Kebanyakan selebriti Hollywood yang bertaraf jutawan memiliki jet peribadi bagi memudahkan mereka ‘terbang’ ke destinasi yang ingin dituju.
Semestinya, jet peribadi yang dimiliki itu cantik serta selesa. Lengkap dengan permaidani lembut, tempat duduk yang luas dengan kerusinya diperbuat daripada kulit dan pelbagai kemudahan lain.
Reka bentuk dalaman pesawat juga sangat mengagumkan umpama berada di dalam kediaman mewah. Ianya juga mampu memuatkan tujuh hingga sedozen penumpang.
Kenali 7 selebriti Hollywood yang memiliki jet peribadi seperti dikongsi oleh Hello Magazine.
TAYLOR SWIFT
Memiliki dua jet peribadi, Dassault Falcon 50 dan Dassault-Breguet Mystere Falcon 900. Penyanyi lagu Shake It Off ini telah menjual jet peribadi pertamanya yang dibeli pada 2012. Bagaimanapun, dia masih memiliki Falcon 900 yang lebih besar, mempunyai ruang yang cukup untuk tiga kawasan lounge berasingan.
Jet itu diperibadikan dengan nombor 13 di bahagian hadapan simbolik kepada tarikh lahirnya pada 13 Disember serta nombor bertuahnya. Pesawat ini juga mempunyai nombor pendaftaran yang berakhir dengan huruf awal TS.
TOM CRUISE
Memiliki jet peribadi Gulfstream IV yang merupakan pilihan sangat popular kerana ia boleh menyesuaikan bahagian dalamannya.
Jet itu dilengkapi dengan tempat duduk untuk sekurang-kurangnya 14 penumpang, dengan pelbagai tempat duduk kulit mewah serta ruang untuk ketuhar gelombang mikro, pembuat kopi dan peti sejuk.
CELINE DION
Celine Dion telah terbang ke seluruh dunia maka tidak hairanlah dia memiliki jet peribadi.
Pesawat milik penyanyi Kanada ini ialah Bombardier BD 700 Global Express yang boleh memuatkan 12 ke 16 penumpang di tiga ruang tempat duduk yang luas.
JOHN TRAVOLTA
John Travolta merupakan pencinta penerbangan. Dia memiliki Boeing 707 hingga Eclipse 500.
Walaupun Boeing boleh membawa sehingga 150 penumpang, bintang Grease ini melaraskannya hanya kepada 15 orang.
OPRAH WINFREY
Sama seperti Celine Dion, Oprah Winfrey memilih Bombardier BD-700 Global Express XRS.
Jet peribadi ini biasanya mempunyai 18 tempat duduk penumpang, ruang istirehat atau bilik tidur belakang, serta dua tandas.
JACKIE CHAN
Memiliki dua pesawat iaitu Embraer Legacy 650 dan 500. Pada 2012, dia membeli Legacy 650 dengan harga USD 30 juta.
Empat tahun kemudian, Jackie Chan membeli Legacy 500 dengan harga USD 20 juta.
JAY-Z
Jay-Z dan Beyonce adalah pasangan artis yang terkenal dan kaya. Mereka mempunyai Bombardier Challenger 850 Learjet dengan tempat duduk kulit yang luas serta ruang untuk tujuh penumpang.
Jet peribadi ini sebenarnya dihadiahkan oleh Beyonce kepada Jay-Z sebagai hadiah Hari Bapa pada 2012.