Tengku Permaisuri Norashikin Berkenan Menyempurnakan Perasmian Pameran Kucing Jalanan 2023 USM

Kekejaman terhadap kucing terutama kucing jalanan merupakan masalah yang memberi kesan bukan sahaja kepada haiwan malahan kepada orang yang mengambil berat tentang mereka.

Melihat kepada kepentingan sesebuah masyarakat membantu meminimumkan masalah kesihatan ekoran daripada masalah pengabaian yang berkaitan kucing jalanan dan tanggungjawab untuk tidak mewujudkan sebarang diskriminasi terhadap kucing jalanan, Sekretariat B.E.L.A.S. Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif untuk menganjurkan Pameran Kucing Jalanan 2023, “Oyen: Cerita Tentang B.E.L.A.S.”.

Menurut Penasihat Utama Sekretariat B.E.L.A.S. yang juga pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan, Dr. Ainul Mohsein Abdul Mohsin, pameran ini bertujuan untuk menggambarkan realiti kehidupan harian kucing jalanan yang tidak mendapat pembelaan mahupun persekitaran kondusif bagi kelangsungan hidup.

“Pameran ini mengetengahkan bahawa pentingnya masyarakat sekitar terutama sekali institusi pengajian tinggi yang berwibawa seperti USM, untuk menangani isu kucing yang dianiaya dan juga kucing terbiar di kampus universiti sebagai masalah yang penting untuk ditangani dan diurus.”

Tambahnya, pameran ini bukan sahaja dibuka kepada pelajar dan pekerja di USM malahan terbuka kepada masyarakat luar untuk menyertainya. Kumpulan sasaran utama bagi pameran ini adalah terdiri daripada generasi muda yang sedang meningkat ke alam remaja atau dewasa kerana dilihat golongan ini merupakan golongan yang akan membentuk corak peradaban dan sahsiah generasi akan datang.

Ujar Dr. Ainul lagi, melalui amalan konsep perasaan belas kasihan atau ‘B.E.L.A.S.’ untuk kucing yang dianiaya dan kucing terbiar, generasi muda dapat membina sahsiah dan jati diri sebelum mereka meningkat dewasa. USM dengan moto “Kami Memimpin” muncul sebagai model persuasif dalam masyarakat.

Tambahan pula, falsafah HEBAT USM adalah untuk membangunkan pelajar yang bersifat holistik justeru, Pameran ini adalah pintu kepada pendedahan untuk generasi muda dan peluang untuk kucing di bawah perlindungan untuk dijaga dan dipelihara.

“Melalui Pameran Kucing Jalanan 2023, “Oyen: Cerita Tentang B.E.L.A.S.” ini, kami berhasrat untuk menyemai nilai B.E.L.A.S. yang terdiri daripada nilai Kepercayaan (Believe), Empati (Empathy), Cinta (Love), Kasih Sayang (Affection) dan Keselamatan (Salvation) dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda terhadap alam terutama sekali terhadap kucing jalanan.

“Selain daripada menanam nilai B.E.L.A.S. dalam diri masyarakat, pameran ini juga merupakan pameran yang membolehkan setiap lapisan masyarakat meneroka kapasiti mereka dalam menterjemahkan perasaan kasih sayang dalam bentuk tindakan yang dapat menyumbang dan memberi impak dalam membentuk sahsiah dan jati diri individu dan masyarakat,” tambahnya lagi.

Dr. Ainul menegaskan, usaha yang cuba diketengahkan ini selaras dengan nilai teras HEBAT iaitu BALANCED yang menunjukkan sifat proaktif, sanggup berkorban jati diri yang tinggi, bermoral, penampilan yang positif, berdikari, rendah diri dan empati yang menjadi salah satu elemen dalam agenda utama USM dalam melahirkan graduan dan modal insan berkualiti.

Terdahulu, pameran ini telah dirasmikan oleh Tengku Permaisuri Selangor, Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Norashikin di Muzium & Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) USM.

Pameran ini bermula pada 16 Januari hingga 7 April 2023, Isnin – Jumaat, 9.00 pagi – 5.00 petang di Muzium & Galeri Tuanku Fauziah, USM.

Sumber: Pusat Media dan Perhubungan Awam, Universiti Sains Malaysia

Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad