Macam anak daralah! Lama tak nampak kemunculan Erin Malek dalam drama atau filem tempatan. Teringat lagi lakonan Erin sewaktu membintangi filem kanak-kanak Tentang Bulan. Rasanya masa tu dia baru berusia belasan tahun. Dari zaman anak dara, sampailah sudah berumah tangga nampak makin berseri-seri. Walau sudah berkahwin, body maintain langsing. Hakikatnya, Erin atau nama sebenarnya Nur Arina Abdul Malek ini sudah hampir lima tahun bergelar mak. Ada dua orang anak pula tu!
Ads
Mengintai foto terkini Erin di samping keluarga tercinta pada pagi 1 Syawal, memang terserlah kecantikan aktres jelita ini. Beliau yang anggun mengenakan persalinan tradisi dengan rekaan moden kontemporari tampak cukup sempurna berada di sisi suami yang turut memakai baju melayu rona sedondon! Begitu juga kedua-dua anak mereka yang tampil comel dalam warna ungu lilac yang sama.
Pilihan warna raya Erin sekeluarga tahun iniDua permata hati Erin & suamiDi samping adik-beradik
Berkahwin dengan jejaka pilihan yang juga anak kepada usahawan automobil ketika usia baru mencecah 20 tahun pada tanggal 10 Oktober 2014, isteri kepada Farriz Fauzy ini
selamat melahirkan anak sulung mereka setahun kemudian pada 1 Oktober 2015.
Kelahiran bayi lelaki yang diberi nama Mohamed Faliq Mohamed Farriz tersebut nyata menyentuh emosi ibu muda ini. Dua tahun kemudian, Erin dan suami kembali dikurniakan rezeki anak perempuan yang kini berusia tiga tahun. Nur Aisha Mohamed Farriz dilahirkan pada 10 Februari 2017. Alhamdulillah, dah sepasang dah anak Erin dan Farriz.
Sejak berstatus isteri dan mak orang, Erin memperlahankan aktiviti seninya dan agak jarang muncul di majlis-majlis hiburan mahupun kaca TV. Fokusnya kini lebih tertumpu kepada keluarga dan menguruskan dua orang anak.
Pun begitu, kelibat Erin Malek tetap menjadi perhatian dan sumber inspirasi peminat khususnya kaum wanita kerana mampu sentiasa tampil cantik dan bergaya walaupun ada dua anak yang masih kecil.
Ads
Meskipun kedua-dua anak masih kecil, namun Erin dan suami dilihat kerap membawa anak-anak bercuti bersama. Seronok tengok anak-beranak ini pergi melancong. Tak kisahlah macam mana struggle bawa anak bercuti, tapi Erin dan suami saling membantu menguruskan dua cahaya mata mereka dan sanggup angkut stroller sepanjang percutian. Namun, sejak PKP dan Covid-19 mesti ramai selebriti termasuk Erin menunda percutian mereka tahun ini.
Ads
Berbicara tentang penampilan wanita jelita ini pula, Erin mendedahkan dia mengambil keputusan untuk berhijrah dan tampil berhijab pada tahun 2016 selepas hasrat ingin memakai tudung disokong suami tercinta dan keluarga tersayang. Memang terserlah keayuan Erin Malek sejak bertudung! Nampak makin sopan, manis dan berseri-seri.
Kredit: Instagram Erin Malek
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
ANNA RAZALI bukanlah calang-calang wanita. Apabila dia berjalan di hadapan sekumpulan lima orang lelaki, boleh dikatakan kelima-lima mereka akan menoleh lebih sekali padanya dengan mulut berdecit dan mata hampir terbeliak. “Fuyoo…!” Kata pula mereka yang lebih miang.
Anna biasa sahaja. Sekurangnya dia puas hati, mungkin kerana semburan Diornya pagi tadi berjaya menghambat dada lelaki-lelaki itu. Atau mungkin skirt labuh yang baru dibeli di Pavilion, Ahad lepas menambah lagi keyakinannya untuk melangkah. Mungkin juga beg sandang dengan laptopnya itu semakin menjadikan dirinya berwibawa.
Dia selamba sahaja meneruskan segala urusannya seharian, ke hulu dan ke hilir, turun naik kereta membereskan segala urusan dalam pejabat dan luar pejabat. Sama ada di kaunter pejabat swasta ataupun menghadiri mesyuarat penting di jabatan kerajaan itu lumrah baginya. Orang senyum dia senyum. Orang bertanya, dia menjawab.
Pernah sekali Datuk Munir menegur Anna; “You ni cubalah cool sikit… you bukan tak boleh buat semua itu tetapi ikutlah kesesuaian, slow and steady,” kata lelaki itu.
Gambar: Hiasan
Anna hanya tersengih. Kemudian lambat-lambat dia menjawab…”Saya ni Datuk, kalau disuruh melompat dan berlari pun saya memang sanggup. Itu cara kerja saya, pantang bertangguh. Tapi saya memang tak boleh melihat pekerja yang buat kerja dengan lembap dan penuh lemah gemalai,” kata Anna.
Datuk Munir tersenyum. “Yes… you are a good girl…” Selalu dia puji Anna begitu. Dia tahu Anna Razali akan bergerak pantas mengalahkan orang lain. Datuk Munir memang bangga dengan pencapaian Anna.
Malah ramai kawan-kawan bisnes Datuk Munir minta dikenalkan dengan Anna. Mereka mahu membawa Anna masuk ke dalam syarikat mereka. Mereka malah mahu lebih daripada itu. Misalnya kalau boleh…. Membawa Anna pergi makan malam, duduk berborak-borak, bersantai sambil berbual ringan.
“Eh, kamu jangan nak buat begitu dengan Anna…” Tegas Datuk Munir.
Datuk Halim termenung. Dia meraba-raba misai nipisnya. “Kenapa?” Soalnya pantas. “Bukankah Anna tu masih muda, mahukan perhatian, mahukan hiburan dan teman-teman gembira di sekelilingnya setelah penat seharian menguruskan hal pejabat?”
Datuk Munir tersengih sahaja.
“Saya ni Datuk, kalau boleh mahu pinjam Anna untuk mini pelaburan syarikat saya ke Dubai bulan depan. Boleh Datuk benarkan saya bawa Anna bersama?” Pinta pula Hanif Bobo, seorang tuan punya sebuah syarikat perkapalan.
Sekali lagi Datuk Munir tersenyum. Datuk Halim dan Hanif Bobo mengerut dahi. Kali ini Datuk Jalal pula menyampuk, “Ah Munir… janganlah kedekut. Pinjamkan Anna… saya pinjamkan you saya punya June. Bukan lama, sekejap saja.” Kata Datuk Jalal, penuh yakin dan amat berharap.
Datuk Halim sudah membayangkan kelincahan Anna di Dubai City. Malah Hanif Bobo juga sudah tersengih melihat Anna sedang menari gemalai di bawah neon yang malap. Lebih daripada itu Datuk Jalal tersengih sakan melihat Anna terlentok di bahunya dalam penerbangan MAS ke Hong Kong.
Datuk Munir menggeleng. Berkali-kali dia menggeleng. “Tak boleh. Saya tak akan benarkan Anna mengikut you all. Dia amanah bagi saya. Saya kena pegang amanah itu. Tak boleh…!”
“Kenapa? Apa salahnya? Saya hendak pinjam sekejap sahaja. Habis siap semua projek, saya pulangkan semula… Semua projek akan beres dalam tiga bulan sahaja. Nanti jika berjaya saya akan berikan juga sebahagian keuntungan projek pada you…”
Sekali lagi Datuk Munir menghela nafas panjang. “Tahukah kamu Anna tu dah kahwin, dah ada lima orang anak. Lagipun dia staf saya, bukan barang dagangan untuk ditukar milik.” Kali ini Datuk Munir terpaksa meninggikan suara.
Serentak itu Datuk Halim dan Hanif Bobo melopong. Datuk Jalal sudah angkat punggung, meninggalkan mereka bertiga. Seketika, Datuk Halim dan Hanif Bobor tidak berani bersuara. Mereka melihat raut wajah
Datuk Munir penuh teka-teki.
“Saya tahu ramai yang anggap Anna masih bujang. Maafkan saya… dia seorang ibu muda yang aktif. Dia berjaya dengan usahanya sendiri. Dia berjaya mengimbang antara kerjaya dan rumah tangga. Itu sudah cukup baginya. Tak perlu ada suntikan dari luar…” Datuk Munir menerangkan panjang lebar.
“An honest heart is an open heart… saya ikhlas. Semoga lepas ini tak ada salah sangka pada ibu kerjaya. Mereka betul-betul kerja untuk membantu keluarga, bukan main-main untuk menggoda lelaki,” jelas Datuk Munir lagi.
“Jangan samakan Anna kepunyaan syarikat saya itu dengan June atau Sally atau Mimie yang ada di pejabat kamu…” kata Datuk Munir, menyindir.
Bukanlah payah untuk berusaha
Namun seksanya jika kita menjaja setia
Coretan: Sri Diah (Majalah Nona)
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Umum sedia maklum menuntut ilmu merupakan satu fardu (wajib) terhadap seseorang individu. Dalam erti kata lain dengan adanya pendidikan, ia mampu mengeluarkan seseorang atau sesebuah keluarga daripada kepompong kemiskinan.
Oleh itu, untuk keluar daripada belenggu kemiskinan, pendidikan adalah jalan terbaik yang dapat menentukan sejauhmanakah seseorang itu boleh pergi lebih jauh. Tidak dinafikan, semakin tinggi pengetahuan pendidikan yang dicapai, semakin terbuka luas peluang pasaran untuk menjawat pelbagai jawatan dan mendapat pulangan yang lumayan.
Namun begitu, kepentingan pendidikan ini tidak harus dilihat dari segi matlamat ekonomi sahaja, tetapi ia berkaitan dengan melahirkan seorang insan yang beriman. Dalam usaha mendapatkan pendidikan yang sempurna, tabungan dana pendidikan juga perlu diberi perhatian khusus untuk membolehkan proses melanjutkan pelajaran tidak dibebani
dek hutang yang boleh menjejaskan kehidupan di masa akan datang.
Atas insiatif ini, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) yang mula berkuatkuasa pada 1 Julai 1997.
Menurut Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, YBrs. Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid yang ditemui ketika sesi penggambaran NONA Superhero Award baru-baru ini menerangkan tentang fungsi PTPTN secara menyeluruh.
“Sepertimana yang kita sedia maklum, penubuhan PTPTN merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan dalam memastikan tidak ada pelajar yang tercicir untuk meneruskan pendidikan di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) disebabkan masalah kewangan.
Sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), PTPTN memainkan peranan penting dalam mendukung hasrat kerajaan untuk memastikan kelestarian pendidikan tinggi terus terjamin melalui fungsi dan peranan PTPTN termasuklah menguruskan pinjaman untuk tujuan pendidikan tinggi dan seterusnya memungut bayaran balik pinjaman, menyediakan skim simpanan dan mengurus deposit untuk tujuan pendidikan tinggi,” ujar beliau yang telah berkhidmat selama 25 tahun di PTPTN dan merupakan salah seorang pegawai terawal yang menyertai PTPTN pada tahun 1998.
Tambah beliau lagi, peranan PTPTN merangkumi memberi akses pendidikan yang lebih tinggi dalam memberi manfaat secara menyeluruh kepada masyarakat amatlah besar kerana melalui pendidikan mereka dapat membangunkan taraf hidup keluarga, bangsa dan negara.
“Pelbagai usaha dan bantuan dilaksanakan bagi mereliasasikan hasrat masyarakat Malaysia antaranya memberi bantuan kepada para pelajar di peringkat awal dengan memperkenalkan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) kepada para pelajar yang akan memasuki Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tanpa perlu ibu bapa mengorbankan tanah, barang kemas atau binatang peliharaan mereka.
Tidak hairanlah mengapa jenama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional ini cukup sinonim dalam melestarikan impian pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Malah pelbagai inisiatif telah diperkenalkan untuk memastikan ibu bapa cakna
soal menabung untuk dana pendidikan anak-anak supaya peluang dan ruang untuk melanjutkan pelajaran terbuka luas tanpa kekangan dari aspek kewangan.
“PTPTN merupakan tabung pendidikan untuk masa depan rakyat Malaysia. Ia merupakan satu tabung yang disediakan ibu bapa untuk anak-anak melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. Dengan adanya tabung ini, ia membolehkan anak-anak belajar sehingga ke
peringkat yang tertinggi tanpa masalah kewangan.
Ia membuka peluang masa depan yang lebih cemerlang menerusi manfaat dan nilai tambah yang diperoleh daripada pendidikan tinggi sekali gus menjadi orang yang berguna untuk masyarakat dan dapat memberi sumbangan kembali kepada masyarakat,” ujarnya mewakili badan tersebut untuk pengiktirafan sebagai NONA BEST FUTURE EDUCATION FUND AWARD sempena NONA Superhero Award 2023.
Ketika ditanya mengenai pelbagai medium simpanan yang wujud sebagai langkah untuk menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan amalan menabung, Ahmad Dasuki mempunyai pandangannya tersendiri.
“Sejak kebelakangan ini banyak cara simpanan yang diperkenalkan antaranya termasuklah simpanan emas dan sebagainya. Ada juga yang menjadikan hartanah sebagai tabungan untuk dana pendidikan. Tetapi di PTPTN kami memperkenalkan tabungan yang dikenali sebagai Simpan SSPN untuk penabungan awal anak-anak.
“Antara produk simpanan yang diperkenalkan oleh PTPTN termasuklah Skim Simpanan Pendidikan Nasional atau dikenali Simpan SSPN. Ia merupakan satu skim simpanan yang diwujudkan oleh PTPTN untuk penabungan pendidikan tinggi dari seawal usia 1 hari. Ia diperkenalkan sejak tahun 2004 lagi untuk menyemai tabiat menabung di kalangan
ibu bapa.
Dengan adanya simpanan ini, ia dapat menjadi tabungan pendidikan untuk anak-anak tanpa perlu meminjam dari mana-mana institusi. Inilah yang dikatakan pendidikan secara percuma oleh PTPTN di mana ibu bapa menyediakan satu dana dan tak perlu bergadai dengan adanya simpanan,” ujarnya lagi.
Ramai beranggapan usai menamatkan pengajian di peringkat universiti, para graduan merasa terbeban untuk membayar kembali pinjaman pendidikan atas pelbagai faktor dan desakan kewangan. Stigma tersebut dapat dielakkan sekiranya tabiat menabung dapat disemai sebaik mungkin.
Menurut Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, dari perspektif pelajar, minat dan tabiat menabung boleh dibuat secara berterusan dan berbelanja secara berhemah untuk masa depan.
Jika sebelum ini pelanggan perlu log masuk di portal yang berbeza untuk mendapatkan
perkhidmatan PTPTN. Kini, pelanggan dapat menikmati pelbagai kemudahan PTPTN
berkaitan bayaran balik, simpanan dan pinjaman dalam satu aplikasi secara Single Sign On (SSO). PTPTN juga terus komited untuk memastikan para peminjam membuat
bayaran balik pinjaman secara konsisten bagi kelangsungan dana untuk generasi akan
datang.
Sehingga 31 Oktober 2023, seramai 2.25 juta peminjam atau 83.05% yang sepatutnya
membuat bayaran balik, telah mula membuat bayaran balik pinjaman mereka. Terima
kasih diucapkan kepada para peminjam atas sifat tanggungjawab yang ditunjukkan.
Semoga amalan mulia ini dicontohi oleh para peminjam lain. Sesungguhnya bayaran
balik yang diterima adalah penting untuk memastikan kesinambungan pinjaman kepada
pelajar baharu.
“Ia sekali gus memberikan peluang dan ruang untuk para pelajar belajar bersungguh-sungguh dan menamatkan pengajian ke peringkat yang tinggi dan mendapat pengecualian bayaran balik pinjaman pendidikan. Ia adalah antara motivasi terbaik diterapkan oleh PTPTN untuk melahirkan graduan yang berkualiti serta mampu mencapai tahap pendidikan terbaik untuk pembangunan bangsa dan negara,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan.■
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bukankah itu merupakan soalan yang cukup mencabar untuk dijawab oleh golongan Adam? Selalunya, golongan wanita itu sendiri mempunyai masalah untuk menguraikannya seacara pasti. Salah satu sebab mengapa memahami kehendak golongan wanita dianggap sukar adalah kerana cara golongan wanita itu memproses fikiran dan emosi amat berbeza jika dibandingkan dengan cara golongan lelaki memproses maklumat.
Jika diperhatikan dengan teliti, kebanyakan hubungan yang berjaya adalah apabila semua kehendak wanita berjaya dipenuhi, perlu diingat bahawa kehendak tidak semestinya memfokuskan kepada material sahaja.
Wanita selalunya peka tentang kehilangan sesuatu yang penting dalam hubungan. Jika lelaki mampu meneliti, wanita yang keluar dari sebuah perkahwinan sebenarnya mencari apa yang hilang dalam sebuah perkahwinan itu. Misalnya apabila kehidupan seksnya membosankan atau mungkin tiada langsung, mereka akan mula mencari kekasih yang mampu memberikan belaian. Atau mungkin bagi seseorang wanita yang tidak dihormati oleh pasangannya, mereka akan mencari lelaki yang mampu menghormati mereka.
Berikut adalah antara perkara-perkara penting yang wanita dambakan daripada lelaki:
Keyakinan
Keyakinan merupakan kualiti yang utama yang dicari dalam diri seseorang lelaki. Oleh itu, buangkan rasa takut dan tidak yakin anda. Jangan ucapkan maaf terhadap semua yang anda lakukan. Be real! Jadi diri anda yang sebenar.
Gentlemen
Wanita akan cepat ‘cair’ dengan lelaki yang bersikap gentlemen. Membuka pintu untuknya, berjalan di sebelah kanan apabila mengusuri jalan bersama, memberikan jaket apabila dia kesejukan atau ketika dalam keadaan yang terancam, kamu meletakkan lengan untuk merangkul bahunya. Dengan kata lain, menjadi lelaki sebenar.
Kelakar
Wanita lebih gemarkan lelaki yang mampu membuatkan dia ketawa. Jika lelaki terlalu mengikut protokal, ianya amat membosankan wanita. Bersikap lebih bersahaja dan selamba. Lawak kecil yang cukup sahaja mampu membuatkan wanita gembira.
Pendengar
Menjadi tabiat wanita untuk merungut dan mereka sebenarnya tidak mengharapkan sebarang nasihat cukup sekadar pasangannya menyiakan sahaja. Kadang-kala ianya agak merimaskan terutama apabila anda cuba menumpukan perhatian terhadap tayangan bola sepak di ESPN. Tetapi hakikatnya, sedikit perhatian yang ditunjukkan oleh anda mampu membuatkan dia menyayangi kamu hingga ke hujung dunia!
Dihargai
Penting bagi wanita untuk rasa dihargai dengan apa yang ada pada dirinya. Dia perlu merasakan istimewa berbanding wanita di sekelilingnya. Perlu bagi wanita ini mengetahui lelaki/pasangannya menyokongnya dalam setiap tindakan.
Merasa dirinya sebagai wanita sejati
Penting bagi wanita untuk merasakan diri mereka kelihatan cantik, seksi dan feminin di mata lelaki terutama pasangannya. Wanita itu ingin memperolehi perasaan bangga dengan anugerah tuhan (terutama tubuh badan) yang diberikan kepada mereka.
Perasaan keintiman yang mendalam
Penting bagi setiap wanita itu untuk merasa kaitan emosi keintiman dengan pasangannya yang tidak mungkin dirasai dengan lelaki lain.
Seks
Bagi wanita yang telah mendirikan rumahtangga hubungan seks yang menghairahkan penting untuk menggambarkan rasa cinta dan sayang pasangan terhadapnya. Bagi wanita, seks bukan sekadar kepuasan tetapi tanda cinta dan rasa diperlukan oleh pasangan yang membuatkan hubungan itu lebih mengasyikkan. Penting bagi wanita untuk digoda, merasa menarik, dan puas. Wanita itu perlukan kelainan dalam hubungan dan membawanya berkhayal dengannya.
Secara realitinya tidak semua perkara mampu dipenuhi oleh lelaki. Tiada siapa yang sempuran kecuali penciptanya. Oleh itu cuba yang terbaik untuk menyelami hati dan sikap wanita itu sendiri. Komunikasi merupakan cara yang terbaik untuk kamu mengetahui apa perasaannya terhadap layanan yang kamu berikan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!