Menjaga haiwan peliharaan tidak sekadar bermodalkan kasih sayang semata-mata. Ini kerana anda juga perlu memastikan haiwan peliharaan turut mendapat kehidupan yang baik sepanjang anda menjaganya.
Berikan penjelasan kepada anak-anak anda jika keinginan mereka tidak dapat dipenuhi disebabkan beberapa perkara. Salah satu haiwan peliharaan yang sering menjadi pilihan ialah kucing. Tidak kiralah apa jua jenis bakanya, haiwan berbulu lebat ini sering digemari terutama oleh si kecil.
Kehadiran kucing di rumah juga mampu mencetuskan tenaga positif buat penghuninya. Haiwan peliharaan juga dapat mengelakkan anak-anak daripada kemurungan dan kesepian. Ada juga berpendapat haiwan peliharaan dapat membantu mengurangkan hiperaktif pada anak-anak.
Maka, pertimbangkan beberapa perkara sebelum membuat keputusan. 5 perkara berikut yang boleh anda bincangkan bersama seluruh ahli keluarga sebelum membela haiwan peliharaan.
KESAN TERHADAP KESIHATAN
Di sebalik keseronokan memiliki haiwan peliharaan, anda perlu peka terhadap kesan-kesan yang mungkin tidak disedari khususnya terhadap kesihatan si kecil. Sebelum membuat keputusan, lihat dulu sejarah kesihatan keluarga anda dengan melakukan ujian alergi terhadap bulu haiwan yang boleh membawa kepada lelah atau semput.
TEMPAT TINGGAL
Sediakan rumah khas untuk haiwan peliharaan anda sebagai tempat untuknya berlindung daripada panas serta hujan. Selain itu, ia juga berfungsi sebagai tempat untuknya beraktiviti dengan bebas. Jika anda tinggal di aparmen atau rumah sempit sebaiknya tangguhkan dulu niat untuk memelihara haiwan kerana ia memerlukan ruang yang selesa untuk bergerak bebas.
TUJUAN MEMELIHARA
Mungkin tidak semua haiwan peliharaan akan menjadi teman baik kepada tuannya. Anda perlu bertanya dahulu kepada seluruh ahli keluarga tujuan untuk memelihara haiwan di rumah. Adakah sebagai teman atau sekadar penjaga rumah? Pastikan juga haiwan peliharaan anda itu tidak mengganggu keselesaan seluruh jiran tetangga.
TANGGUNGJAWAB
Memelihara haiwan tidak sama seperti menjaga seorang anak kecil kerana anda perlu memastikan tanggungjawab memelihara dibuat secara terperinci antaranya melibatkan waktu makan, mandi hinggalah soal pembiakannya. Adakah setiap ahli keluarga setuju untuk mengambil bahagian untuk menguruskannya? Pastikan keputusan diambil berdasarkan kerelaan seluruh ahli keluarga terlebih dahulu.
KEWANGAN
Memelihara dan membesarkan haiwan peliharaan pasti memerlukan perbelanjaan ekstra bermula daripada keperluan makanan hariannya, produk penjagaan, kos vaksinasi, aksesori dan sebagainya. Pastikan anda merancang segalanya agar tidak menjejaskan perbelanjaan keluarga. AMY MOHD
This website uses cookies.