Tiada ungkapan yang mampu diucapkan kepada seluruh kakitangan barisan hadapan (FRONTLINERS) yang terdiri daripada doktor, jururawat dan wira-wira Covid-19 yang terpaksa meninggalkan keluarga dan anak kecil bertungkus-lumus untuk membanteras pandemik COVID-19 daripada menyerang masyarakat.
Sebagai orang biasa kita hanya mampu berterima kasih dan mengikut arahan kerajaan untuk tinggal bersama keluarga di rumah #JomDudukRumah bagi memutuskan rantaian COVID-19 ini. Menyedari pentingnya tugas FRONTLINERS yang terpaksa bertarung nyawa demi bangsa dan negara, selebriti Zara Zya telah melancarkan Projek Zara Prihatin #zaraprihatin.
Melalui projek ini, pelakon Love You Mr. Arrogant ini telah menyeru peminatnya serta seluruh masyarakat untuk menghulurkan sumbangan serendah RM1. Projek murni ini bernaung di bawah pertubuhan bukan kerajaan, PRIHATIN Tanpa Sempadan dengan kerjasama erat Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan Briged Kesenian APM.
“Kita sedar mereka ini antaranya petugas kesihatan serta sukarelawan menjadi wira dan wirawati dunia dalam memastikan keselamatan masyarakat yang sedang berdepan dengan isu penularan wabak Covid-19.
“Saya mahu peminat dan orang di luar sana menyalurkan sumbangan serendah RM1 bagi membeli barangan keperluan asas iaitu Personal Protection Equipment (PPE) seperti topeng muka, cecair pembasmi kuman kepada insan berhati mulia ini. Begitu juga keperluan lain seperti makanan, tudung yang amat diperlukan mereka saat ini,” ulas Zara Zya tentang projek ini.
Tanpa semua FRONTLINERS ini rantaian COVID-19 pasti tidak mungkin akan dihapuskan. Tugas murni mereka sangat menyentuh hati rakyat Malaysia termasuk Zara Zya. “Kepakaran dan semangat mereka sangat diperlukan ketika ini di saat semua di luar sana bergelut memastikan apa yang dilalui kini terhenti dengan segera,” tegas pencinta kucing ini.
Tidak mahu berkeseorangan dalam menjayakan projek ini, pelakon bergelar penyanyi ini juga mahu menyeru teman artis lain untuk turut serta menyertai misi mulia ini. “Saya tak mahu berjuang seorang diri. Tapi nak ajak semua artis di luar sana bersatu hati menjayakan misi ini,” ujar wanita berhati mulia ini.
Bercerita lanjut tentang Projek Zara Prihatin ini, “Misi ini dirancang dan dibincang sejak seminggu lalu. Ia perlu dilaksana segera kerana soal bantuan ini tak boleh dilengah-lengahkan.
Mereka (petugas kesihatan dan sukarelawan) amat memerlukan bahan perlindungan ini. Mereka bertungkus-lumus memastikan semuanya terkawal tanpa menghiraukan risiko dan bahaya yang terpaksa dihadapi,” tutur Zara Zya.
FRONTLINERS sudah menjalankan tanggungjawab mereka dan kita masyarakat setempat juga perlu memainkan peranan untuk menjayakan misi memutuskan rantaian COVID-19 ini. Zara Zya sangat berharap orang awam tahu terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa sejak 18 hingga 31 Mac ini.
“Jangan kita mementingkan diri. Fikir orang lain. Kalau tiada kepentingan untuk keluar rumah, maka janganlah berbuat demikian. Sentiasa mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman, pakai topeng muka dan mengambil langkah berjaga-jaga.
Pastikan jarak sosial anda sekurang kurangnya satu meter antara individu lain. Terus berdoa semoga semua ini akan pergi meninggalkan kita segera,” kata wanita kecil-molek ini.
Sumber: Berita Harian
This website uses cookies.