Tidak lokek dengan senyuman dan ramah, Dr Tengku Ezulia, wanita berusia 31 tahun memilih kerjaya profesional sebagai pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) di sebuah pusat perubatan di ibu kota.
Orangnya bukan sahaja cantik, berperwatakan menarik ditambah dengan kebijaksanaannya merencanakan kehidupan demi masa depan menjadi kelebihan buat dirinya kerana bukan calang-calang individu boleh mendapat gelaran doktor pakar dalam usia yang begitu muda.
Walaupun rutin hariannya sebagai doktor perubatan yang sibuk dengan pelbagai tugasan yang perlu dilaksanakan, dia tidak pernah merasa terbeban lantaran minat yang mendalam dalam bidang ENT sejak kecil lagi.
“Saya mengambil masa lapan tahun untuk membina karier pada tahap kini dan berjaya memenuhi sebahagian daripada impian untuk mendalami pengkhususan telinga, hidung dan tekak (ENT). Malah, saya memilih cabang tersebut kerana merasakan ENT adalah masalah biasa yang dialami sesiapa sahaja”, jelasnya yang mesra dipanggil Dr Lea.
Wanita kelahiran Kota Bharu Kelantan ini mahu menjadi antara orang yang mampu mengatasi masalah berkaitan ENT selain melihat peluang kerjaya dalam bidang itu terbentang luas kerana tidak ramai yang mahu menceburinya.
“Saya sendiri dihujani dengan pelbagai pertanyaan berkaitan dengan ENT sejak saya menceburi bidang perubatan. Namun apa jua bidang yang saya pilih, yang penting tetap digunakan untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya yang turut menerima tawaran memperaga fesyen (modeling) jika mempunyai masa terluang.
Ujar Dr. Lea, ENT memberi cabaran yang tersendiri yang mana telinga, hidung dan leher melibatkan lokasi kritikal berhubung dengan organ-organ penting seperti otak, mata, rongga pernafasan, salur darah yang besar pada leher dan saraf-saraf penting.
Kefahaman dari segi anatomi dan kemahiran yang tinggi diperlukan untuk seseorang itu mahir dalam bidang tersebut. Dia juga tidak menolak untuk menambahkan lagi kepakarannya dalam bidang rinologi dan pangkalan tengkorak untuk meletakkan satu lagi tahap pencapaian yang diimpikan.
Di hospital saya merupakan seorang doktor bukan social influencer. Saya tidak akan sesekali mencampur-adukkan antara minat dan kerjaya. Walaupun ramai yang mengenali saya aktif di Instagram, saya masih meletakkan batasan untuk membawa imej fashionista apabila mula menyarung uniform kerja terutama apabila masuk ke dewan bedah kerana saya perlu mematuhi setiap etika kedoktoran,” katanya yang amat mementingkan kualiti dalam kerjaya dan kehidupan.
Bercerita pula peranannya sebagai social influencer, sememangnya Dr Lea tidak pernah menganggap ianya sebagai satu batu loncatan untuk glamor dan dikenali. Malah, Dr Lea menggunakan platform tersebut untuk mendidik wanita muda untuk berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi.
“Saya melihat industri fesyen dan kecantikan sentiasa dimeriahkan oleh mereka yang mempunyai kerjaya profesional. Agak sayang jika mereka meninggalkan kerjaya mereka demi populariti dan wang ringgit semata-mata.Sebagai golongan muda yang masih mempunyai kudrat, jangan takut untuk mencuba sesuatu lebih daripada kemampuan diri walaupun nampak mencabar.
“Tidak menjadi satu masalah untuk melakukan banyak perkara dalam satu masa kerana banyak benda yang boleh dipelajari di samping menimba pengalaman.Saya sendiri banyak menerima respons daripada pelajar-pelajar perubatan dan doktor pelatih yang mengatakan mereka terbeban dan penat dengan dunia perubatan.
“Pendapatannya mungkin tidak berbaloi dengan apa yang mereka lakukan sekarang, tetapi saya telah berjaya melakukannya dan saya tahu betapa ia ‘bernilai’. Percayalah, semuanya akan menjadi lebih baik pada masa akan datang.
“Cuba untuk bertahan dan fikirkan kembali niat sebenar sebelum terjun ke bidang yang dipilih. Populariti bukan segalanya, biarlah ia ‘berisi’ dengan ilmu dan kemahiran kerana itulah yang akan mencerminkan diri kita,” ujarnya yang sempat menitipkan nasihat sebelum mengakhiri bicara.
This website uses cookies.