Tekad Mahu Menyusukan Secara Eksklusif, DATO’ SRI SITI NURHALIZA Belajar Kunci Jam & Cara Pam Susu!

Kehadiran Dato’ Sri Siti Nurhaliza sememangnya ditunggu-tunggu pagi itu. Ruang butik Ariani begitu sesak, sampaikan ada yang berjingkit-jingkit mahu melihat sendiri wajah terkini penyanyi No. 1 negara itu dari jarak dekat.

Suasana bertambah gamat apabila suaranya berkumandang memberi salam. Jualan lelong tudung Ariani bertambah hebat, malah ramai yang berebut-rebut mahu mendapatkan koleksi terkini jenama ini pada harga terjangkau murah.

Begitulah fenomena yang baru tercetus sebentar tadi sempena pelancaran butik Ariani dan Jakel di Ostia Bangi. Selain promosi jualan murah, ini juga peluang keemasan untuk bertemu selebriti terkemuka seperti Siti Nurhaliza dan Nabil Ahmad.

Peluang bertentang mata dengan superwoman ini tidak disia-siakan. Memasuki bulan ketujuh dan mencecah 32 minggu usia kehamilan, pastinya timbul debaran di hati Siti menanti saat-saat kehamilan yang kian hampir.

Ikuti temu bual Nona dan beliau tentang segala persiapan kelahirannya…

Perasaan Siti sekarang?

Setakat ni belum berdebar lagi. Saya masih boleh relaks, tapi ada juga sesekali tengok proses kelahiran tu di Internet walaupun orang kata jangan tengok. Saya cuma nak tahu keadaannya.

Masa kali pertama rasa tendangan bayi dalam perut, saya memang terkejut! Lebih-lebih lagi masa tendangan tu agak agresif pada waktu malam. Rasa macam ombak! Namun setiap kali saya cuba nak rakam video momen tendangan tu, mesti tak dapat.

Masa kandungan bayi mencecah 6 bulan, saya ada buat detail scan untuk tengok perkembangan tulang, tangan, perut, jantung dan sebagainya. Pipi dia memang chubby. Alhamdulilah tengok semua normal dan doktor cakap bayi membesar mengikut perkembangan yang sepatutnya. Last hari tu berat dia dah 1.8kg jadi anggaran lahir nanti dalam 3kg.

Alhamdulilah saya pun takde masalah tidur macam terjaga tengah malam nak makan, kecuali untuk ke tandas. Tapi sebelum tu saya kena duduk dalam setengah jam, pernah sampai terlelap sebab sekarang ni selalu rasa reflux dan heartburn. Bila dah selesa, baru saya tidur baring betul-betul.

Sejauh mana persiapan dilakukan?

Kami belum ada kesempatan beli perabot bayi lagi sejak suami bertolak ke London. Tapi baju-baju alhamdulilah, rezeki anak saya banyak orang bagi hadiah. Saya terima dengan ikhlas hadiah-hadiah ini daripada peminat sebab itu tanda kasih mereka pada saya.

Memang banyak sangat baju yang dihadiahkan jadi saya tak mahu membazir beli lagi sebab bayi newborn cepat membesar. Selain tu ada juga dapat set kelengkapan mandi dan penggendong bayi. Saya berterima kasih pada peminat yang bermurah hati belikan hadiah. Cuma saya mungkin akan beli beberapa barang kelengkapan bayi lagi dalam seminggu dua ni.

Ada terima tajaan?

Untuk bersalin takdelah. Tapi ada pihak yang dah approach untuk taja beberapa kelengkapan bayi cuma saya taknaklah uar-uarkan lagi.

Pengalaman Siti sepanjang kehamilan ni?

Saya pernah jaga anak buah tapi nak kata yang betul-betul pengalaman tu taklah sebab saya tak pernah rasa bangun tengah malam setiap 2 jam untuk susukan anak. Saya banyak tanya wanita, saat paling tough

selepas bersalin selalunya adalah bagi anak menyusu.

Suami saya pun nak saya mengalami pengalaman tu. Itulah pengalaman yang saya nervous nak tunggu. Menyusukan anak dan rasa tanggungjawab seorang ibu.

Selalu kita kata seronoknya jadi ibu tapi kita tak tahu tanggungjawab dan cabarannya besar. Saya tengok sendiri menantu saya Tya Ariffin yang selalu di rumah, betapa berdisiplinnya dia menyusukan anak, siap kunci jam setiap dua jam, pam susu dan sebagainya. Kalau boleh saya pun nak fully breastfeed anak macam tu, insyaAllah.

Rancangan waktu berpantang nanti?

Saya akan berpantang di KL tapi ikut cara tradisional Melayu. Memanglah kalau ikut tradisi kita nak mak jaga tapi saya faham mak saya pun dah berusia.

Lagipun sekarang dah banyak perkhidmatan confinement lady, so akan ada orang yang datang ke rumah untuk jaga saya berpantang nanti. Makcik ni pun memang berpengalaman untuk jaga ibu dan bayi selama 44 hari.

Ada terfikir nak buat akaun Instagram untuk si comel nanti?

Tak boleh cakap lagi pasal tu. Memang banyak orang bertanya tapi setakat ni saya belum terfikir ke arah tu. Semuanya perlu dibincangkan dengan suami dulu.

Dulu saya pernah upload gambar scan bayi di IG tapi suami cakap jangan lagi sebab masa tu bayi masih belum matang. Jadi niat tu pun tak dibatalkan.

Tentang aktiviti seni Siti?

Walaupun aktiviti sekarang agak terhad, tapi takpelah sebab ini yang saya nak. 11 tahun saya tunggu dan berdoa hingga Allah makbulkan. Jadi saya kena fokus dengan apa yang saya nak sekarang. Suami pun beri layanan yang baik especially

masa mengandung ni saya asyik nak mengadu penat jer kat dia.

Nasihat Siti untuk pasangan yang masih berikhtiar mendapatkan zuriat?

Berdoa, berusaha dan tawakal. Sentiasalah bersangka baik dengan Allah. Untuk wanita yang masih menanti kehadiran cahaya mata, percayalah Tuhan akan berikan rezeki itu pada masa yang tepat. Saya sendiri menanti 11 tahun untuk saat ini, malah pernah keguguran juga. Tapi saya tak menangis. Saya yakin pasti ada rezeki saya suatu hari nanti.

Allah bagi rezeki tepat pada waktunya. Tatkala anak-anak semua dah membesar, termasuklah anak bongsu pun kini dah belajar di luar negara, rumah kami jadi agak sunyi. Jadi Tuhan beri cahaya mata ini pada kami untuk isi ‘kekosongan’ tu. Alhamdulilah.

Pelan bisnes Siti?

Sebenarnya kita dah start dah. Bulan Disember lepas, Creacion dah mula reka baju dan cari material. Kali ni semua persiapan awal. Diharap koleksi ini dapat menepati selera pelanggan hendaknya. Norzalina Mohd Alias

Share
Published by
Norzalina