Tangguh Majlis Perkahwinan Sepanjang PKP, Mila Jirin Rugi Hampir RM2.8 Juta

Baru sebentar tadi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April 2020 dalam ucapan yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen. Langkah melanjutkan PKP ini adalah untuk memutuskan rantaian pandemik COVID-19 dari terus menular.

Foto: BERNAMA

Seperti yang kita maklum sepanjang tempoh PKP ini, rakyat telah diarahkan untuk tidak berkumpul dan menangguhkan perkahwinan sehingga keadaan semakin reda. Pengarah Urusan, Bizmilla Wedding Centre, Mila Jirin antara usahawan yang terkesan dengan penanguhan majlis perkahwinan ini.

Namun Mila Jirin atau nama sebenarnya Norsyarmilla Jirin bagai sudah dapat ‘membaca’ tentang masa depan. “Kami di Bizmilla, mengambil langkah pantas sejurus Perdana Menteri mengeluarkan arahan PKP dengan menghantar surat secara terus ke Whatsapp pelanggan dan juga wakil pelanggan. Tak dinafikan berlaku ‘panic’

di kalangan pelanggan.

Pada 17 March 2020 (Selasa), team saya di Bizmilla Bridal Factory semuanya bekerja ad hock untuk siapkan hampir 10 pasang baju pernikahan yang akan diambil pada hari tersebut sebelum arahan PKP pada 18hb March.

Selepas perbincangan dengan pelanggan dan wakil pelanggan, alhamdulillah, hampir 100 Majlis sepanjang 20 Mac 2020 hingga 19 April 20202 sudah kami tunda dan berbincang dengan pelanggan mengenai tarikh baru di kesemua dewan dewan milikan Bizmilla di Subang, Kajang, Puncak Alam, Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Adakah Juara Akademi Fantasi Musim Ke-5 ini dapat menjangka PKP akan berlanjutan bila tunda semua majlis perkahwinan sehingga 19 April 2020? “Bukan menjangka tetapi kebarangkalian berlaku itu sangat tinggi.

Disebabkan itu, kami di Bizmilla Wedding Centre, menasihatkan semua pelanggan sehingga majlis pada 19 April 2020 untuk tunda majlis perkahwinan mereka ke tarikh baru dan rata-rata memilih bulan Mei ke atas,” kata ibu kepada Mohamed Arif Zikri ini.

Wanita yang berusia 30 tahun ini juga bersyukur kerana semua pelanggan beri kerjasama yang baik. “Alhamdulillah pelanggan di Bizmilla memberi kerjasama yang baik dan hampir 80 peratus sudah berbincang dan telah memberi tarikh jangkaan yang baru kepada pihak pengurusan. Selebihnya masih berbincang tarikh baru untuk majlis mereka.

Tak dinafikan, aliran wang tunai perniagaan di dalam industri perkahwinan dan katering terjejas teruk disebabkan oleh COVID-19 ini, cash flow kami di Bizmilla Wedding Centre juga terjejas hampir RM2.8 juta disebabkan masalah penundaan ini dan slot dewan telah kosong disebabkan COVID-19.

Walau bagaimanapun, ia bukanlah yang menjadi keutamaan kerana apa yang penting sekarang adalah menjaga kesihatan dan sama-sama membasmi pendemik COVID-19 dengan tidak berkumpul dan memastikan jarak sosial,” ungkap isteri kepada Isz Mustapha ini.

Semangat kental dalam diri wanita kecil molek ini bukan tandingan. Mila terus postif meneruskan cabaran dalam dunia perniagaan yang telah diceburnya. “Saya seperti usahawan yang lain, sangat yakin bahawa apa yang berlaku ini pasti ada hikmah yang besar buat kita semua dan berdoa agar COVID-19 di Malaysia dapat dibasmi segera dan kita semua dapat menjalankan kehidupan seharian secara normal,” tutur Mila Jirin ketika dihubungi.

Share
Published by
Hamizatul Maizan