Ajal, maut, rezeki, jodoh dan pertemuan terletak di tangan Tuhan. Tak pernah sangka jadi isteri kepada jejaka warganegara Rusia, Haas Jaafar bagaimana pun bersyukur perkahwinan yang dibina memasuki usia enam tahun pada 19 November lepas. Lebih manis, rumah tangga mereka bertambah seri dengan kehadiran dua cahaya mata comel.
Berpeluang bertemu wanita cantik ini di Pulau Langkawi beberapa bulan lepas, Haas dalam nada mesra terbuka berkongsi rutin harian dan kisah kejayaannya sebagai usahawan bersama pembaca Nona.
Bersandarkan wajah cantik, susuk tubuh langsing dan tinggi lampai, penampilan wanita berusia 34 tahun ini sentiasa meraih perhatian.
Mengulas resipi kebahagiaan rumah tangga, Haas berkata perkenalan dengan suami tercinta berputik ketika mereka menghadiri konsert di Kuala Lumpur sekitar tahun 2015.
“Kami berkahwin pada 19 November 2016 iaitu selepas setahun kenal. Mula-mula kenal memang agak risau sebab perbezaan budaya tapi alhamdulillah semuanya dipermudah. Dari awal lagi, kami masing-masing dah tunjuk kesungguhan untuk belajar bahasa.
Saya misalnya belajar bahasa Rusia sebab mentua tak boleh cakap English. Suami pula belajar Bahasa Melayu dan English sendiri. Dia juga cepat belajar dan sekarang sangat fasih cakap Melayu,” ujar ratu hati Yaroslav Popov ini.
Berkahwin dengan lelaki bukan warganegara sememangnya mencabar namun ia bukan halangan buat mereka menikmati kebahagiaan. “Dugaan mempunyai suami bukan warganegara adalah sangat jelas dari segi urusan visa yang menjadi rutin setiap tahun kami sekeluarga.
Selain itu, mungkin ada kalangan yang masih lagi tidak berfikiran luas yang memandang serong pada perkahwinan campur seperti kami. Itu tidak memberi kesan langsung pada diri Haas, kerana yang penting penerimaan kedua-dua belah pihak keluarga kami sendiri. Itu merupakan keutamaan kami.
Alhamdullilah, Allah berikan keluarga mertua yang sangat menyayangi Haas dan anak- anak. Ini yang paling Haas idamkan sebelum kawin lagi. Keluarga Haas sangat sayangkan suami dan sangat selesa bersama suami kerana dia hanya berbahasa Melayu dengan keluarga Haas. Haas pasti itu adalah salah satu cara suami untuk memikat hati keluarga Haas.”
Walau terpaksa belajar budaya dan adat Melayu tapi suami Haas cepat menyesuaikan diri. Malah, sikap penyayang dan tolak ansur Yaroslav dalam menguruskan anak-anak banyak membantu Haas dari segi keluarga mahupun perniagaan.
“Tanpa support system dari anak-anak dan suami, mana mungkin Haas dapat buat apa yang Haas impikan selama ini. Dengan sokongan dari suami yang tidak pernah halang Haas mengembangkan perniagaan, anak-anak yang selalu mendoakan dan menyokong Haas, itu yang membuatkan Haas lebih bersemangat setiap hari.
Dengan bantuan suami dari segi penjagaan anak-anak, Haas dapat bergerak lebih bebas dan mampu membahagikan masa bekerja dan bersama keluarga. Memang kami tak mempunyai pembantu rumah, tapi dengan kerjasama, kami mampu uruskan keluarga dan menjalankan perniagaan bersama.
Haas pernah mendapat pendidikan awal jurusan kesetiausahaan di Stamford College, Petaling Jaya sebelum melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Keusahawanan) di Limkokwing University.
Haas ialah pemilik empayar La Parte Decorator Langkawi dan Petik Bunga Langkawi.
“Dari usia 23 tahun lagi saya dah mula berniaga dan ada tiga pekerja. Masa itu saya masih belajar. Dalam masa sama bekerja dan urus bisnes sendiri. Jadi, sudah hampir 11 tahun saya dalam bidang ini. Alhamdulillah perniagaan terkini yang saya usahakan sudah pun mencecah usia lima tahun.
Mempunyai perniagaan sendiri ialah impian saya sewaktu usia remaja lagi. Saya tahu untuk menjadi usahawan bukan mudah tapi karakter saya yang gemarkan cabaran, goal-oriented person dan sangat determined membuatkan saya yakin memilih karier sebagai usahawan.
Sehingga kini, saya mempunyai rangkaian produk kesihatan dan pelangsingan BeeTeen dan BeeNuts yang makin dikenali dan mendapat permintaan di pasaran. Apatah lagi produk ini kaya dengan pelbagai manfaat kesihatan dan berkesan,” ujar ibu Eva Elizaveta Popova dan Leon Luth Popov ini.
This website uses cookies.