Ramai yang mula memulakan perniagaan secara online untuk promosi pelbagai barangan dan produk. Pastinya anda ingin promosi yang terbaik dan produk kelihatan mega di mata pembeli.
Hanya dengan menggunakan telefon pintar dapat membantu anda mencipta konten digital bagi perniagaan dan pemasaran. Kamera telefon pintar sudah melangkaui kecekapannya dan tersedia dengan resolusi yang tinggi bagi melahirkan kualiti gambar yang nampak lebih professional. Jimat kos bukan!
Bolehkah telefon pintar merakam gambar produk seolah-olah ia nampak seperti gambar profesional? Sudah tentu boleh. Ini kerana jenama telefon pintar telah mencipta resolusi kamera amat tinggi beserta dual lensa atau triple lensa.
Foodstylist & Mobile Photography Trainer, Sharm Md Zin berkongsi tip mudah untuk anda mengambil gambar produk dengan hanya menggunakan telefon pintar.
Langkah pertama pastikan telefon pintar anda berada di dalam pengecasan paling maksima. Apabila kita menggunakan kamera telefon pintar, kuasa baterinya digunakan secara maksima dan menyebabkan peratusan kuasa baterinya menurun dengan lebih pantas.
Batalkan butang ‘Sleep Mode’ pada telefon pintar agar ia tidak terkunci secara automatic. Ia tidak mengganggu anda ketika bergambar. Naikkan kecerahan (brightness) pada tahap paling maksima. Kemudian aktifkan butang grid pada telefon pintar anda.
Sebelum melakukan pengambaran, terdapat beberapa peralatan utama diperlukan. Antaranya adalah:
Product Table Shoot
Ia boleh dibeli menerusi bisnes atas talian iaitu di Lazada atau Shopee. Terdapat pelbagai saiz terjual di sana. Jika anda memiliki produk yang agak besar saiznya, digalakkan untuk membeli saiz yang agak besar. Jika tidak, saiz yang sederhana dan bersesuaian masih boleh dipertimbangkan. Kaji harga yang paling murah dan berbaloi sebelum membeli. Harga mungkin bermula dari RM150 dan ke atas atau lebih rendah dari itu.
Tripod
Miliki apa juga jenis tripod yang bersesuaian bagi anda untuk melakukan fotografi secara berkesan. Tripod sangat berguna bagi memudahkan anda bekerja untuk menyusun produk kerana tangan anda bebas tanpa ada sekatan. Laraskan tripod mengikut ketinggian Product Table Shoot.
Foam Board
Berfungsi untuk membias cahaya dari arah bertentangan dengan subjek agar ia dapat memberi cahaya secara rata pada kedua arah. Jika tiada foam board, kertas A4 berwarna putih juga boleh digunakan sebagai ganti.
Arcylic board
Papan jernih ini boleh dibeli menerusi bisnes atas talian di Shopee atau Lazada. Papan ini memberi biasan pada produk untuk kelihatan produk tersebut seolah diambil oleh para profesional.
TIP FOTOGRAFI DI RUMAH
Cari potensi cahaya dari luar di kediaman rumah anda. Pastikan cahaya matahari tidak terlalu terang (harsh). Kaji kedudukan cahaya sama ada di beranda rumah, di tepi tingkat rumah atau di pintu kaca rumah anda.
Pastikan lensa dan skrin telefon pintar anda telah dibersihkan terlebih dahulu sebelum memulakan pengambaran. Anda boleh menggunakan kain yang lembut dan tidak berbulu untuk membersihkannya.
Kenali bentuk fizikal produk yang hendak diambil. Adakah ia berbentuk silinder, bersegi dan sebagainya. Pembungkusan juga memainkan peranan yang penting. Pembungkusan dari stiker produk yang berkilat agak susah hendak dibuat kerana pantulan cahaya anda mengganggu gambar.
Manakala stiker matte (tidak berkilat) adalah yang paling ideal dan mudah untuk dilakukan. Sebab itu, jika anda lihat banyak jenama besar yang mengeluarkan produk mereka dengan pembungkusan yang matte (tidak berkilat) sama ada pada kotak atau stiker.
Susun produk anda di tepi atau kanan atau di tengah mengikut kreativiti anda. Pastikan ada ruang kosong untuk anda bermain kreativiti. Ruang kosong ini dinamakan negative space. Ia berfungsi untuk meletakkan teks kreatif (copywriting), logo atau maklumat produk serta info Call To Action seperti nombor telefon untuk dihubungi atau sosial media anda untuk pelanggan ikuti.
Pastikan anda mahir mengendalikan butang fokus di kamera telefon pintar. Butang fokus ini muncul bila anda menyentuh skrin telefon pintar anda. Ia menunjukkan ikon matahari di mana anda boleh skrol ke atas (untuk cahaya yang lebih terang) atau skrol ke bawah (untuk mengurangkan cahaya). Jika sudah mendapat cahaya yang anda mahukan, klik butang untuk shoot.
Setiap kali anda mengambil gambar, pastikan anda melihat gambar yang diambil di galeri telefon pintar sebelum anda melakukan penggambaran yang berikutnya pada produk yang lain. Ia untuk memudahkan kerja kelak dan kerja tidak berulang serta menjimatkan masa.
Hapuskan gambar yang tidak mencapai standard yang anda tidak kehendaki untuk mengelakkan kekeliruan kelak. Hanya gambar yang paling cantik dan menarik sahaja perlu berada di dalam galeri telefon pintar anda.
Perlu diingatkan bahawa fotografi produk menggunakan telefon pintar mungkin akan nampak lebih pro seolah-olah menggunakan kamera DSLR, namun resolusinya hanya sesuai untuk kegunaan media sosial sahaja.
Selamat mencuba!
www.facebook.com/sharminemdzin
www.instagram.com/foodstylist_whiterabbit