Hari ini, 19 September mencatatkan detik bersejarah buar semua penduduk UK dan warga dunia di mana mendiang Ratu Elizabeth II akan disemadikan di dalam Bilik Kebal Diraja di Gereja St. George selepas tempoh 10 hari berkabung secara rasminya tamat semalam.
Upacara persemadian akan dilakukan pada pukul 11.00 pagi (waktu tempatan) hari ini (kira-kira pukul 6 petang waktu Malaysia). Istiadat penghormatan terakhir akan berlangsung di Westminster Abbey di London yang merupakan gereja bersejarah pernah menabalkan Raja dan Ratu Britain.
Majlis itu dijangka berakhir sebelum waktu tengah hari dengan semua penduduk di seluruh negara diarahkan bertafakur dan senyap selama dua minit selepas itu. Siaran langsung akan disiarkan oleh BBC Television dan disediakan dalam platform penstriman BBC iPlayer serta liputan dalam portal berita BBC dan BBC Radio sepanjang hari.
Rangkaian lain turut dipancarkan secara langsung serta tayangan skrin gergasi di tempat awam dan seluruh kawasan di UK. Acara persemadian akan disiarkan di Hyde Park, London termasuk beberapa lokasi lain di Sheffield, Birmingham, Carlisle, Edinburgh, Coleraine, Bedford, Bradford, Coventry, Exeter, Leeds, Manchester dan Newcastle. Sebanyak 125 pawagam di seluruh UK juga akan menyiarkan siaran secara langsung.
(Sumber: Utusan)
“Penat Itu Terasa, Tapi Allah Bagi Kekuatan Untuk Bertugas” Luahan Jururawat Ini Buat Rakyat Terharu!
Berbeza dengan sambutan sebelum ini, Hari Jururawat Sedunia 2020 pastinya mencatat sejarah baharu dalam profesion kejururawatan termasuklah di Malaysia.
Ini kerana seluruh dunia sedang berperang melawan pandemik koronavirus (Covid-19) dan golongan jururawat merupakan antara wira barisan hadapan yang menjadi ‘benteng’ untuk membendung penularan wabak penyakit pembunuh ini.
Mereka sebenarnya bukan sahaja berkorban masa, tenaga serta perasaan bahkan ramai yang terpaksa berjauhan meninggalkan anak isteri/suami serta insan-insan tersayang yang lainnya demi menunaikan tugas untuk negara.
Tuntutan tugas
“Kali terakhir saya pulang ke Perlis berjumpa isteri dan anak-anak ialah sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lepas.
Selalunya setiap minggu saya akan berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Perlis tetapi kini sudah dua bulan saya tak dapat balik bertemu keluarga kerana tuntutan tugas selain arahan PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang tidak membenarkan rakyat merentas negeri kecuali atas urusan tertentu.
Hanya panggilan telefon dan video menjadi pengubat rindu… Walaupun sedih, saya perlu tabah dan kuat demi tugas dan tanggungjawab,” demikian luahan hati Mohd Erwan Juslin, Ketua Jururawat Kesihatan yang bertugas di Unit Pemakanan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Dan Putrajaya.
Mohd Erwan adalah antara ribuan petugas kesihatan barisan hadapan yang bertugas menjalankan ujian saringan Covid-19 di Pusat Kesihatan Daerah Lembah Pantai termasuk dalam bulan Ramadan ini.
Beliau yang sudah berkahwin berasal dari Beaufort Sabah. Isterinya, Zurina Hamdan yang berasal dari Perlis juga adalah seorang jururawat, kini bertugas di Unit Hemodialisis Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.
Pasangan ini yang sudah mendirikan rumah tangga selama 13 tahun mempunyai tiga orang cahaya mata iaitu dua orang putera dan seorang puteri berusia dua hingga 10 tahun.
Paling mencabar
Berhadapan krisis Covid-19 Mohd Erwan berkata ia adalah pengalaman paling mencabar serta menguji ketahanan mental dan fizikal sepanjang 15 tahun beliau bertugas sebagai jururawat.
“Kerinduan terhadap keluarga di samping tugas yang perlu diselesaikan. Berpanas dan berhujan, ujian saringan tetap perlu diteruskan termasuk pada bulan Ramadan memandangkan masih ada kes kluster baharu yang direkodkan.
Memakai peralatan perlindungan diri (PPE) semasa berpuasa amatlah mencabar, peluh mencurah-curah dan basah lencun! Jika bukan pada bulan puasa memakai PPE selama satu jam pun sudah kepanasan, dahaga dan bermandi peluh, apatah lagi pada bulan puasa.
Namun begitu, mungkin keberkatan bulan Ramadan, penat tu terasa tetapi Allah beri kekuatan untuk terus bertugas. Alhamdulillah setakat hari ini saringan dapat dijalankan dengan lancar. Saya juga sebenarnya turut menjalani ujian saringan kerana contact dengan pesakit yang positif namun syukur kesemua ujian yang dijalani menunjukkan saya negatif,” kata Mohd Erwan berkongsi pengalamannya dengan Bernama menerusi perbualan telefon.
Saling menyokong
Kekangan tidak boleh bertemu anak-anak serta isteri, Mohd Erwan berkata, hanya doa dan kata-kata semangat sering diucapkan bagi memberi kekuatan antara satu sama lain.
“Selain kasihan terhadap isteri kerana perlu menguruskan anak-anak sendirian, saya juga sedikit bimbang kerana Zurina secara tidak langsung turut terlibat dengan Covid-19 kerana ada pesakit Covid-19 yang diarahkan untuk melakukan rawatan dialisis.
“Saya sentiasa mengingatkannya (isteri) agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam mengendalikan tugas bagi mengelak dari terkena jangkitan virus. Seluruh masyarakat juga perlu sama-sama menjaga diri dan mengamalkan normal baharu seperti lebih menitikberatkan soal kebersihan diri, sentiasa mencuci tangan dan amalan penjarakkan sosial dalam membendung penularan virus ini,” katanya.
Ditanya berhubung pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan dibenarkan melakukan perjalanan rentas negeri untuk berjumpa keluarga, beliau berkata, ia ibarat satu rahmat buat dirinya sekeluarga.
“Di bulan Ramadan dan menjelang Aidilfitri, pastinya pengumuman ini sesuatu yang amat kami nanti-nantikan,” katanya.
Kelmarin (10 Mei), dalam perutusan khas yang disiarkan di stesen televisyen, Muhyiddin berkata, kerajaan mengambil keputusan untuk memberikan kelonggaran berkenaan kerana difahamkan ada pasangan yang terpaksa tinggal berjauhan atas urusan kerja.
Semoga masyarakat terus menghormati serta menghargai jasa, bakti serta pengorbanan insan yang bernama jururawat ini. Bernama
Selamat Hari Jururawat Sedunia 2020!
Jangkitan Makin Menjadi-Jadi, Tan Sri Dr Noor Hisham Gesa Semua Pihak Amalkan TRIIS
Bermula 6 Februari 2022, Malaysia kembali mencatatkan jumlah kes positif melebihi 10,000 kes. Negara kini sedang mengalami gelombang jangkitan varian Omicron menyebabkan peningkatan kes baharu mendadak di seluruh negara dan rantau Asia Tenggara.
Dengan adanya liputan imunisasi yang tinggi, walaupun berlaku peningkatan kes Covid-19, namun, kemasukan ke hospital dan kematian adalah masih rendah dan terkawal.
“Di sebalik semangat kita untuk kembali menjalani kehidupan norma baharu, menggerakkan ekonomi, merancakkan bisnes dan giat menembusi pasaran luar, saya ingin menyeru semua rakyat Malaysia supaya mengamalkan TRIIS.” Tan Sri Dr Noor Hisham
Amalan TRIIS atau singkatan TEST, REPORT, ISOLATE, INFORM dan SEEK merupakan senjata ampuh untuk kita beralih ke fasa endemik.
“TRIIS membawa maksud TEST iaitu melakukan ujian pengesanan COVID-19 jika mengalami simptom. REPORT iaitu melaporkan keputusan ujian di aplikasi MySejahtera. ISOLATE iaitu kuarantin kendiri jika positif.
INFORM dengan memaklumkan kepada kontak rapat jika positif dan pihak berwajib jika kesihatan merosot. Serta akhir sekali SEEK, iaitu mendapatkan rawatan jika mengalami gejala berat.”
SESAK
Berbanding dulu, kini dilaporkan semakin ramai yang dijangkiti Covid-19. Menyedari peningkatan kes di kalangan masyarakat kian menjadi-jadi, Tan Sri Dr Noor Hisham turut berpesan agar mematuhi SOP walau dimana sahaja.
“KKM ingin menasihati orang ramai supaya terus mematuhi saranan serta nasihat kesihatan yang sering ditekankan seperti elakkan 3S (elakkan kawasan yang sesak, sempit, dan sembang dengan jarak yang dekat).
Amalkan 3W (Amalkan Wash, Wear, and Warn); sentiasa memakai pelitup muka di kawasan awam yang tertutup. Pemakaian pelitup muka berganda adalah digalakkan.
Amalkan TRIIS (Trace, Report, Isolate, Inform, and, Seek) sebelum menghadiri aktiviti sosial atau sekiranya bergejala, jalani segera ujian saringan Covid-19.”
Beliau berkata, maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 di Malaysia akan dimuatnaik ke laman web COVIDNOW (klik) yang mana data akan dikemaskini pada jam 12 tengah malam setiap hari.
Terima Pingat Kebesaran YDP Agong, NORA ARIFFIN Kini Bergelar DATUK!
Sekalung tahniah diucapkan kepada penyanyi bersuara lunak, Nora Ariffin yang merupakan salah seorang penerima pingat dan darjah kebesaran daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Hari Wilayah Persekutuan 2021. Pengurniaan Pingat Panglima Mahkota Wilayah (PWM) yang diberikan kepada Nora membawa gelaran Datuk!
Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Ariffin meluahkan rasa syukur dan terharu atas pengurniaan tersebut di media sosial miliknya.
“Assalamualaikum warahmatullah, bismillahirahmanirrahim. Alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah SWT. Patik merafak sembah dan menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di atas perkenan kurniaan ini.
Terima kasih juga kepada Kementerian Wilayah Persekutuan di atas pengiktirafan yang diberi. Sejujurnya saya amat bersyukur pada Allah SWT, terharu, teruja dan gembira di atas penganugerahan ini. Ia adalah anugerah dan hadiah yang amat bermakna untuk saya dan juga arwah suami tercinta Johan Nawawi.”
Ujarnya lagi, “Saya dengan rendah diri ingin mengucapkan terima kasih kepada anak-anak tercinta, keluarga, saudara mara, sahabat sahabat, peminat peminat & semua pihak media yang telah memberi ucapan, sokongan dan doa kepada saya.
Ini adalah satu amanah, tanggungjawab dan peniup semangat untuk saya terus aktif bergiat dalam bidang seni budaya. Semoga kita semua diberkati Allah SWT. In Shaa Allah.”
Nora bersama dua lagi penggiat seni iaitu pengarah terkenal, Yusry Abdul Halim dan penulis lirik dan skrip ternama tanah air iaitu Habsah Hassan turut menerima pingat sama yang membawa gelaran Datuk. Mereka antara 335 penerima Darjah Kebesaran, Pingat dan Bintang Wilayah Persekutuan.
Jelas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa pengurniaan tersebut adalah sebagai menghargai sumbangan besar penggiat seni dan budaya dalam bidang masing-masing. Bagaimana pun, tarikh penyempurnaan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan tahun ini masih belum diputuskan memandangkan situasi pandemik Covid-19.
Kehidupan wanita berjiwa cekal ini tidak terlepas dengan pelbagai dugaan. Pada 24 Mac 2017 Nora telah kehilangan suami tersayang Johan Nawawi yang juga komposer terkenal akibat serangan jantung. Kira-kira dua tahun kemudian, beliau sekali lagi diuji apabila anak keduanya, Muhammad Syakir Alif Johan meninggal dunia disebabkan faktor genetik pada 15 Disember 2019.
Nora kini bergelar nenek kepada cucu sulungnya, Ayden Johan yang kini berusia lima bulan. Selain menyanyi, Nora turut dilantik sebagai duta produk kecantikan Prettian. Moga Datuk Nora terus kuat mendepani hari-hari mendatang dan menjadi sumber kekuatan buat ramai wanita.
Kredit foto: Instagram Nora Ariffin