Biarpun Mira Filzah cukup popular dalam dunia seni dengan followers mencecah 6.1 juta, dirinya masih lagi Mira seperti dulu. Personaliti dan sikap yang merendah diri, memikat hati siapa sahaja bersama dengannya.
Kejayaan demi kejayaan yang telah diraih Mira, memberi inspirasi untuk dirinya terus berusaha buat yang terbaik. Ditanya tentang resipi Mira untuk terus kekal relevan, ujar selebriti cilik ini, dia sentiasa percaya dengan rezeki yang telah Allah tetapkan selain usaha dan berkat doa semua pihak.
“Perkara pertama, usaha! Ini sangat penting untuk saya perbaiki diri pada masa akan datang. Jangan mudah selesa dengan apa yang kita ada sekarang, keep improve yourself misalnya ambil kelas atau apa sahaja supaya kualiti dan bakat yang ada lebih menyerlah daripada populariti semata,” jelas Mira Filzah menerusi majalah Maskulin Mac 2020.
“Kedua adalah doa. Sebagai umat Islam, kita ada Allah dan solat lima waktu. Jadi berdoalah supaya Allah permudahkan segala urusan kehidupan kita dan minta maaf dengan kedua orang tua. Itulah faktor-faktor kejayaan saya. Bagi saya restu dan doa daripada mak abah juga penentu seseorang anak menuju kejayaan. InsyaAllah.
Yang ketiga pula, sentiasalah berbuat baik dengan semua orang. Ini antara resipi yang saya kekalkan, no matter what you do tak kisah sama ada kita sebagai seorang selebriti atau kerja dalam bidang lain pun. Berbuat baiklah kepada orang sekeliling kita. Tiada istilah perbezaan darjat pun. Awak orang biasa, saya artis… Oh, tidak!
Bagi saya berbuat baik pada semua orang itu satu kewajipan. Tak kisahlah sama ada dengan peminat, orang sekeliling yang kita bekerjasama atau sesiapa sahaja. Apabila kita berbuat baik ia juga akan menyebabkan orang sekeliling sayang dan selesa dengan kita, malah nak bekerja atau jumpa kita lagi,” ujar Mira.
Menurut Mira dengan adanya media sosial, seseorang artis itu masih boleh kekal relevan dan popular walaupun tidak selalu muncul di kaca televisyen. Apatah lagi banyak kerjasama dan endorsement melalui media sosial yang boleh dilakukan, sekali gus mendekatkan selebriti dengan peminat.
Mira bersyukur rezekinya sentiasa murah dan tawaran berlakon juga datang tanpa putus. “Apabila kita semakin matang, kita akan lebih bijak umtuk memilih dan tiada masa untuk memikirkan benda remeh-temeh yang boleh menganggu mood bekerja. Saya juga tidak akan ambil pusing dengan segala komen negatif yang dilemparkan kepada saya.”
Harapan Mira Filzah, “Saya ingin menjadi better version of Mira Filzah dan dapat memperbaiki diri saya agar sentiasa menjadi lebih baik di masa akan datang. Saya juga ingin menerokai perkara baru dan lakukan macam-macam perkara. Semoga Allah permudahkan segala urusan saya tahun ini, insyaAllah.”