Keprihatinan dan jiwa murni yang menebal dalam diri Dato’ Dr Hartini Zainudin mendorongnya bergiat aktif dalam dunia kebajikan sejak lebih 30 tahun lalu. Tidak mengharapkan sebarang liputan dan perhatian, jauh sekali pengiktirafan terhadap kerja-kerja kemanusiaan yang dilakukan berdekad lamanya, Dato’ Dr Hartini bagaimana pun bersyukur Yayasan Chow Kit berjaya membantu dan memberi perlindungan kepada 10,000 kanak-kanak sejak ia ditubuhkan.
Selaku Pengasas Yayasan Chow Kit, Dato’ Dr Hartini menjalin kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), agensi kerajaan dan korporat serta beberapa NGO lain demi memastikan misi penubuhannya tercapai.
Berkongsi suka duka menguruskan badan amal itu selama 17 tahun, pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam jurusan Monitoring and Assessment (Education) dari Columbia University, New York ini membuka bicara.
“Yayasan Chow Kit adalah sebuah komuniti yang saling menjaga di antara satu sama lain dan mementingkan hubungan kekeluargaan. Saya sangat sayangkan kanak-kanak. Tak kisah walau apa pun terjadi, saya tetap sayangkan mereka.
Saya beri jaminan yang kanak-kanak di bawah jagaan kami berada dalam keadaan selamat, dijaga dengan baik dan penuh kasih sayang. Ada yang tanya, kenapa kanak-kanak di sini tak nampak kotor dan selalu gembira. Itu bermakna kami buat kerja,” ulas Dato’ Dr Hartini sambil tertawa.
Ditanya mengapa bidang kebajikan kanak-kanak menjadi pilihan sedangkan mempunyai kelulusan tinggi dari luar negara, ini jawapan jujur Dato’ Dr Hartini. “Arwah ayah pernah tanyakan perkara sama kepada saya dulu. Jawapannya mudah, sebab saya ada peluang dan tidak pernah menyangka ada kanak-kanak terpinggir, tak bersekolah dan tak makan di Malaysia.
Saya pernah bekerja dengan United Nations (UN) yang membantu golongan kanak-kanak pelarian tapi saya balik ke Malaysia semula sebab ini cara saya untuk menyumbang kepada masyarakat. Ini juga adalah minat saya dan saya tak boleh masuk ke bidang lain walau dah cuba. Jadi, bidang ini saja yang saya mahu buat.”
Yayasan Chow Kit kini beroperasi di dua buah tempat iaitu Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) dan Kuala Lumpur Krash Pad (KLKP) serta sebuah rumah perlindungan. PAKK menempatkan kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun dengan memberikan mereka persekitaran sihat untuk pembelajaran dan bermain. Sementara KLKP pula dikhaskan untuk golongan remaja berusia 13 hingga 18 tahun.
Lebih tiga dekad bergelumang dalam kerja-kerja kebajikan, pelbagai kisah menyayat hati yang disimpan kemas Dato’ Dr Hartini. Ugutan dan berselisih pendapat dengan pihak berkuasa bagaikan sudah sebati dengan dirinya sepanjang perjuangan murni ini.
“Ada seorang ayah ini cuba jual anak dan dia masuk penjara selama dua bulan. Masa dia keluar 100 kali dalam sehari dia mesej ugut dan ikut saya. Saya terpaksa dapatkan perlindungan daripada polis selama dua minggu. Sudahnya saya terpaksa sembunyikan anak-anak daripada ayah mereka dan saya tak datang kerja selama beberapa bulan.
Mengulas harapan terhadap kanak-kanak di bawah jagaannya andai suatu hari nanti dia tiada lagi di sisi, Dato’ Dr Hartini dalam nada sebak meluah isi hati.
“Saya suka buat kebajikan. Saya mahu kanak-kanak ini buat yang terbaik bukan saja untuk keluarga tetapi juga kepada masyarakat. Saya tak pernah paksa mereka tapi harap-harap ada di antara kanak-kanak yang saya ajar dan jaga ini meneruskan perjuangan saya supaya tiada lagi kanak-kanak yang terpinggir, terbiar dan menderita di negara kita.”
Sepanjang pembabitan dalam bidang ini, Dato’ Dr Hartini terbuka hati mengambil enam orang kanak-kanak sebagai anak angkat. Kini mereka hidup selesa dan menginjak usia remaja selain amat menyayangi insan berjiwa murni ini yang sudah pun dianggap seperti ibu mereka.
This website uses cookies.