
Pelakon Tasha Shilla selamat melahirkan bayi perempuan pada 5 September 2022 sekitar pukul 10.37 pagi.
Anak kedua Tasha seberat 3.19 ilogram itu dilahirkan secara pembedahan. Menurut suami pelakon jelita itu, Muhammad Atiq Idris, proses pembedahan mengambil masa sekitar 45 minit namun segalanya berjalan dengan lancar. Bayi dan isterinya juga berada dalam keadaan baik.
“Alhamdulillah, Tasha selamat melahirkan anak perempuan pagi tadi secara pembedahan. Bayi dan Tasha juga berada dalam keadaan baik.”
Kongsi suami Tasha lagi, dia turut menemani Tasha di dalam bilik pembedahan serta berterima kasih kepada doktor yang bertugas.
“Syukur kerana pembedahan selama 45 minit itu juga berjalan dengan lancar. Malah, saya juga berada di dalam bilik pembedahan untuk menemani Tasha.
“Saya berterima kasih kepada doktor kerana banyak memberikan penjelasan bagi memudahkan urusan pembedahan.”
Pasangan ini memilih nama Nyla Kaadira buat cahaya mata kedua mereka itu. Nama tersebut sememangnya telah dipilih sejak awal lagi.
Tasha atau sebenarnya Natasha Sheila Abdul Razak yang kini berusia 35 tahun sebelum ini memaklumkan dia bakal melahirkan anak keduanya itu secara pembedahan.
Tasha dan Atiq mendirikan rumahtangga pada 28 Februari 2020.
Anak sulung mereka diberi nama Raeez Zander yang kini berusia setahun lima bulan.
Ketika memaklumkan dirinya hamil anak ke-2, anak sulung Tasha sudah pun berusia 10 bulan.
Selamat berpantang buat Tasha serta dipermudahkan segala urusan buat dia dan suami.
Kredit Foto: Instagram Tasha Shilla
Raih ‘4 Flat’ Tiap Semester & Duduki Ranking 1 Virginia Tech, IRDINA SHAHRIMAN Pelajar Bijak Malaysia!

Dapat keputusan 4 flat satu semester pun dah cukup membanggakan. Inikan pula setiap semester untuk empat tahun berturut-turut. Memang satu pencapaian luar biasa dan mengagumkan.
Lebih manis, kejayaan Irdina Shahriman terpahat di salah sebuah institusi pendidikan terkenal di Amerika Syarikat. Sebagai rakyat Malaysia, pasti ramai yang turut rasa kagum. Tahniah Irdina kerana berjaya mengharumkan nama negara!
Tidak dinafikan, nama Irdina menjadi bualan beberapa hari kebelakangan ini. Malah, kisah gadis berusia 24 tahun ini mendapat perhatian luas di Internet dan media sosial.
Semuanya selepas pemegang biasiswa Yayasan Tenaga Nasional (YTN) ini mencatat keputusan cemerlang dan konsisten memperoleh purata gred kumulatif (CGPA) 4.0 sepanjang tempoh pembelajarannya di Virginia Tech (VT), Amerika Syarikat.
Berbekalkan iltizam dan kesungguhan untuk berjaya, gadis ini berjaya mengharungi cabaran dalam bidang pembelajaran tersebut yang majoritinya dimonopoli kaum lelaki. Seterusnya mengekalkan keputusan cemerlang. Bukan sekali, tetapi pada setiap semester!
Irdina meraih ranking pertama di VT, kolej dan bidang pengkhususan bagi tahun akademik dari 2019-2020 dan 2018-2019. Ia sekaligus menyaksikan Irdina menduduki tempat pertama dalam kalangan hampir 10 ribu pelajar di sana.
Irdina ialah pelajar Program Pertukaran Sarjana Muda Amerika (ADTP) Yayasan Tenaga Nasional meraih Kelas Pertama (CGPA 4.0) Sarjana Muda Kejuruteraan Kuasa Elektrik Pengkhususan Tenaga dan Sistem Kuasa Elektronik.
VT merupakan universiti penyelidikan yang menduduki tempat ke-75 di AS dan antara 100 teratas dalam lapan mata pelajaran.
Atas kejayaan tersebut, Irdina turut dianugerahkan pingat Phi Kappa Phi untuk Kolej Kejuruteraan iaitu anugerah kepada graduan senior dengan pencapaian akademik terbaik.
“Saya bukan seorang yang genius semula jadi, disebabkan itu saya bekerja keras untuk memperoleh keputusan cemerlang. Saya tidak ponteng kelas, saya membuat nota dengan bersungguh-sungguh dan paling penting, saya mengambil inisiatif untuk berhubung dengan profesor dan rakan sekelas untuk meningkatkan pemahaman tentang pembelajaran.
Ada ketikanya saya terpaksa batalkan rancangan untuk keluar dengan rakan-rakan atau menonton filem bersama-sama. Cuti hujung minggu dan hari bekerja tidak ada bezanya dengan saya kerana banyak masa dihabiskan untuk menyelesaikan tugasan dan belajar untuk peperiksaan.”
Selain berbahasa Melayu dan Inggeris, dia turut mempunyai kemahiran dalam bahasa Jepun dan Cina.
Difahamkan, Irdina telah pun tamat pengajian pada Disember tahun lalu dan sedang menunggu tawaran pekerjaan di Tenaga Nasional Berhad.
Upah Mekap ‘Seikhlas Hati’ Cara MUA BELLAZ Bantu Pengantin Kurang Mampu Telah Dikecam

Nama MUA Bellaz telah menjadi tular berikutan kepetahan Makeup Artist yang terkenal dari utara ini berkomunikasi dalam sesi tutorial solekan di laman media sosial miliknya. Ramai jurusolek muda telah mengangkat anak jati Tanjung Dawai, Kedah ini sebagai idola mereka dalam dunia solekan.
Walaupun begitu kejayaan MUA Bellaz tidak datang bergolek tanpa usaha yang bersungguh-sungguh. Bila sudah ‘senang’ dan berjaya MUA Bellaz tak pernah malu mengaku datang dari keluarga susah. Kejayaan yang berada dalam genggamannya sekarang bukan tiket untuk wanita ini terus mendabik dada bila sudah berada di kemuncak.
Niat wanita yang mempunyai pengikut berjumlah 1.3 juta di laman Instagram ini untuk membantu bakal pengantin yang kurang berkemampuan tetapi mahu tampil cantik di atas pelamin seperti orang lain telah disalahertikan. Ini ekoran dari kenyataan MUA Bellaz yang meletakkan kadar upah mekap ‘seikhlas hati’ buat bakal pengantinnya.
Kongsi MUA Bellaz, “Saya tiada niat lain bila keluarkan kenyataan upah mekap seikhlas hati melainkan mahu melihat pengantin gembira di hari bahagia mereka. Namun, bukan semua calon pengantin layak mendapat peluang sebegini. Saya hanya akan memilih calon pengantin yang benar-benar kurang berkemampuan sahaja.
Ada sesetengah mak andam fikir bila saya minta upah begitu akan jatuhkan market mak andam atau senang kita panggil macam value. Sedangkan apa yang saya cuba buat tu adalah untuk bantu orang yang betul-betul tak mampu tapi inginkan kelihatan cantik di hari bahagia mereka.
Bukan saya buat selalu, cuma sekali tu saja. Tapi tak apa lah saya tak marah pun siapa yang kecam. Sebab itu adalah hak mereka. Saya yakin kalau mereka faham niat sebenar saya mesti mereka akan support. Ini kerana saya buat ni adalah sebahagian amal jariah membantu orang-orang yang inginkan sentuhan dari MUA Bellaz tapi tak mampu. Sebab tu saya buka peluang untuk orang yang benar-benar memerlukan,” ulas MUA Bellaz atau nama sebenarnya Nur Nabila Zulyadaini.
MUA Bellaz mula meneroka bidang solekan sejak mengandungkan anak pertamanya Iris Alisya 6 tahun dahulu. Malah wanita berdarah kacukan Turki-Melayu ini juga sudi menitipkan nasihat kepada 9 peserta Fabulous MUA yang bersiaran di episod 1 tempohari.
Isteri kepada Anuar Ahmad ini menceritakan pengalamannya mula bertatih di media sosial sebagai jurusolek, “Saya bermula dengan Facebook Live. Masa itu belum ada lagi jurusolek yang membuat tutorial mekap di Facebook Live. Kalau nak berjaya kita kena buat sesuatu yang orang belum buat lagi.
Mula-mula saya kongsi ilmu, orang akan follow kita sebab nak belajar. Start daripada situ saya bina nama dan kerjaya dalam bidang ini. Daripada situ nama saya terus berkembang sehingga sekarang.
Tapi yang penting kena ada keyakinan. Kalau nak buat facebook live malu atau segan semua kena tolak tepi, kita kena kebal kecaman. Kalau masuk dalam dunia mekap ni hati kena sado. Kecaman tu perkara biasa bagi saya tapi, kalau nak berjaya kena banyak sabar.
Tipu kalau kata saya tak pernah menangis. Saya juga ada pernah menangis bila ada klien pernah tarik diri hanya semata-mata disebabkan fitnah. Tapi nak buat macam mana kita kena kuat, pengalaman dijadikan pengajaran,” tutur MUA Bellaz yang baru berusia 27 tahun ini.
Dulu Dijulang Kini Golongan Asnaf, SHIMA Akui Hiba Ketika Dikhabarkan Statusnya

Sebut sahaja nama Shima sudah pasti terbayangkan saat penyanyi ini beraksi di pentas mendendangkan lagu popularnya Teringin. Walaupun sudah lama tidak muncul di atas pentas tetapi namanya masih utuh di persada seni hiburan tanah air.
Shima atau nama sebenarnya, Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman, 50 tahun, yang sudah berubah tampil dengan imej berhijab selepas pulang menunaikan Umrah kini sedang berhadapan dengan dugaan hidup.
Penyanyi ini mengakui suatu ketika dahulu kehidupannya agak mewah. “Memanglah dulu saya dijulang dan undangan persembahan pula tak putus diterima.
“Tapi sekarang saya terima hakikat sedang susah. Tak perlu saya ego nak menafikan perkara ini kerana ia ujian Allah. Saya tak pernah minta apa-apa daripada masyarakat. Tapi peluang tak diberikan untuk mencari rezeki. Malah persembahan yang bayar murah pun saya pergi,” katanya.
Shima menderita sakit saraf serta sakit belakang dan mendapatkan rawatan secara berkala di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur.
Terbaru, dia juga mengalami sakit lemah pundi kencing dan perlu menggunakan lampin pakai buang untuk mengatasi masalah itu.
“Makin lama kehidupan makin sukar kerana masalah sakit belakang semakin serius membuatkan saya terpaksa berehat seketika daripada berniaga,” kata Shima.
Ekoran daripda itu Shima telah dimaklumkan oleh pegawai Lembaga Zakat Selangor (LZS) bahawa dirinya telah termasuk dalam golongan asnaf.
“Gugur jantung apabila diberitahu saya kini dikategorikan sebagai golongan asnaf. Tak dinafikan hiba juga mendengarnya tapi apa nak buat kerana ini kenyataan yang perlu saya terima,” luah penyanyi Shima berkenaan status kehidupannya sekarang.
Umum mengetahui, empat kali rumahtangga yang dibina Shima sebelum ini menemui titik noktah. Namun, mengakui bahawa perancangan Allah itu Maha Berkuasa, penyanyi ini kembali bergelar isteri setelah bertemu jodoh kelimanya dengan pemuda bernama Abdullah Rusli, 42, pada tahun lalu.
“Saya kenal dengan suami saya sudah agak lama. Kami berjumpa ketika saya berpindah ke Pangsapuri Lestari yang terletak di Damansara Damai dan dia memang tinggal di Pangsapuri yang sama tetapi berlainan blok.
Dari situlah berputiknya perkenalan kami berdua selama dua tahun dan seterusnya membawa hubungan ini kepada ikatan yang sah.
Saya tertarik dengan kejujuran dan keihklasan suami saya hingga ada segelintir orang yang mengambil kesempatan di atas kebaikan dia. Dia sanggup buat apa sahaja untuk membantu orang di dalam kesusahan.
Meskipun suami saya lapan tahun lebih muda daripada saya, namun pemikiran dia nampak sangat matang. Dia juga seorang yang sangat memahami. Malah, dia menerima diri saya seadanya walau diberitahu tentang keadaan kesihatan yang makin merosot.
Saya mengharapkan perkahwinan ini hingga ke Jannah. Sudah beberapa kali saya berkahwin namun jodoh tidak bepanjangan. Pernah saya bernikah dengan warga asing namun ia bukanlah perkara yang mudah.
Begitu berat tanggungjawab yang saya harus pikul untuk membimbing dia ke jalan yang benar dari segi akidah, agama dan sebagainya. Saya sebagai orang Islam perlu kuat menempuh setiap dugaan yang datang,” tutur Shima.
Sumber: Harian Metro; Foto: Instagram @shimateringin