Taring Masih Berbisa! Konsert A Rock Queen’s Journey Ubati Kerinduan Peminat Kepada Ratu Rock Negara, ELLA!

Sejarah telah tercipta dalam industri seni tanah air apabila Orkestra Filharmonik Malaysia (Malaysian Philharmonic Orchestra, MPO) berkolaborasi dengan legenda rock negara Ella pada 2 dan 3 Disember 2017 lalu.

Ella sendiri merupakan sebuah figura tersohor yang mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam industri muzik tanah air. Konsert ini sekaligus telah membuktikan, Ella mengukir nama menjadi antara yang terpenting dalam lipatan sejarah kerjaya seni beliau. Sekali gus menyertai senarai artis tempatan yang pernah berkolaborasi dengan MPO antaranya termasuklah Tan Sri SM Salim, Dato’ Sheila Majid, Dato’ Siti Nurhaliza, Dato’ M Nasir, Dato’ Jamal Abdillah, Datuk Ramli Ibrahim dan Zainal Abidin.

Ella yang memulakan langkah dalam industri muzik sebagai penyanyi untuk kugiran rock Ella & The Boys sebelum bergerak secara solo pada tahun 1989. Muzik dan persembahan beliau melangkau usia; beliau kekal sebagai penyanyi rock wanita yang bertahan paling lama di Malaysia. Salah sebuah kejayaan beliau ialah apabila terpilih menyanyikan lagu rasmi Sukan Commonwealth ke-16 di Kuala Lumpur bertajuk Standing in the Eyes of the World pada tahun 1998.

Ini merupakan kali kedua Ella beraksi di pentas DFP selepas menjadi artis undangan dalam konsert MPO Rocks untuk DFP Seni Festival pada tahun 2013. Namun, ini merupakan konsert penuh beliau bersama MPO yang akan membawa penonton menyusuri perjalanan seni beliau, bertepatan dengan tema konsert A Rock Queen’s Journey.

Persembahan bertenaga Ella dengan  interpretasi simfoni MPO untuk lagu-lagu malar segar seperti Pengemis Cinta, Pedih, Nuri, Rindu, Layar Impian, Bayangan, Kesal, Dua Insan Bercinta, Sembilu, Gemilang, Demi dan hit terbaru beliau, Ku Sedia benar-benar membangkitkan nostalgia dan kenangan buat para peminat setianya.

Malah Ella tampil selesa dengan dua persalinan sepanjang persembahan dengan gaya menawan. Malah, pada sesi kedua persembahan, gaun cantik yang dipakai oleh Ella hasil rekaan Mimpi Kita telah memukau peminat apatah lagi Ella tampil berkaki ayam untuk bebas melantunkan ekspresi seni persembahan sebagai ratu rock negara!

Usikan nakal dan manja Ella menjadikan persembahan pada malam tersebut sebagai satu persembahanyang wajar diingati sepanjang masa. Tahniah buat Ella!

Semua lagu digubah khas untuk konsert ini dan diberi nafas baru oleh penggubah-penggubah seperti Ahmad Muriz Che Rose, Jenny Chin, Luqman Aziz dan Leonard Yeap.

MPO yang dianggotai 90 pemuzik akan dipimpin oleh Ahmad Muriz Che Rose yang memegang ijazah muzik dari Universiti Teknologi Mara, The Boston Conservatory dan Berklee College of Music. Beliau pernah membuat persembahan di pesta muzik kebudayaan di Indonesia, Singapura, Perancis and Amerika Syarikat. Di pentas DFP, beliau pernah memimpin konsert-konsert seperti Keroncong Merdeka pada tahun 2012 dan Aubrey Suwito & Friends with the MPO pada Mei lalu.

DFP boleh memuatkan seramai 920 penonton dalam satu masa dan mempunyai reka bentuk dan akustik yang mengagumkan. Saksikan kolaborasi dinamik MPO bersama penyanyi legenda ini, hanya di DFP! ROSMAH IDAYU ABU SAMAH

Share
Published by
Suzi