Pasti ramai wanita berkongsi rasa kagum dan bangga dengan kejayaan yang diraih Ayu Damit hari ini. Iyalah, selain sibuk menjalani rutin harian sebagai seorang isteri, ibu kepada tiga orang anak dan juga penyanyi… Juara program nyanyian One In A Million ini dalam diam rupa-rupanya sudah bergelar usahawan pertanian berjaya. Daripada tanaman secara kecil-kecilan, kini Ayu dan suami mampu mengembangkan tanaman di ladang seluas 4 ekar.
Ayu yang dihubungi pihak Nona hari ini dalam nada ceria sudi berkongsi pengalaman khusus buat mereka yang menyimpan hasrat bergelar ahli pertanian berjaya kelak. Tanpa berselindung, dia menyusun bicara.
“Alhamdulillah, Ayu dan suami tengah mengusahakan cili padi sistem fetigrasi selama dua tahun. Tapi sebenarnya, kami sudah terlibat dalam bidang pertanian hampir lima tahun. Pada mulanya, kami mengusahakan penanaman kelapa mataq dan nanas. Pun begitu, buat masa sekarang kami lebih fokus kepada penanaman cili padi. Tanaman kelapa masih ada cuma nanas je dah tak ada.”
Tatkala diaju persoalan mengapa memilih tanaman cili padi, ini jawapan Ayu. “Sebab utama pilih cili padi adalah kerana pasaran yang agak tinggi selain Malaysia kekurangan pengeluar cili dan kebanyakan pembekal cili berasal dari negara lain.”
Terang isteri Syed Fauzi Syed Baharuddin ini lagi, “Setakat ini kami menyewa tanah Orang Asli yang terletak di Pangsoon, Hulu Langat seluas 4 ekar dan di ladang tersebutlah kami usahakan tiga jenis tanaman iaitu cili padi, timun dan terung.
Produk terbaru yang Ayu keluarkan ialah cili jeruk dan masih berjinak-jinak untuk dipasarkan di dalam Malaysia. Pengurusan tanaman dan bisnes pertanian ini dikendalikan sepenuhnya oleh suami.
Tugas Ayu lebih kepada membantu dari segi promosi dan penjualan saja. InshaAllah, dalam masa lima tahun akan datang Ayu ingin meluaskan ladang yang ada sekarang ini untuk dieksport ke luar negara.”
Selaku ibu bekerjaya, bukan mudah bagi Ayu untuk membahagikan masa di antara keluarga, perniagaan dan karier seni. Pun begitu, baik Ayu mahupun suami.. kedua-duanya memilih untuk tidak lagi menggunakan khidmat pembantu rumah selepas berdepan dengan pelbagai dugaan.
“Dulu Ayu memang menggunakan khidmat pembantu rumah tapi banyak kali lalui macam-macam ragam pembantu ni. Jadi, buat masa sekarang Ayu dan suami yang menjaga anak-anak.
Kalau Ayu ada kerja, suami yang akan jaga dan begitu juga sebaliknya.”
Selama 11 tahun melayari bahtera perkahwinan, pasangan ini dikurniakan tiga orang anak iaitu Syed Nasrul Haikal (9 tahun), Sharifah Alya Adriana (7 tahun) dan Syed Aqif Najmi yang kini berumur 3 tahun.
Kredit: Instagram Ayu Damit