TAN SRI MICHELLE YEOH Menawan Di Karpet Merah Festival Cannes Dengan Balenciaga, Siap Terima Anugerah Khas

Kemenangan Tan Sri Michelle Yeoh sewaktu majlis Anugerah Oscar baru-baru ini nyata membuka mata banyak pihak apatah lagi kejayaannya merangkul anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Everything Everywhere All At Once membuka pintu buat wanita-wanita berlainan warna kulit teruatama dari benua Asia.

Dan baru-baru ini, Tan Sri Michelle Yeoh memukau hadirin yang hadir ke Festival Filem Cannes 2023 menyarung persalinan Balenciaga berona hijau nyata mempersonakan.

Kredit foto: Instagram @harpersbazaarhk
Kredit foto: Instagram @harpersbazaarhk

Bintang Everything Everywhere All At Once yang juga pemenang Oscar, Tan Sri Michelle Yeoh juga turut hadir menerima pengiktirafan di Festival Filem Cannes apabila dia dianugerahkan dengan anugerah khas Kering’s Women in Motion Award.

Yeoh, yang turut memenangi Anugerah Golden Globe dan SAG tahun ini, menerima tepukan gemuruh tetamu termasuk Leonardo DiCaprio, Isabelle Hupert, Rebel Wilson, Alfonso Cuaron, Salma Hayek, presiden juri Ruben Östlund, ahli juri Paul Dano dan Brie Larson, Presiden Festival de Cannes Iris Knobloch, dan Pengarah Festival Cannes, Thierry Frémaux.

 

“Sudah terlalu lama kami sebagai wanita terpaksa berada di belakang dan tidak dimasukkan sebagai topik perbincangan. Kami sering diberitahu pintu untuk kami sudah ditutup.

“Virginia Woolf pernah berkata, ‘tidak ada pintu pagar, tiada kunci, tiada bolt (besi halangan) yang boleh anda pasangkan pada kebebasan fikiran saya.’ Idea kami (wanita) tidak berkesudahan. Semangat kami tidak terhingga. Dan kami datang untuk mengetuk pintu itu,” kata Yeoh dalam ucapan.

Yeoh seterusnya menyebut beberapa watak ikonik yang pernah dipegangnya, “yang kuat, berkebolehan dan tidak takut untuk membela diri sendiri,” termasuk Wai Lin dari Tomorrow Never Dies, Yu Shu Lien dari Crouching Tiger, Hidden Dragon dan Evelyn Wang dari Everything Everywhere All At Once.

“Mereka telah mengajar saya banyak perkara tentang bagaimana saya ingin bergerak dalam dunia, iaitu dengan integriti, dengan kekuatan dan lebih penting, kasih sayang,” katanya.

Penerima anugerah itu sebelum ini termasuklah Viola Davis, Jane Fonda, Geena Davis, Susan Sarandon, Isabelle Huppert, Patty Jenkins, Gong Li dan Salma Hayek.

Sumber: Astro Awani

 

Share
Published by
Wan Firdaus