Tak sampai sebulan melahirkan cahaya mata sulung, Nur Fazura Sharifuddin kembali mencuri perhatian peminat apabila tampil langsing. Menerusi perkongsian di Instagram, isteri kepada Fattah Amin ini memuatnaik gambar terbarunya sambil mendukung anak tersayang ketika hadir ke sebuah hospital untuk membuat pemeriksaan kesihatan.
Dalam entri tersebut, Fazura menyarung kemeja lengan panjang hitam bersama beg tangan jenama mewah Goyard yang tertera nama anaknya, Fatima. Meskipun hanya mengenakan solekan nipis namun ramai yang memuji wajah selebriti ini tampak lebih berseri. Tidak kurang juga yang terkejut melihat perubahan Fazura yang semakin susut.
Pada tanggal 2 Oktober lalu, aktres Hero Seorang Cinderella berkenaan dilaporkan telah selamat melahirkan anak perempuan. “Assalamualaikum. Syukur Alhamdulillah ke hadrat Allah SWT. Kiriman agung pertama kami telah selamat dilahirkan pada hari Jumaat yang mulia ini, 14 Safar 1442 Hijrah bersamaan dengan 2 Oktober 2020. Cahaya mata perempuan yang sihat dan sempurna ini sangat membahagiakan kami berdua dan keluarga.
Di sini juga kami ingin memohon sedikit masa bagi merahsiakan nama dan wajah anakanda tersayang sehingga selepas tujuh hari selaras dengan sunnah Rasulullah SAW. In shaa Allah. Terima kasih kami ucapkan buat anda semua dikasihi, yang tidak henti-henti mendoakan kami bertiga sejak awal sehingga Fazura selamat melahirkan. Salam sayang dari kami bertiga.”
Sebagai menunaikan janji terhadap peminat mengenai nama puteri sulungnya itu, Fattah dan Fazura akhirnya mendedahkan pemberian nama tersebut pada hari ketujuh kelahiran iaitu pada 9 Oktober lepas. Sambil upload video memangku anak, ini perkongsian mereka kepada peminat.
“Nama saya ialah Nur Fatima Aisya binti Abdul Fattah. Fatima dah berusia seminggu tapi Daddy and Mommy kata Fatima masih muda sangat lagi untuk media sosial. Tapi Fatima tahu, ramai yang selalu doakan Fatima. Fatima syukur sangat pada Aunties and Uncles semua. Terima kasih! Fatima pun tak sabar nak jumpa semua bila Daddy and Mommy fikir Fatima dah bersedia!”
https://www.instagram.com/p/CGHSQ88AQX3/
Walau sekadar dapat lihat muka Fatima secara ‘sipi-sipi’ saja tapi ramai yang teruja untuk melihat wajah sebenar anak pasangan romantis tanah air ini. ‘Kehadiran’ Fatima mula menjadi perhatian apabila Fazura mengumumkan kepada khalayak mengenai kehamilannya pada 17 April lalu ketika usia kandungan sudah mencecah empat bulan.
Diakui sepanjang kehamilan, setiap gerak-geri dan kelibat Fazura amat dinanti-nantikan serta mencuri perhatian ramai. Apa sahaja posting yang dimuatnaik Fazura di media sosial pasti meraih ratusan ribu likes dan komen. Rata-rata peminat dan rakan artis turut berkongsi rasa gembira selain memuji penampilan jelitawan ini sejak mengandung. Malah, pemakaian Fazura sepanjang hamil juga disedari ramai dan disifatkan cukup sopan.
Fazura dan Fattah sah bergelar suami isteri pada 27 November 2017. Sekali lagi tahniah buat Fattah dan Fazura! Moga ibu dan bayi berada dalam keadaan sihat serta dipermudahkan segalanya.
Kredit: Instagram Nur Fazura & Fattzura Love Life