Terbeban Kemurungan, Stres Atau Skizofrenia? Usah Pendam Masalah Kesihatan Mental, Telefon Nombor Ini Segera

Buntu memikirkan masalah, yang lelah menjadi resah, yang difikir-fikirkan akhirnya memakan diri. Selain pakar, tak siapa yang faham bila seseorang dalam kemurungan, stres, skizofrenia malah pelbagai lagi penyakit berkaitan kesihatan mental, justeru penting untuk menanganinya di saluran yang betul.

Salah satu cara terbaik untuk mendapatkan bantuan atau sokongan berkaitan kesihatan mental adalah bercakap dengan individu yang pakar tentangnya. Nona tertarik berkongsi nombor telefon bantuan krisis MIASA yang terbaharu iaitu 1800-1800-66 sepanjang 24 jam, 7 hari seminggu.

Masalah kesihatan mental dan tekanan emosi telah menjadi isu kesihatan awam yang semakin penting, terutamanya setelah wabak COVID-19 melanda negara.

Menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), setakat 10 September 2022, kes bunuh diri di negara ini meningkat 81 peratus dengan 1,142 kes dilaporkan 2021 berbanding 631 kes pada 2020.

Bagi 2022 pula, sejumlah 467 kes bunuh diri telah dilaporkan oleh PDRM sehingga bulan Jun.

Anita Abu Bakar

Sebagai inisiatif bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan dari sudut kesihatan mental, Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) ditubuhkan pada Oktober 2021 dengan visinya untuk menjadi peneraju dalam pendidikan kesihatan mental dan menyokong orang yang mengalami gangguan kesihatan mental.

Jelas MIASA dalam sebuah kenyataan, antara Januari 2023 hingga April 2023, sebanyak 1,923 panggilan dibuat ke talian hotline dan 5,021 panggilan dibuat ke talian pejabat dan nombor MIASA yang lain.

Selain itu, kira-kira 9,936 orang menghubungi organisasi untuk mendapatkan bantuan merentas semua platform lain dalam tempoh masa yang sama.

 

Artikel berkaitan: https://www.nona.my/rakyat-malaysia-pertama-terima-anugerah-metrodora-kerja-keras-anita-abu-bakar-dapat-pengiktirafan-dunia/

 

Dengan kerjasama Yayasan Sime Darby (YSD), MIASA melihat perlunya untuk memindahkan sistem talian bantuan kepada sistem yang baru untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada mereka yang bergelut dengan isu dan cabaran kesihatan mental serta rakyat Malaysia secara amnya.

Dengan sistem yang lebih komprehensif dan menyeluruh ini, perkhidmatan krisis telah diberi nombor baru yang diharapkan lebih mudah untuk diingati dan dihafal.

Poster: MIASA

 

“Apabila seseorang dalam situasi krisis, mereka ingin mendapatkan bantuan secepat yang mungkin, maka kami menasihatkan agar nombor talian krisis ini disimpan dalam senarai kenalan agar mudah untuk diakses sewaktu kecemasan atau menghafalnya terus.” Anita Abu Bakar, Presiden dan Pengasas MIASA

Paling penting, dengan adanya sistem baru ini, Pasukan Krisis daripada MIASA dapat memberi sokongan kepada pemanggil dengan lebih baik melalui operasi yang lebih lancar dan tindak balas yang lebih pantas.

Dikendalikan oleh lebih daripada 150 orang sukarelawan terlatih, Talian Bantuan Krisis MIASA menjawab panggilan menggunakan bahasa Inggeris dan Melayu.

Sesiapa sahaja yang memerlukan seseorang untuk bercakap semasa menghadapi krisis atau untuk mendapatkan sokongan emosi boleh menghubungi talian bantuan ini pada bila-bila masa, kerana ianya beroperasi 24 jam sehari, setiap hari.

 

“Krisis boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Jadi, adalah penting untuk kita menyediakan bantuan dan sokongan kepada mereka yang memerlukan dengan cara yang mudah untuk mereka capai.

Adalah menjadi harapan kami agar mereka yang bergelut dengan isu kesihatan mental akan mendapatkan bantuan dan mendapatkan sokongan daripada sukarelawan kami di talian bantuan krisis MIASA.” Anita Abu Bakar

Talian Bantuan Krisis MIASA boleh dihubungi di 1800-1800-66 mulai 1 Jun 2023, 24/7.

Share
Published by
Norzalina