Tanam Cili Seluas 1.2 Hektar, Ratu Rock ELLA Kini Usahawan Pertanian Berjaya

Ella bukan suatu nama yang asing bagi peminat muzik tempatan. Memiliki suara yang luar biasa membuat penyanyi yang sudah menjangkau ke usia 50 ini masih relevan. Namun, sejak dua menjak ini penyanyi lagu Permata Pemotong Permata ini sudah mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan.

Kini dalam diam-diam Ella telah melebarkan sayap perniagaannya dengan menjadi pengusaha cili. Ella bersama suaminya, Azhar Ghazali mengusahakan tanaman fertigasi cili sejak dua tahun lalu dengan modal pusingan RM150,000 membabitkan tiga ladang berkeluasan 1.2 hektar.

“Alhamdulillah, tanaman ini sudah masuk musim keenam di mana setiap ladang mampu menghasilkan pengeluaran cili lapan tan.

Setahun kami dapat menghasilkan dua musim di mana setiap musim dari peringkat semaian hingga menuai mengambil masa selama enam bulan. Kami menggunakan benih cili kulai 461 yang terbukti berkualiti dan baik,” kata Ella.

Jika sebelum ini penyanyi Ayu Damit telah bergelar jutawan usahawan cili kini mungkin Ella bakal menyertainya. “Saya yakin potensi perniagaan pertanian ini mampu menjana pendapatan lumayan sekiranya dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya yang menggunakan sistem perladangan pintar menerusi aplikasi Internet of Things (IoT) yang mana parameternya dipantau menerusi komputer dan telefon pintar.

Sebelum ini Ella pernah berkongsi kisah perniagaan produk kosmetiknya di Majalah Nona edisi Glam & Sukses, “Saya kini menceburi bidang perniagaan secara serius dan terus kepada pelanggan dalam memasarkan produk kecantikan yang diberi nama Ella Beauty Water,” kongsi Ella.

Ketika ditanya mengapa Ella memilih untuk menceburi bidang perniagaan dan menjadikan dunia kecantikan sebagai satu forte utama, jawabnya, “Memang minat berniaga telah ada di dalam diri saya sejak dari dulu lagi. Kebetulan pula saya memang sukakan barangan kecantikan, maka lahirlah idea Ella Beauty Water ini,” cerita Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin.

Bercerita tentang rahsia kecantikan Ella pula, “Tiada rahsia khusus, namun apa yang boleh saya kongsikan adalah senaman amat membantu tahap kecantikan dan kesihatan seseorang. Walaupun kita mengamalkan pengambilan pelbagai jenis vitamin namun kalau tak bersenam pun tak guna juga.

Waktu bersenam bagi saya tak tentu, kalau ada kelapangan pasti akan ke gimnasium bersama suami. Selain itu, kawal pemakanan dan jangan terlalu mengambil makanan berminyak dan tak berkhasiat,” tutur Ella.

Sumber: Harian Metro
Photo: Instagram @ellasgang

Share
Published by
Hamizatul Maizan