambar: Instagram Datuk Nicol Ann David

 

Share
Published by
Putra