Siapa yang tidak kenal dengan Tan Sri Michelle Yeoh, bintang kelahiran Ipoh yang mencipta nama di persada Hollywood sekaligus menjulang nama Malaysia di peringkat global. Baru-baru ini, Majalah antarabangsa terkemuka, Time mengumumkan beliau sebagai Ikon Tahun 2022 tanda pengiktirafan terhadap sumbangan besarnya kepada industri perfileman.
Melalui hantaran dikongsi di Instagram (IG) majalah itu, Time mengumumkan pemilihan aktres yang berusia 60 tahun itu dibuat atas pencapaian Yeoh yang dianggap bintang paling berpengaruh di Asia sejak berdekad-dekad lamanya. Tan Sri Michelle Yeoh yang kelihatan cukup anggun, menyarung busana ekstravagan Polka dot hitam dan putih. Michelle Yeoh distailkan oleh stylist popular Jordan Johnson dan dirakam oleh Watt Photo.
Kapsyen pada hantaran itu memperakui Yeoh sebagai kuasa besar dalam era kegemilangan filem aksi Hong Kong melalui penampilan dalam rangkaian filem yang turut memperlihatkan keberanian aktres itu melakukan aksi lagak ngeri.
Entri itu turut menyebut penampilan sulung Yeoh dalam filem terbitan Hollywood apabila membintangi filem James Bond, Tomorrow Never Dies pada 1997 diikuti naskhah besar lain seperti Crouching Tiger, Hidden Dragon, Crazy Rich Asians dan Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings.
Penampilan Yeoh dalam filem ‘indie’ arahan Daniel Kwan dan Daniel Scheinert berjudul Everything Everyone All At Once dianggap detik yang sudah lama dinantikan di mana nama bintang itu menjadi sebutan ramai, malah beliau juga dikhabarkan bakal disenaraikan antara calon Oscar tahun hadapan untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem tersebut.
Entri dimuat naik Time di IG itu turut dikongsi Yeoh yang mengucapkan terima kasih kepada majalah itu dan mengakui dirinya diberkati atas pengiktirafan diberi. Ogos lalu, Yeoh yang membintangi lebih 70 filem sejak empat dekad lalu, menjadi artis Asia pertama menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) dalam seni halus dari Institut Filem Amerika (AFI), Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).
Karier seni Michelle bermula selepas memenangi pertandingan Miss Malaysia World ketika berusia 20 tahun pada 1983. Yeoh kemudian mewakili Malaysia ke pertandingan Miss World 1983 di London, United Kingdom (UK).
Selepas itu, Yeoh dilaporkan menyertai pertandingan Miss International Tourism Quest dan muncul pemenang, lantas membuka laluan kepada dunia lakonan apabila terpilih menjayakan projek komersial bersama Jackie Chan hingga menarik perhatian penerbit filem Hong Kong, D&B Films.
Antara filem lain lakonan Yeoh adalah Memoirs of a Geisha yang ditayangkan pada 2005, Reign of Assassins (2010), Kung Fu Panda 2 (2011) dan The Lady (2011) di mana Yeoh membawa watak Aung San Suu Kyi.
Selain Everything Everywhere All at Once, tahun ini, Yeoh membintangi filem The School Of Good And Evil, Minions : The Rise Of Gru, Paws Of Fury : The Legend Of Hank dan Avatar : The Way Of Water.
Sumber: Berita Harian
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Dari Model Kini Lawyer! DATO PROF DR RAZAK MOHAIDEEN Luah Rasa Bangga Anak Teruna Kini Jadi Peguam
Pasti ramai pembaca-pembaca NONA membesar menyaksikan filem-filem arahan pengarah berpengaruh Dato Prof Dr A Razak Mohaideen yang cukup digemari ramai. Dari satu naskah terbitan dan arahannya pasti mengamit rasa, antaranya yang masih berbekas di hati ialah filem-filem malar segar seperti Mami Jarum, Gemerlapan, Anak Mami The Movie, Jutawan Fakir, Bujang Senang, Otai, Duyung dan Sifu & Tongga.
Pengarah yang berasal dari Bukit Gelugor Pulau Pinang ini juga pengasas dan pemlik syarikat penerbitan filem Malaysia, LineClear Motion Pictures. Beliau kini memegang jawatan sebagai Dekan Fakulti Filem Teater dan Animasi di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Perdana, Shah Alam, Selangor.
Dan baru-baru ini, menerusi hantaran di media sosialnya Razak Mohaideen berkongsi rasa bangganya apabila anak terunanya, Aniq Aqil atas kejayaan menjadi seorang peguam bela dan peguam cara menerusi upacara call to the bar.
“Alhamdullilah. Tahniah Aniq Aqil atas kejayaan melalui call to the bar. Semoga terus cemerlang dan gemilang. Dalam bidang guaman dan modeling. Amin,” tulis Razak Mohaideen di ruangan kepsyen Instagramnya.
Aniq yang juga merupakan seorang model di bawah pengurusan The Models Lab turut meluahkan coretan hatinya selepas melalui pelbagai pahit getir menjadi seorang pengamal undang-undang sambil turut berkongsi gambar dirinya bersama ayah, ibu; Nazeera Ahmed Bazari dan adiknya; Batrisyia Abdul Razak di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Selepas bertahun-tahun meragui keupayaan diri saya sendiri, akhirnya saya boleh mengatakan yang saya berbangga dengan diri saya kerana tabah, gigih membaca halaman tambahan pada pukul 5 pagi setiap hari, mengheret diri saya ke kelas walaupun saya rasa saya tidak mahu pergi (ini tipu, saya ponteng banyak kelas).
Saya berjaya juga akhirnya, kini dengan rendah hati saya boleh meletakkan “PEGUAM” di profil saya dan berbual tentang pencapaian serta peluang yang saya miliki. Terima kasih buat semua yang menjadikan hari ini hari yang cukup istimewa.
Kata-kata tidak dapat menggambarkan betapa bersyukurnya saya atas kebaikan, sokongan dan dorongan yang saya terima. Untuk lebih bekerja keras dan maju. Terima kasih kerana membaca,” tulis Aniq.
Sekadar info menerusi sumber, upacara Call To The Bar ini adalah acara kemuncak dalam permulaan karier seorang peguam. Majlis ini akan dihadiri oleh ahli keluarga, mover atau peguam yang mengusulkan petisyen, rakan-rakan dan orang-orang tersayang akan beramai-ramai hadir ke Mahkamah Tinggi untuk mendengar sendiri petisyen ini.
Tahniah sekali NONA ucapkan kepada Aniq. Semoga kejayaan anak muda ini jadi inspirasi anak-anak muda di luar sana!
***
Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Bangganya Bila Pelukis Muslimah Berjaya Takluki Dunia Seni Dan Miliki Galeri Sendiri
Pelukis cat minyak dan digital, Amy Hashim kini kembali dengan pameran solo ketiganya dengan tema It’s The Soul. Pameran ini berlangsung bermula 13 April hingga 5 Mei, di AHA Gallery, di tingkat dua, Jalan USJ 17/13A, Restrees, Subang Jaya. Sungguh amat membanggakan apabila seorang pelukis wanita Muslimah tempatan berjaya menakluki dunia seni dan mempunyai galeri seni sendiri.
Ikuti temu bual antara NONA bersama insan hebat bernama Amy Hashim.
APAKAH YANG CUBA DISAMPAIKAN MELALUI PAMERAN INI
Dalam pameran ini, anda boleh mengikuti cerita saya, perjalanan karya saya termasuk lebih daripada 30 buah hasil karya saya. Ia menunjukkan perkembangan karya saya sejak lima hingga enam tahun yang lalu dalam lukisan minyak. Anda boleh merasakan pengalaman tekstur lukisan saya, hampir ‘tenggelam’ dalam pengembaraan dan keseronokan kerana sifat ini terbentuk atas kanvas.
Saya mahu anda merasakan rasa kedamaian dan saya ingin membantu ‘inspire’ anda untuk melalui kehidupan dan cabaran setiap hari. Lukisan sebegini tidak akan dapat dirasakan melalui tontonan sosial media.
PERASAAN APABILA BERJAYA MENGADAKAN PAMERAN BUAT KALI YANG KE TIGA
Saya bersyukur kerana diberi peluang dan ilham oleh Yang Maha Esa untuk sampai ke peringkat ini. Saya bermula ketika usia yang masih muda dan menjual lukisan pertama ketika saya masih kecil. Saya amat bersyukur kepada Allah dengan kurniaan ini. Hati saya rasa puas dan yang paling penting, berkarya membuahkan satu penyembuhan roh dan jiwa kepada saya. Dalam masa yang sama saya sentiasa ingin mempertingkatkan kemahiran.
PERASAAN APABILA SUDAH ADA GALERI MILIK SENDIRI
Galeri ini hanyalah penerokaan, discovery (penemuan) tempat di mana saya boleh memaparkan dan menyambung cinta saya kepada seni. Tempat di mana rakan-rakan seni, pencinta seni, collector boleh bertemu dan berkumpul. Kebetulan saya selalu melukis maka saya adakan solo ke tiga di galeri ini bagi membuka ruang berkenal-kenalan dengan ramai activist seni.
Hendak sampai ke tahap ini tentulah melalui pelbagai ragam dan cabaran. Saya tidak kata ianya mudah. Ia memerlukan pengurusan masa dan perancangan yang persistent, walau hampir putus asa tapi bak kata pepatah ‘jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Saya cuba mengimbangi tanggungjawab sebagai ibu sepenuh masa, mengendalikan anak kecil di rumah pada masa yang sama, tidak melepaskan seni yang telah berakar umbi dalam diri saya sejak dalam usia yang masih muda.
Saya juga harus terbuka kepada hasilnya. Jika galeri ini Berjaya, sudah tentulah saya akan berterima kasih kepada Allah. Sebarang kegagalan pun saya perlu belajar berterima kasih kepada Allah dan akan reda dengan ketentuanNya.
LOKASI SEBENAR GALERI
Ia adalah galeri di tingkat atas rumah semi-d yang pada asalnya amat jarang saya gunakan. Jadi suami bersetuju mengubah suai tingkat atas bahagian rumah ini untuk dijadikan studio, galeri dan ruang santai/lounge. Mungkin bukan ruang yang komersial tetapi sudah tentu memberikan kelebihan daripada segi perbincangan kolaborasi atau peluang memiliki karya cat minyak sebegini.
Ia terbuka kepada umum selama tiga minggu. (dilanjutkan sehingga 5 Mei 2018). Saya mengalu-alukan peminat seni untuk melawat dan melihat sendiri lukisan dan peluang-peluang yang mungkin membawa manfaat bersama.
TEMA PAMERAN KALI INI
Sudah masuk enam tahun saya menggunakan cat minyak dan saya rasa kami adalah satu entiti atau kawan rapat. Setakat ini ia membuatkan saya benar-benar bahagia dan bersemangat. Saya akan lorek dan sapu berulang-ulang kali ke atas kanvas sehingga ianya terbentuk, meninggalkan tekstur yang timbul keluar dari permukaan kanvas dengan komposisi yang menarik. Semua ini datangnya dari hati dan jiwa maka saya memanggil tema kali ini “IT’S THE SOUL”. (Ia Jiwa)
SASARAN PAMERAN
Pendapatan seorang artist adalah bermusim dan bukan mengikut harian atau bulanan. Kesemua dana yang saya kumpul sebelum ini dimanfaatkan untuk mempertingkatkan diri dan terus ke tahap seterusnya. Ada juga sebahagian yang diasingkan untuk amal/zakat dan derma. Sasaran pameran juga ditujukan kepada oil painting art collectors, investors, individu-individu, syarikat-syarikat kewangan dan badan-badan kerajaan yang berminat dalam memasukkan oil painting ke dalam senarai aset mereka. Paling penting, mereka yang mengutamakan keindahan hasil daripada character cat minyak.Selain itu saya harap ianya menjadikan industri seni tanah air khususnya wanita lebih meriah ke tahap antarabangsa.
SEJARAH PENGLIBATAN DALAM BIDANG SENI
Seperti semua kanak-kanak, saya suka melukia. Bezanya saya dilahirkan di sebuah rumah yang di kunjungi oleh pelukis-pelukis terkenal di Kelantan (telah meninggal dunia) dan mereka rajin melayan saya meninjau aktiviti yang berlaku di tingkat bawah rumah saya. Selalunya sayalah yang kononnya menjadi pengkritik dan pemerhati mereka melukis.
Ayah saya seorang guru seni dan tentulah mempunyai ramai rakan-rakan artist sebagai teman. Ibu saya pula pandai menjahit pakaian/menjahit bunga sulam-sulaman, kebaya. Saya mula melukis dari sekolah rendah sehingga dewasa menggunakan pelbagai medium.
Walaupun selepas itu saya bekerja, saya tidak pernah meninggalkan sketches walau di mana sahaja saya berada sehinggalah saya mengandung anak ke tiga. Saya kembali kepada dunia lukisan secara sepenuh masa.
Saya mula mengadakan pameran dengan rakan-rakan luar negara di Las Vegas, Palo Alto, Seoul dan sebagainya. Saya juga mengambil kelas-kelas workshop yang diadakan oleh artist-artist master seperti kelas Warwick Fuller, Australia, Erin Hanson, San Diego dan Iris Scott, New York.
APAKAH KELAINAN DALAM PAMERAN KALI INI
Setelah melalui dua pameran solo dan beberapa pameran berkumpulan dan berkarya sebanyak lebih seribu keeping, saya melalui beberapa fasa dan pengalaman bersama-sama artist luar dan dalam negara.
Dari situ terbina rasa yakin untuk mengadakan pameran solo. Pameran solo pertama adalah cetakan di kanvas dan kertas di KL Converge dengan Datuk Sri Ahmad Shabery Cheek dan Datuk Siti Nurhaliza, berkolaborasi dengan beberapa buah syarikat utama. Pameran solo kedua saya berkembang dengan lukisan minyak dan saya memanggilnya Evolusi Alam (Evolusi Semulajadi).
Semasa saya pergi ke Sydney untuk mengambil kelas master oleh pelukis Warwick Fuller, (pelukis) pelukis Buckingham Palace yang berpusat di Katoomba, NSW, Australia, banyak yang saya belajar dan ia sukar untuk digambarkan. Dari situ, saya tahu apa yang saya suka, tidak suka, kebolehan dan kelemahan saya. Dengan kurangnya keraguan itu membantu saya memberi komitmen lebih kepada lukisan dan art collectors.
APAKAH CABARAN SEPANJANG PERSIAPAN UNTUK PAMERAN KALI INI
Saya fikir cabaran ini bukan kepada diri saya sahaja malah ia mungkin menjadi cabaran biasa kepada ramai artist-artist wanita yang lain. Saya dapati (bukan sahaja di Malaysia malah di luar negara sekali pun) wanita kurang ditonjolkan kebolehan mereka kepada umum. Walaupun saya mendapat sokongan dan motivasi, inspirasi daripada suami, ia tidak mencukupi apabila galeri seni/komersil kurang responsif dalam menerima, melawat dan meneroka hasil-hasil karya yang dimajukan.
Sebagai artist, saya lebih suka untuk memberi sepenuh tumpuan dan fokus kepada penghasilan karya, mengarang atau mencipta karya. Sekiranya diberi kesempatan tentulah saya lebih suka di wakili oleh art dealer/curator supaya ianya boleh disebar-luaskan kepada lebih ramai orang. Kalau di negara luar, wujud sebuah Museum Seni Wanita contohnya National Museum of Women di Wangshinton DC.
NILAI SENTIMENTAL UNTUK SETIAP PAMERAN YANG DIADAKAN
Setiap hasil karya datangnya daripada jiwa, mood dan inspirasi yang lahir dengan jari jemari sendiri. Style saya yang lebih ke arah impressionistic membuatkan satu karya unik dan mustahil boleh ditiru oleh diri saya sendiri. Setiap karya saya membawa cerita, pengalaman dan perjalanan hidup. Sebelum mengolah cat minyak di atas kanvas, saya menghabiskan masa menyusun, melakar, compose beberapa kali selama beberapa hari.
Namun begitu saya tidak boleh terlalu beremosi dengan hasil karya saya. Ada sesetengah orang berpendapat, menilai kejayaan dengan melihat jumlah karya yang dimiliki orang… Sebab itu lah beberapa karya saya telah di ubah ke atas sutera/silk/crepe scarves dan cetakan-cetakan supaya ia menjadi milik pengumpul baru dan generasi muda. Saya rasa puas, walaupun bukan berbentuk ganjaran kewangan tetapi sebagai satu kepuasan diri. Insya Allah.
HARAPAN UNTUK PAMERAN KALI INI
Saya sukakan pengalaman, mempelajari dan mengkaji sesuatu yang baharu. Pengalaman adalah guru yang terbaik. Saya juga berharap pameran ini memberi inspirasi kepada lebih ramai artist di luar sana.
Saya ingin membuka ruang rangkaian teman dan kenalan yang lebih luas tidak kira pelukis, artist, collector, dealer dan pemerhati seni yang kaya dengan pengalaman. Sudah tentulah saya berharap lebih ramai orang menerima hasil karya saya dan menikmati keindahan warna-warna hidup dan segar yang terhasil ini. Saya perlukan inspirasi juga untuk terus berkarya dan mengenali arah tuju seni..
Oleh itu saya amat mengalu-alukan kesemua peminat seni untuk jemput datang berkunjung ke galeri saya yang dibuka sehingga 5 Mei dari jam 11.00 pagi hingga 6.00 petang di AHA Gallery, tingkat dua, Jalan USJ 17/13A, Restrees, Subang Jaya.
Korbankan Dunia Penyiaran Demi Keluarga, DATIN SERI NORAZLINA AWANG HAD Kini Ligat Berniaga
Masih ingatkah lagi dengan wajah penyampai berita terkenal ntv7, Norazlina Awang Had? Satu ketika dulu kemunculannya sering ditunggu-tunggu oleh para peminat stesen televisyen tersebut. Hampir sedekad beliau bersama ntv7 sebagai penyampai berita dan ‘on-air presentation manager’ sebelum mengambil keputusan untuk meninggalkan dunia penyiaran kerana komitmen keluarga dan perniagaan.
Kini, Datin Seri Norazlina Tan Sri Awang Had bahagia bersama keluarga tersayang. Suaminya, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menjadi pendorong utama untuk beliau meneruskan minat dalam dunia perniagaan. Datin Seri Norazlina merupakan ibu kepada 3 orang anak berusia 21, 17 dan 11 tahun. Walaupun usianya mencecah 46 tahun, Datin Seri Norazlina masih kelihatan menawan!
“Setelah meninggalkan industri penyiaran, saya banyak menghabiskan masa dengan membesarkan anak-anak. Ketika mereka di bangku sekolah, inilah masa yang begitu kritikal untuk memastikan mereka melengkapkan diri dalam aspek asas pendidikan, sahsiah dan rohaniah. Pada masa yang sama salah satu sebab saya meninggalkan dunia penyiaran adalah untuk memberi komitmen sepenuhnya sebagai isteri kepada seorang ahli politik yang kadang kala memerlukan sentuhan peribadi oleh si isteri buat rakyat.
Selain itu, inilah juga pengorbanan yang saya lakukan sebagai seorang ibu dan isteri untuk memberi sepenuh tumpuan buat anak-anak bila suami yang ketika itu bergelar ahli politik dan Menteri amatlah sibuk dan sukar memberikan masa yang penuh untuk keluarga serta anak-anak.
Setelah anak-anak meningkat remaja dan dewasa, saya mengambil peluang untuk melibatkan diri dalam perniagaan e-dagang. Pengkhususan yang diberikan adalah untuk mengketengahkan barangan buatan tangan dari Malaysia, terutamanya seni hasil tangan seperti anyaman, batik, tenunan dan sebagainya untuk kegunaan hiasan rumah hinggalah ke fesyen. Maka lahirkan portal ROOMAKU, untuk membantu pengusaha-pengusaha kraftangan untuk memasarkan hasil kerja tangan mereka.
Pendek cerita lepas meninggalkan bidang penyiaran, fokus saya adalah terhadap keluarga dan komitmen politik. Anak dah besar lahirlah LAWABANA SDN BHD yang menguruskan ROOMAKU dan seterusnya THE TEPEN CAFE. Hanya kini mula menerokai perniagaan baking and cooking from home. Saya bereksperimen di dapur (cooking and baking).
LIGAT BERNIAGA
Saya adalah pemilik dan COO The Tepen Cafe yang dimiliki penuh oleh syarikat LAWABANA SDN BHD yang mula beroperasi di Cyberjaya sejak Oktober 2019. Ini merupakan langkah pertama kami untuk melibatkan diri dalam F&B. Alhamdulillah kemunculan The Tepen Cafe di Tamarind Square, Cyberjaya mendapat sambutan menggalakkan. Boleh dikatakan full house setiap hari terutamanya ketika lunch time.
Siapa menjangkakan pendemik akan melanda dunia pada tahun 2020. Seperti rakan-rakan niaga yang lain, kami tidak terlepas dari melalui dugaan yang mencabar. Jumlah kakitangan berkurangan, dari full menu ke limited menu. Inilah antara cabaran dan norma baharu yang perlu kami tempuhi. Kita juga perlu memikirkan apa perniagaan dan strategi pemasaran yang benar-benar boleh “sampai” kepada Pekan Gan. Sehingga kadang-kadang saya sendiri terpaksa turun padang untuk membuat penghantaran kepada customer. Tidak percaya? Inilah realiti.
Kebetulan peluang untuk menerokai cabang baru dalam F&B tiba-tiba muncul sejak full lockdown kedua kita. Tanpa disedari penglibatan saya dalam ‘mem-brownies’ mendapat sambutan yang menggalakkan. Memandangkan banyak persiapan dan masa yang perlu diperuntukkan untuk membuat Salted Fudgy Brownies ini, maka terkejar-kejar juga rutin harian saya. Oleh kerana ini adalah cabang yang amat baru buat saya, banyak masa juga dihabiskan untuk belajar selok belok perniagaan sebegini dari rumah.
Satu benda saya belajar. Kita tidak akan ada masa kalau kita tak buat masa. Kalau lihat pada rutin harian saya sekarang memang tiada henti. Tak mudah untuk menjadi seorang wanita, isteri, ibu, anak dan usahawan. Dari menguruskan sarapan dan hal-hal berkaitan sekolah, tambahan pula dengan online class, terus ke pejabat dan cafe (bila keadaan memerlukan), juga komitmen di dapur untuk membuat tempahan customer.
Jadi pengurusan masa amatlah mustahak. Selain itu minat pada sesuatu yang kita buat juga dapat memastikan momentum dan “drive” kita sentiasa ada. Insha-Allah saya juga ada perancangan untuk mengembangkan bisnes modul serta melahirkan The Tepen 2, The Tepen 3 dan seterusnya.
RAHSIA KEKAL BAHAGIA
Insya Allah 23 Julai ini genap 23 tahun usia perkahwinan saya dan suami. Rahsia? Seperti pasangan lain, banyak asam garam yang kami tempuhi. Hormat, sabar, and resilience. Tidak dapat dinafikan apabila bergelar isteri kepada kenamaan layanan yang diberikan adalah berbeza. Secara peribadi saya tidak memilih untuk meminta layanan sebegini tetapi ia dilihat sebagai “privilege” maka kita bersyukur dengan keistimewaan yang diberikan ini.
Antara pengalaman paling manis adalah ketika setiap kali saya turun padang melawat kawasan iaitu di Kota Belud, Sabah. Tidak pernah saya kembali dari lawatan dengan penuh rasa insaf dan betapa kerdilnya saya setelah berjumpa dan meluangkan masa bersama rakyat tempatan.
Peluang untuk mendekati mereka dan secara tidak langsung memahami permasalahan yang mereka alami, terutamanya golongan wanita, ibu dan anak-anak. Mungkin inilah juga peluang bagi saya untuk tampilkan keperibadian yang sebenarnya supaya mereka dapat melihat siapa sebenarnya diri saya. Dan pengalaman manis ini amat saya rindui sehinggalah sekarang.
RUTIN KECANTIKAN
Sudah menjadi kebiasaan dari zaman penyiaran dulu dengan memastikan muka sentiasa bersih sebeum tidur. Bila saban hari perlu pakai make up tebal, automatik menjadi rutin untuk saya memastikannya benar-benar bersih sebelum tidur. Wajib untuk saya amalkan minimum 3 step. Rasa bersalah pula bila tak cuci muka sebelum tidur.
Saya juga penggemar barangan natural dan organik. Mungkin hasilnya tidak nampak secara pantas tetapi penggunaan jangka lama adalah lebih selamat. Selain itu, saya cuba amalkan pengambilan ulam-ulaman dalam menu pemakanan dan minuman seperti pegaga, moringa, kunyit dan lain-lain. Selain itu, tiada perisa tiruan atau MSG dalam masakan tidak kiralah di rumah atau kafe saya.
PERUBAHAN DUNIA PENYIARAN
Sememangnya ada perbezaan dari segi medium penyampaian maklumat dunia penyiaran sekarang berbanding dulu. Tetapi apa yang pasti, kehendak untuk mengikuti perkembangan semasa di dalam mahupun di luar negara semakin dituntut oleh semua. Oleh itu memang bertepatan bila kita sudah memasuki era digital serta online. Semuanya di hujung jari dan boleh akses pada bila-bila masa saja dan di mana juga kita berada. Online juga memberikan kita banyak pilihan, secara tidak langsung ia membolehkan kita melihat sesuatu isu dengan lebih halus dan concrete, at our convenience.”
Datin Seri Norazlina merupakan anak kelahiran Kuala Lumpur manakala keluarganya berasal dari Kedah dan Pulau Pinang. Beliau menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing untuk Diploma Reka Bentuk Grafik. Kemudian beiau melanjutkan pula pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Auckland University of Technology di New Zealand jurusan Reka Bentuk Grafik. Sebelum terlibat dalam dunia penyiaran, Datin Seri Norazlina memulakan kariernya sebagai pereka grafik bebas dan pengarah seni di pelbagai agensi reka bentuk serta pengiklanan.
Kredit Foto: Instagram @norazlinawanghad