Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selamat kembali ke tanah air hari ini, selepas empat hari melakukan lawatan negara ke Singapura, bermula Selasa lepas (25 Oktober).
Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.
Sejurus ketibaan itu, Tunku Azizah dipersembahkan jambangan bunga oleh seorang kanak-kanak sebagai mengalu-alukan keberangkatan pulang Seri Paduka berdua ke tanah air.
Seri Paduka berdua berangkat ke Singapura pada Selasa lepas atas undangan Presiden Singapura Halimah Yacob.
Jadual lawatan Al-Sultan Abdullah bermula dengan lawatan ke Asian Civilisations Museum dan Edible Garden City pada 25 Oktober, manakala Tunku Azizah turut berangkat melawat Gardens by the Bay pada sebelah malamnya.
Pada hari sama, Seri Paduka berdua berangkat ke Majlis Santapan Malam di Istana dan diberikan sambutan negara selain mengadakan pertemuan dengan Presiden Singapura Halimah Yacob dan suami Mohammed Abdullah Alhabshee.
Ketika lawatan negara Seri Paduka berdua, Singapura menamakan satu spesies orkid hybrid sempena dengan nama Raja Permaisuri Agong iaitu ‘Queen Azizah of Malaysia’ dalam Majlis Penamaan Orkid yang diadakan di Istana pada Rabu.
Tunku Azizah pula berangkat mengadakan lawatan di National Library of Singapore, National Museum of Singapore serta Persatuan Pandu Puteri Singapura dan mengurniakan sumbangan wang S$15,000 kepada organisasi tersebut pada 27 Oktober.
Lawatan Seri Paduka berdua ke Singapura mencerminkan hubungan dua hala yang rapat dan istimewa di antara kedua-dua negara bermula sejak 57 tahun lalu.
Sumber: Bernama
Kredit Foto: Istana Negara
This website uses cookies.