Kelibat wanita tinggi lampai ini tidak pernah lari daripada radar pandangan penulis sejak di bangku sekolah lagi dan telah mula mengekori jejak langkahnya, tatkala wanita kelahiran Rawang, Selangor ini meraih gelaran Miss Malaysia World 1992.
Walaupun ketika itu hanya memerhati perkembangan karier seninya yang bercambah ibarat cendawan tumbuh selepas hujan dari jauh sahaja namun setiap karya seninya tidak pernah terlepas pandang. Sama ada naskhah lakonan mahupun alunan melodi indah nyanyiannya yang berkumandang di corong radio sentiasa melekat di hati.
Dalam hati penulis, peminat sekarang begitu beruntung boleh mengikuti perkembangan artis kesayangan mereka di laman media sosial tanpa sempadan. Mempunyai pakej lengkap sebagai seorang wanita sempurna membuatkan sorotan lensa kamera kehidupan wanita yang berusia 46 tahun ini tidak pernah tersasar jauh daripada pandangan peminatnya.
Sebagai manusia biasa cabaran dan ujian kehidupan mematangkan seseorang dalam menilai sebuah kehidupan. Erra Fazira juga seorang wanita biasa yang sudah dua kali gagal dalam perkahwinan namun tetap optimis mengemudi bahtera kehidupannya dengan harmoni dan seimbang.
Tutur wanita yang mempunyai semangat kental ini buat masa ini fokus kehidupannya ketika ini adalah untuk membesarkan anak tunggal kesayangannya, Engku Aleesya Engku Imran yang sekarang sudah berusia 11 tahun. “As much as possible
saya akan habiskan masa, berdua bersama Aleesya.Agak mencabar juga dalam masa yang begitu terhad saya melakukan pelbagai aktiviti bersama dan dalam masa yang sama mendidik Aleeysa menjadi manusia yang berguna suatu hari kelak. Saya menerapkan elemen keseimbangan dalam mendidik Aleesya dengan memberi pendidikan akademik dan juga agama.
Saya boleh dikategorikan seorang ibu yang garang. Tapi garang saya bukan tidak kena pada tempat. Jika Aleesya membuat salah saya tegur dan berterus-terang tentang kesalahan yang dilakukannya.
Sebagai ibu zaman moden ini, kita perlu berterus terang dengan anak-anak agar mereka tidak membelakangkan kita atau melakukan sesuatu di luar pengetahuan ibu dan bapa,” tutur Erra Fazira.
Tergambar riak ceria di wajah pelantun lagu Yang Terindah Hanya Lah Sementara ini apabila bercerita tentang anak tunggalnya. “Walaupun saya sudah tidak seaktif macam dahulu tetapi saya merencanakan perjalanan hidup mengikut keselesaan diri.
Tawaran yang datang saya tapis dahulu dan lebih mementingkan Aleesya. Mempunyai anak yang sedang membesar, mana mungkin saya akan meninggalkan Aleesya dalam masa yang begitu lama,” kata Erra Fazira.
12.12 nanti awak semua buat apa? basket dah isi ke?
This website uses cookies.