Pada usia memasuki 40 tahun, tanda-tanda penuaan sebenarnya akan semakin jelas kelihatan. Perubahan ini lebih ketara pada bahagian kulit terutama wajah.
Mengapa perlu risau? Kini terdapat pelbagai produk di pasaran yang membantu melambatkan tanda-tanda penuaan. Hanya kenal pasti masalah anda dan gunakan produk yang sesuai.
(a) Kedutan dan garis penuaan
Dengan terjadinya penuaan,kedutan adalah tanda pertama yang paling jelas kelihatan dan harus diperhatikan. Biasanya ia mudah dialami oleh mereka yang memiliki kulit jenis kering.
Selain itu, di sekitar bawah mata akan mengalami garis-garis halus. Penebalan yang tidak sekata pada lapisan kulit ditambah pula kekurangan air pada lapisan bawah kulit akan mempercepatkan lagi proses kedutan pada kulit anda.
(b) Kulit kusam
Kolagen bertindak menjaga kulit namun ketika proses penuaan berlaku urat semakin kendur dan kadar kolagen semakin menurun sekali gus menyebabkan kulit menjadi longgar dan tipis. Lantaran itu, kulit menjadi kusam dan tidak bermaya.
(c) Kulit kering
Kulit menghasilkan sebum sendiri bagi melindungi dan mencegah kehilangan kelembapan kulit. Namun, seiring dengan bertambahnya usia, keupayaan kulit menghasilkan sebum semakin berkurangan sekaligus menyebabkan kulit mudah rapuh dan kering terutama di bawah sinaran matahari yang terik.
Ditambah pula dengan keadaan cuaca yang sejuk, iklim yang kering dan berangin mudah menjadikan kulit anda bersisik dan mudah menimbulkan rasa gatal.
(d) Bintik hitam
Peningkatan usia sekali gus menyebabkan kulit seseorang turut mengalami perubahan. Antaranya, bintik-bintik coklat pada kulit kita pun akan mula timbul atau juga dikenali sebagai bintik-bintik hitam terutama di bahagian wajah.
Pada tahap awal bintik-bintik tersebut berwarna terang, namun pada akhirnya bintik-bintik tersebut akan berubah menjadi warna coklat sekali gus menjadi masalah pada kulit anda. Hal ini disebut dengan penuaan semula jadi.
Bintik-bintik ini juga boleh menyebabkan masalah ketika anda menyapu solekan pada wajah. Ia biasanya berlaku disebabkan pendedahan diri secara berterusan kepada sinaran ultra ungu atau terdedah pada sinaran matahari dalam tempoh yang lama tanpa menggunakan topi atau krim pelindung kulit wajah.
(e) Liang-liang roma terbuka
Faktor genetik dan usia antara dua faktor utama yang membolehkan pori-pori atau liang-liang roma pada kulit membesar. Kebiasaannya, ia berlaku kepada mereka yang memiliki kulit tebal dan berminyak.
Terdedah lama pada sinaran matahari, kotoran, bakteria dan keanjalan kulit menurun juga antara faktor menyebabkan liang-liang roma membesar dan terbuka.
TIP AWET MUDA
This website uses cookies.