Siapa yang tidak mengenali model, penyanyi, pelakon dan usahawan berjaya, Fazura. Apa saja yang tidak mampu dibuat oleh isteri kepada pelakon Fattah Amin ini. Dan kini, Fazura melangkah setapak lagi dengan membuka syarikat produksinya sendiri, iaitu Fazura Pictures.
Menurut Fazura, ini adalah langkah baginya untuk kekal relevan dalam industri memandangkan banyak tawaran lakonan yang diterimanya tidak menepati cita rasa lantas menjadi faktor pelakon dan usahawan tersebut memilih untuk bergerak sendiri.
Fazura atau nama sebenarnya, Nur Fazura Sharifuddin, 40, berkata, melalui syarikat produksinya itu membolehkan dia menghasilkan lebih banyak karya mengikut kehendaknya dan turut sama berlakon dalam karya yang dihasilkan.
“Tawaran berlakon ada cuma tidak menepati cita rasa saya. Kebanyakan ‘story line’ yang diberikan sebelum ini banyak kisah penyondol, dua perempuan berebut seorang lelaki dan ia membosankan.
“Saya mahu memartabatkan maruah wanita melalui karya dihasilkan selain mahu menerbitkan drama berkualiti,” katanya.
Fazura berkata, dengan penubuhan Fazura Pictures ia menjadi misi utamanya untuk menghasilkan lebih banyak karya berbeza daripada sebelum ini.
“Pada masa sama, saya juga boleh berlakon dengan karya saya hendak dan selepas ini bermacam-macam yang sudah dirancang. Tak kisah genre macam mana dan banyak genre saya hendak buat termasuk filem seram.
“Bagaimanapun, karya yang dihasilkan hendaklah memberi manfaat kepada masyarakat kerana banyak yang kita lihat dalam televisyen sekarang adalah cerita mengarut. Sejujurnya banyak cerita yang mengarut sebab tidak ada mesej yang disampaikan,” katanya.
Menurut Fazura lagi, dia yang sekarang aktif menjadi penerbit turut berhasrat untuk bergelar pengarah, namun masih belajar dalam bidang pengarahan.
“Setakat ini ada dua karya sulung Fazura Pictures iaitu mengenai kempen raya menerusi filem pendek di Youtube bertajuk Adinda dan Kakak Kita ke Jakarta,” katanya.
Sumber: Harian Metro
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
This website uses cookies.