Tubuh badan yang didambakan bukan hanya sekadar langsing dan sihat tapi juga berlekuk indah. Namun masalah berat badan dan bentuk tubuh memang meresahkan dan selalu menjadi perhatian wanita.
Pada era moden ini, terdapat banyak kaedah untuk menurunkan berat badan dan membentuk tubuh lebih ideal. Bermula dengan mencuba kaedah alternatif yang tidak melibatkan pembedahan hinggalah kulit disuntik atau dibedah oleh doktor pakar, pilihan terletak di tangan anda.
Namun tanpa alasan yang kuat, fikirkan semula pilihan untuk melakukan pembedahan kosmetik kerana ia nyata merubah ciptaan-Nya.
Jika pembedahan dilakukan atas sebab darurat dan dibenarkan syarak serta demi kebaikan, tiada salahnya bukan? Namun kepada yang masih ingin melakukannya, anda harus tahu apa yang perlu dilakukan dan dihindari sebelum dan sesudah melakukan pembedahan!
(a) SEBELUM PEMBEDAHAN
Keputusan untuk melakukan pembedahan plastik terletak di tangan anda. Bukan kerana dorongan pasangan, kekasih atau sesiapa pun. Namun anda haruslah mendapatkan kebenaran daripada ibu dan bapa, pasangan atau insan terdekat.
- Layari Internet atau dapatkan informasi secukupnya daripada doktor pakar tentang bagaimana hasilnya nanti wajah anda selepas pembedahan itu.
- Luangkan masa yang perlu untuk berunding dengan doktor. Doktor akan memberikan rundingan lengkap berkaitan tujuan, hasil sehinggalah risiko yang terpaksa ditanggung selepas pembedahan.
- Pastikan anda membawa gambar rujukan wajah seperti yang diinginkan. Doktor akan menyarankan idea dan pendapat mengenai perubahan yang wajar atau tidak untuk dilakukan semasa pembedahan nanti.
- Elakkan merokok dan minuman beralkohol. Pengambilan ubat-ubatan dan suplemen yang bersifat mencairkan darah harus dihentikan kurang lebih dua minggu sebelum pembedahan.
- Jangan berharap selepas pembedahan nanti, hidung atau bahagian lain badan anda kelihatan sama seperti selebriti Hollywood, Nicole Kidman. Ingat, setiap orang punya struktur tubuh yang berbeza. Belum lagi menyentuh tentang kualiti bahan yang digunakan ketika pembedahan. Jadi belum tentu hasilnya akan betul-betul sama persis selebriti luar negara.
(b) SELEPAS PEMBEDAHAN
- Rawatan luka adalah yang paling penting untuk mencegah kemungkinan jangkitan. Pastikan anda kerap meminum antibiotik dan kerap mencuci luka anda. Proses mencuci luka boleh dilakukan sendiri atau di hospital tempat anda melakukan pembedahan.
- Selepas pembedahan, lakukan sedikit aktiviti menggerakkan tubuh kerana dikhuatiri jika asyik tidur akan menyebabkan berlakunya penggumpalan darah.
- Melakukan aktiviti sememangnya digalakkan namun tidak bermakna anda boleh berkunjung ke gimnasium selepas pembedahan. Jika mahu melakukan aktiviti berat, lakukannya selepas tiga minggu pembedahan. Jika tidak dikhuatiri luka pembedahan akan terbuka atau dijangkiti.
- Tidak disarankan pembedahan di bahagian yang sama jika tidak melebihi enam bulan. Setiap pembedahan akan mempunyai luka dan memakan masa untuk sembuh.
TRIVIA
- Pembedahan yang kerap dilakukan oleh rakyat Malaysia ialah di bahagian mata dan hidung.
- Implan silikon dalam payudara hanya akan bocor jika dicucuk dengan benda tajam.
- Wanita masih boleh menyusui meski memakai implan silikon di payudara.
- Sebuah kajian yang dilakukan oleh para penyelidik di Amerika Syarikat dan Finland mengungkapkan fakta bahawa wanita yang melakukan pembedahan pembesaran payudara melalui implan, ternyata tiga kali lebih terdorong untuk membunuh diri. Bahkan keinginan bunuh diri tersebut lebih dirasai pada tahun-tahun pertama pra-pembedahan.
- 6 peratus wanita Korea berumur 20 hingga 30 tahunan telah melakukan pembedahan plastik.
- Setiap tahun, sekitar 100 ribu orang remaja dan kanak-kanak di Jerman melakukan pembedahan plastik. Fenomena obsesi terhadap pembedahan plastik melanda generasi muda sehinggalah cadangan untuk memasukkan klausa baru dalam Rancangan Undang-Undang mengenai larangan operasi plastik bagi kanak-kanak dan remaja usia belasan tahun.
Soal Jawab Pembedahan Plastik
S: Apakah doktor tersebut mempunyai kelulusan berdaftar?
J: Anda harus menyiasat akan kredibiliti doktor terlebih dahulu. Sudah banyak kes melibatkan pembedahan oleh doktor palsu yang mengakibatkan pesakit menderita selepas pembedahan.
S: Di mana pembedahan akan dilakukan? Bagaimana pula dengan kosnya?
J: Pembedahan estetik biasanya memakan masa singkat dan boleh dilakukan di mana-mana. Namun pastikan ruang bersih dan setiap peralatan disteril. Begitu juga dengan kos operasi, sudah tentu anda tidak mahu hasil pembedahan sekadar minima saja kerana bajet yang diperuntukkan besar.
S: Perlukah impian dan keinginan dikongsikan?
J: Sebaiknya jangan sampai menyerahkan keputusan sepenuhnya pada doktor kerana selera doktor tentunya berbeza dengan pesakit. Kongsikan idea dan pendapat anda. Jika anda merokok, maklumkannya kepada doktor kerana dikhuatiri tabiat merokok selepas pembedahan akan melambatkan proses penyembuhan.
S: Bagaimana hasil pembedahan nanti?
J: Jangan sampai hasil akhirnya tidak sesuai dengan bentuk yang anda idamkan selepas pembedahan nanti. Minta pada doktor untuk menunjukkan anggaran fizikal anda di komputer. Tapi, jangan punya jangkaan berlebihan. God’s and people’s hands are different.
S: Adakah pembedahan akan mempengaruhi bentuk fizikal yang lain?
J: Setelah pembedahan, bentuk fizikal yang diubah akan mempengaruhi bentuk lain. Misalnya, anda ingin memancungkan hidung. Secara automatiknya, tekstur tulang hidung yang berubah akan mempengaruhi senyuman anda. Sebelum menyesal, fikirkan segala kemungkinan yang boleh terjadi.
S: Sudahkah anda bersedia?
J: Perundingan adalah tempoh screening untuk mengetahui sama ada anda sudah bersedia daripada segi fizikal, psikologi dan sosial sebelum dibedah. Jika anda masih mempunyai soalan untuk ditanyakan menandakan anda masih ragu-ragu untuk melakukannya. Doktor berhak memutuskan sama ada anda sudah bersedia atau tidak.
S: Apakah pembedahan yang dijalani akan meninggalkan parut?
J: Setiap pembedahan meninggalkan kesan parut dan dapat disamarkan dengan teknik jahitan. Seelok-eloknya anda maklumkan bahagian ideal untuk menyembunyikan bekas jahitan.
S: Apa yang perlu dilakukan selepas pembedahan?
J: Jika anda tidak bertanya mengenai perkara ini, pesakit pasti akan runsing memikirkan hasilnya nanti. Ini kerana selepas pembedahan, hasilnya tidak kelihatan seperti yang digambarkan. Lebih-lebih lagi perubahan seperti membengkak dan sebagainya pasti merunsingkan anda. Tapi jika jawapannya sudah sedia, what are you waiting for? KR
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI