
Datin Nur Ezdiani beruntung kerana mempunyai suami yang sentiasa menyokong perjuangannya dan menjadi tulang belakang saat mula bertatih dalam perniagaan baharu ini. Bukan sahaja memperkenalkan teknologi blockchain yang dianggap masih baru di negara ini, malah Datin Nur Ezdiani telah membulatkan tekad menjadi peneraju utama dalam bidang itu di dalam negara mahupun ke peringkat antarabangsa.
“Teknologi blockchain masih dianggap baharu di Malaysia. Ramai yang masih skeptikal malah tidak percaya atau keliru dengan perjalanan sistem perniagaan sebegini. Rata-rata pemain yang terlibat semuanya masih muda dan berada dalam lingkungan usia awal 20an. Tetapi mereka semua cepat mencari peluang dan masing-masing kini sudah bertaraf multimillionaire. Ini kerana mereka bijak menggunakan teknologi blockchain dan faham akan kelebihannya.
Komuniti saya ada lebih daripada 180,000 orang seluruh dunia seperti Jepun, China, Thailand, Kemboja, Filipina, Vietnam, Singapura dan Indonesia. Suami pula telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa sebagai Penyedia Teknologi Kewangan Emas Paling Inovatif oleh The China Forex Expo di Shenzhen dua tahun lalu. Pengiktirafan sebegini benar-benar telah melonjak semangat kami berdua untuk terus berusaha,” bicara isteri kepada Datuk Muhd Azraimuddin Zainal memulakan bicara dengan nada bersungguh.
Aplikasi ini dilihat sebagai perintis teknologi kewangan di negara ini. Ia membuktikan Datin Nur Ezdiani dan suami yang merupakan anak tempatan mampu mengharumkan nama negara dengan menghasilkan inovasi yang diiktiraf dunia. Lebih mengagumkan apabila kepakaran pasangan suami isteri ini boleh menandingi kemampuan pakar dalam bidang itu di peringkat global.
Usaha gigih Datin Nur Ezdiani memperkenalkan Malaysia di mata dunia turut diiktiraf apabila beliau dianugerahkan Tokoh Srikandi Negara dengan gelaran Tun Puteh oleh Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia (Srikandi Malaysia). Majlis gilang gemilang ini turut menyaksikan Ke bawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mencemar duli menyerahkan anugerah kepada 34 tokoh wanita yang menyuntik inspirasi kepada wanita lain serta berjaya dalam bidang masing-masing termasuk Datin Nur Ezdiani sendiri.
Berniaga Tampung Kos Belajar, Untung Sikit Kongsi Sama Mak Ayah Berkat Kejayaan DIANZ Sekarang

Kagum melihat semangat juang wanita yang sudah tujuh tahun berniqab ini. Walaupun masih muda namum kejayaan milik Nurul Diana Mohd Pudzi bukan calang-calang. Memulakan perniagaan hanya bersandarkan alasan mahu menanggung kos sara hidup semasa di kolej telah menukar persepsinya dalam bidang yang penuh cabaran ini.
Wanita yang dilahirkan 28 tahun lalu ini benar-benar bersyukur dan megah dengan kejayaan miliknya kini. Menjadi pengasas produk kecantikan dan kesihatan bukan suatu angannya ketika kecil. Namun, aturan dari Yang Maha Esa adalah yang terbaik dan sebaik-baik Perancang.
“Saya bukan orang senang dan ‘degil’ untuk meneruskan pengajian di kolej. Setiap hari makan mi segera bukan suatu yang asing bagi saya ketika itu. Demi kelangsungan hidup sebagai pelajar saya perlu buat sesuatu dan timbul idea cuba menjual produk kosmetik.
Ketika itu saya langsung tak ada modal namun kuatkan hati dengan mengambil pre-order. Saya ‘jual’ di Facebook, orang order dan terus buat bayaran. Bayaran pelanggan itu saya guna untuk beli produk kemudian baharu dipos. Tak sangka dalam masa seminggu, saya dah mula ada ‘pendapatan’,” ujar wanita berkelulusan Diploma Perbankan Islam, Politeknik Sultan Idris Shah, Selangor ini.
Walaupun ketika itu keuntungan yang dimiliki oleh wanita yang mesra di sapa Dian ini bukan besar, sekadar cukup untuk menampung kos sara hidupnya sebagai pelajar namun tak pernah lupa menghulurkan wang kepada mak ayah di kampung halaman. Mungkin ini yang dikatakan berkat ‘sedekah’ dengan mak ayah sendiri, rezeki akan mencurah-curah tanpa disangka-sangka.
“Saya meneruskan jualan ini sehingga ke semester akhir pengajian dan pendapatan tertinggi yang pernah saya terima mencecah RM20 ribu sebulan,” ujar ibu kepada dua orang anak ini yang gigih dan pantang menyerah.
Selepas menamatkan pengajiannya wanita ini nekad menghasilkan produk atas jenama sendiri. Bersandarkan pengalaman berniaga di atas talian maka lahirkan produk yang diberi nama Dianz. “Saya keluarkan produk topeng muka (mask).
Ketika itu topeng muka begitu popular sebagai produk penjagaan kulit. Saya mencipta kelainan sedikit dengan menghasilkan topeng muka berwarna ungu berbanding dengan topeng muka yang banyak di pasaran dengan warna putih dan hitam.
Rezeki tak pernah salah alamat, dalam masa lapan bulan saya memperoleh keuntungan mencapai RM1 juta. Jualan saya memang 100 peratus bergantung kepada Facebook semata-mata, tidak ada laman sesawang mahupun platform digital yang lain,” terang Dian yang bangga mampu berkongsi rezeki dengan membawa 13 orang ahli keluarga menunaikan umrah melalui hasil titik peluhnya sendiri.
Sehingga kini jenama Dianz menumpukan pengeluaran produk suplemen iaitu Dianz Vitamin Premium dan Dianz D’Honey Skin Booster. “Bagi memastikan pelanggan dapat menikmati hasil yang terbaik, setiap produk Dianz memiliki sijil Kementerian Kesihatan Malaysia (Farmasi) dan mempunyai Sijil Halal,” kata Pengasas Dianz ini.
Tahun ini sahaja jenama Dianz berdiri megah di 50 papan iklan di sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS Highway). Di samping itu, Dianz juga boleh dilihat di 40 buah badan bas Rapid KL terpilih serta troli di 9 buah pasar raya besar Tesco dan Mydin yang terpilih.
“Jadilah Wanita Yang Berduit Kerana Wanita Yang Cantik Dah Banyak!” Ifa Raziah Mahu Kaum Hawa Berdikari

Sering membawa watak antagonis, jelmaan wanita yang bermasalah itu sedikit sebanyak terpalit dalam kehidupan Ifa Raziah. Siapa sangka kalau sebaliknya beliau adalah seorang wanita yang sangat kelakar, malah lebih dari itu bergelar usahawan yang sangat menginspirasikan. Kini Ifa mengadaptasi seluruh pengalamannya sebagai anak seni selama lebih dua dekad untuk memajukan bisnes pengurusan acara, StarVendors Event Sdn Bhd.
Seorang yang tegas berpendirian, karakter Saripah Raziah Mustapha selaku Pengarah Urusan dan Pengasas StarVendors menjadi kekuatannya dalam mengendalikan urusan syarikat.
Tidak seperti di layar perak, selebriti itu bijak memainkan peranan sebagai pemimpin, sekaligus menambah keyakinan sesiapa pun yang datang berurusan. Daripada individu berprofil tinggi seperti Menteri, pegawai kerajaan dan swasta, agensi atau badan korporat, ahli perniagaan hinggalah petugas media serta orang ramai, Ifa Raziah sentiasa profesional ketika bekerja.
Terkenal dengan imej Miss Diva dan sering tampil memakai barangan kemas seperti loket hati gergasi, Ifa Raziah juga merupakan pengasas Serifa Beauty & Health. Produk pelangsingan Solid Molid dan produk Miss Diva Skincare yang diasaskan sejak lima tahun lepas antara yang mendapat permintaan tertinggi ketika musim PKP lalu. Beliau juga giat menjual korset Ifa Raziah Wonder Suit by Jovian.
“Selagi masih larat dan kudrat mengizinkan, saya mahu terus aktif dalam bidang seni. Sebenarnya saya banyak menerima job daripada stesen TV, antara yang terbaru adalah sebagai peserta dalam program Terpaling Juara. Kehadiran saya sedikit sebanyak menaikkan rating dan membantu menularkan program tersebut.
Saya sebenarnya seorang individu yang bersemangat dan suka memberikan komitmen dalam setiap pekerjaan. Termasuklah dalam arena bisnes.
Harapan saya agar suatu hari nanti semua kerja keras ini dapat meninggalkan legasi kepada anak-anak. Mungkin bila dah berusia nanti, saya dapat abadikan diri beribadah sepenuh masa sambil monitor saja bisnes yang mereka uruskan.” Ifa Raziah
VERSATIL
Terkenal sebagai seorang wanita yang ekspresif, statement beliau iaitu, “Jadilah wanita yang berduit kerana wanita yang cantik dah banyak!” mencuit perhatian.
Pernah menjulang trofi Artis Versatil Popular dua tahun berturut-turut di ABPBH29 & ABPBH30, Ifa Raziah yang berstatus Dato’ mula terlibat dalam industri seni sejak tahun 90-an lagi. Seterusnya, bakat beliau berkembang sebagai pelakon, pelawak dan pengacara sebelum kini sebagai Pengasas serta Pengarah Urusan StarVendors Event Sdn Bhd.
Tidak keberatan berkongsi sejarah, wanita jelita berdarah peranakan Melayu-Arab dan ibu kepada dua cahaya mata itu tenang bercerita. Menurutnya, bakat nyanyian yang terpendam sebenarnya mula dikesan sejak zaman kecil lagi.
Ketika berusia 17 tahun, beliau pernah mewakili Malaysia ke pertandingan akhir Asia Bagus (1992) tapi disebabkan peperiksaan SPM ketika itu, Ifa terpaksa menarik diri.
“Saya mengeluarkan album solo pertama bergenre pop balada iaitu I Miss You, I Love You pada tahun 1996. Zaman itu Malaysia dilanda gelombang dangdut, jadi saya cabar diri hasilkan album dangdut pula setahun kemudian.
Single lagu Ser…Ser…Ser… berjaya melonjakkan nama saya sebagai penyanyi dangdut popular. Saya juga mula aktif berlakon pada waktu yang sama, malah untuk rekod pernah membintangi beberapa buah filem dan teater, berpuluh drama serta telefilem tempatan.
Menjelang era 2000-an, saya tubuhkan syarikat rakaman sendiri iaitu Ifa Raziah Entertainment dan keluarkan album ketiga iaitu Gemerincing Rindu.
Saya juga pernah keluarkan single lagu Panas bersama penyanyi Cat Farish yang berjaya layak ke Separuh Akhir Muzik-Muzik 2008 dan peringkat akhir Hits 1 RTM tahun yang sama.” Ifa Raziah
Bakat Ifa Raziah seterusnya berkembang dalam bidang pengacaraan TV apabila beliau ditugaskan sebagai pengacara program Wanita Hari Ini selama tiga tahun bermula 2008.
Tidak sekadar petah berbahas isu semasa, wanita kelahiran Jitra, Kedah itu sekali lagi membuktikan bakatnya sebagai pelawak apabila menyertai Maharaja Lawak Mega bersama kumpulan Syok.
Berkat sifat disiplin yang tinggi, rezeki Ifa Raziah dalam bidang seni terus mengalir tanpa henti. Bekas peserta program GegarVaganza ini terus mencatat satu demi satu kejayaan berskala besar ekoran strategi hidupnya, ingin sentiasa relevan dengan trend semasa.
Kerana itulah gaya dan penampilan diri beliau sentiasa berevolusi, stail mekap pun up-to-date!
USAHAWAN
Menyedari betapa luasnya manfaat berniaga, Ifa Raziah mengorak langkah berani sebagai pengasas StarVendors pada tahun 2019. Sebagai syarikat pengurusan acara, StarVendors dianjurkan sebagai festival membeli-belah dengan penyertaan ramai selebriti dan pelbagai jenama terkenal di Malaysia.
Menggunakan pengaruh seni, pengunjung yang datang juga boleh bertemu mesra artis kesukaan mereka dan menikmati persembahan yang diadakan.
Pencapaian terbesar Ifa Raziah adalah apabila acara Festival StarVendors Mega Raya yang dianjurkan pada bulan Ramadan lalu melakar sejarah di The Malaysia Book of Records sebagai penganjuran paling lama selama 75 jam tanpa henti.
“Dengan rekod keseluruhan pengunjung mencecah 2.8 juta orang, saya sebenarnya amat terharu dengan pengiktirafan ini dan tidak menjangka mendapat sambutan yang amat luar biasa.
Jadi saya nak menjemput lebih ramai artis dan usahawan untuk sertai StarVendors. Kami dah susun banyak program hebat di 11 venue sepanjang 2023.
Inilah satu-satunya platform yang dapat memperkenalkan branding anda dengan baik selain online. Usahawan boleh turun padang berjumpa pengunjung secara fizikal sambil mereka pegang sendiri produk anda.”
Baca artikel perjuangan bisnes penerima Nona Entrepreneur Award, Ifa Raziah ini dalam naskhah edisi khas Nona Superwoman 2022 di pasaran Januari 2023.
Penulis: Norzalina Mohd Alias
Arahan Seni: Kiffy Razak
Konsep: Azniza Aziz
Foto: Azfarina Sulaiman
Solekan: Bobo Cinta
Dandanan: Hamidi Jamili
Busana: Daniel Zharif, Jovian Mandagie, Maglifestyle
Lokasi: W Kuala Lumpur Hotel
Cantik & Pandai Berniaga, Isteri Penceramah Ustaz Johari Abd Wahab Ini Angkat Perniagaan Makanan Sunnah Ke Tahap Tinggi!

Berkarisma, cantik dan menyenangkan. Tiga perkataan ini jelas menggambarkan aura Nur Adila Manshor, pengasas empayar Rayhanah Group Sdn Bhd.
Selama sedekad berniaga, penerimaan dan permintaan terhadap makanan sunnah khususnya madu asli dari Yaman kian meningkat, sekaligus menepati target Nur Adila dalam menjadikan makanan alternatif ini sebagai sebahagian diet sihat rakyat Malaysia.
Merupakan isteri kepada pendakwah dan penceramah bebas, Ustaz Johari Abd Wahab, wanita dari Kuantan ini asalnya dibesarkan dalam keluarga yang sederhana. Ayahnya seorang petani, sementara ibu, Puan Hajah Saniah merupakan bekas seorang setiausaha.
Nur Adila menjadi yatim pada usia 11 tahun, menyebabkan beliau terblasa dengan hidup berdikari.
“Sejak kematian arwah ayah, saya mendapat tajaan zakat untuk membiayai pendidikan sehinggalah berusia 17 tahun.
Selepas SPM, saya dapat tajaan MARA untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Pengajian Undang-undang di Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin dalam jurusan Diploma Undang-undang pada tahun 2002 hingga 2004.
Kemudian saya dapat tawaran untuk melanjutkan lagi pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Undang-undang di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari tahun 2005 hingga 2008.” Nur Adila Manshor
Seorang yang bijak dan terpelajar, beliau membuktikan bahawa status berkahwin bukan halangan untuk mengejar ilmu.
Walaupun sudah memiliki dua cahaya mata ketika itu, Nur Adila tetap berjaya menghabiskan pengajian dalam bidang Guaman Syarie dan Kehakiman seterusnya ke peringkat sarjana (Master) dalam bidang Undang-undang di UKM.
Kini beliau merupakan ibu kepada lima cahaya mata iaitu Rayhanah (13), Sumayyah (1 1), Ukasyah (7), Uwals (6) dan Sarah (2).
Mengambil nama anak sulung sebagai nama bisnesnya, slapa sangka Nur Adila yang pernah bergelar pensyarah itu rupa-rupanya pernah berkecimpung dalam pelbagai bisnes sebelum in.
“Sekitar tahun 2013, saya ambil keputusan untuk berhenti kerja dan fokus terhadap keluarga di rumah. Di situlah bermulanya penglibatan sebagal usahawan kecil-kecilan.
Pada permulaannya, bisnes madu dimulakan secara berhutang dan aktiviti jual-beli berlaku di rumah sahaja, sama ada pelanggan atau pengedar semuanya datang ke rumah kami, termasuklah supplier barang-barang menghantar barangan ke rumah.
Suatu malam, saya semak buku hutang suami dan bayangkan nilal hutang yang belum dikutip masa tu mencecah puluhan ribu. Justeru, saya mula bantu sedikit demi sedikit terapkan sistem manual untuk kutip hutang.
Disebabkan tidak biasa duduk diam, saya juga ligat menjual tudung pada keluarga dan rakan-rakan. Sayangnya. bisnes ni tak dapat sambutan, jadi saya beralih pula pada jualan Bundle Sale Baby. Semua baju bundle tu saya packaging semula cantik-cantik dan jual di car booth Tasik Cempaka.” Nur Adila Manshor
Serentak itu bisnes yang diusahakan bersama suami pun berkembang, catatan untung rugi juga mula mendapat hasil.
“Rumah kediaman kami sarat dengan stok barang, kotak bersusun-susun sampai tak nampak dinding. Orang kata macam gudang. Ingat lagi bersama pekerja pertama saya, kami buat segala urusan di atas meja makan selama hampir enam bulan.
Akhirnya pada penghujung 2014, kami mula menyewa premis dan bermulalah episod saya menumpukan perhatian sepenuhnya pada perniagaan ini secara serlus.
Bisnes dijalankan secara agentship dan modul yang sama masih bertahan sampai sekarang. Masuk tahun ke-10 ni kami dah ada lebih kurang 500 ejen yang aktif, berbanding 2,000 ketika PKP lalu.”
MAKANAN SUNNAH
Sepanjang 10 tahun berniaga, banyak pencapalan yang telah diraih oleh Rayhanah Madu. Salah satu yang menjadi kenangan manis buat Nur Adila, suami dan seluruh team mereka adalah menjadikan madu ini lebih dari sekadar makanan alternatif atau makanan sunnah tapi sebagai makanan utama.
Tambahnya, untuk meningkatkan keyakinan masyarakat bukanlah sesuatu yang mudah kerana Nur Adila perlu all out dari segi pemasaran.
“Saya mahu menaikkan standard makanan sunnah ni ke tahap lebih baik. Jadi kami Ikut semua prosedur, dapatkan persijilan pihak berwajib dan tampil di pelbagai saluran media.
Malah berkat sedikit rezeki yang Allah bagi, kami naikkan 10 buah billboards Rayhanah makanan sunnah madu ni di tengah-tengah bandar.
Kalau ditanya tentang kejayaan, pada saya yang termanis adalah apabila dapat membantu ejen-ejen Rayhanah meningkatkan taraf hidup mereka.” Nur Adila Manshor
Antara kejayaan yang diperolehi adalah pengiktirafan ‘Loyalty Appreciation’ dan ‘2021 Outstanding Performance Award’ daripada pihak Ejen2u.
Selain itu, Rayhanah juga pernah menerima anugerah ‘Penyumbang Terbesar Zakat Selangor 2017’ daripada Pusat Zakat Selangor.
Baca artikel perjuangan bisnes Rayhanah Madu bersama penerima Nona Best International Organic Honey Award, Nur Adila Manshor ini dalam naskhah edisi khas Nona Superwoman 2022 di pasaran Januari 2023.
Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd ALias
Penata Gaya: Kiffy Razak
Konsep: Azniza Aziz
Foto: Azfarina Sulaiman
Solekan: Ann Karim