Gaya Hidup

Tergamam Tengok Mahligai AIN EDRUCE, Belum 30 Tahun Dah Ada Rumah Besar!

Terpaku dibuatnya bila tengok house tour selebriti popular, Ain Edruce. Dalam usia yang belum mencecah 30 tahun, kemampuan Ain dan suami memiliki rumah indah seperti yang dipaparkan dalam saluran YouTube pengacara tersebut nyata mengundang rasa kagum dalam kalangan peminat. Malah, daripada paparan video berkenaan juga jelas menunjukkan pasangan suami isteri muda ini mempunyai cita rasa yang tinggi, mewah dan elegan dalam menghias ruang kediaman.

Sejak disiarkan di YouTube Ain Edruce pada 19 Ogos lalu, kisah mengenai rumah aktres ini menjadi bualan hangat dan viral di Internet. Rata-rata daripada mereka juga menyifatkan Ain bukan hanya memiliki personaliti mesra dan lucu bahkan dia juga cukup merendah diri kerana jarang bercerita tentang sisi peribadinya kepada umum.

Namun, dek kerana sayang dan menghargai sokongan dan permintaan peminat yang sering memintanya berkongsi suasana ruang kediaman… Ain akhirnya akur merealisasikan hasrat 425 ribu subscribers. Belum pun sampai sebulan ia disiarkan tapi sehingga ke hari ini, video house tour Ain Edruce sudah pun melebihi sejuta tontonan!

Mengintai komen peminat, kebanyakan mereka meluahkan rasa teruja dan menganggap mahligai Ain dan suami tercinta, Amirul Hafiz ini ibarat rumah idaman ramai. Pemilihan perabot, dekorasi dan keluasan rumah elit figura ini sememangnya berjaya mencipta suasana tenang. Ujar Ain, sofa yang diletakkan di rumah tamu rumahnya direka khas mengikut cita rasa dan kesesuaian Ain dan suami.

Paling mencuri tumpuan ialah meja makan yang dibeli pasangan ini. Bukan calang-calang perabot kerana ia diperbuat daripada sebatang pokok besar yang utuh, tahan lama dan cantik. Sampai Ain sangguplah naik dan berdiri di atas meja makan! Semata-mata untuk menunjukkan betapa teguhnya perabot berkenaan. Disebabkan keteguhan dan ketahanannya, Ain mengaku ia dibeli dengan harga yang agak mahal.

Ruang dapur juga tidak kurang hebatnya. Selain memiliki ‘island’ yang diperbuat daripada marmar, perkakasan dapur yang ada di rumah Ain juga berteknologi canggih dan terkini. Ruang dapur mereka turut dibahagikan kepada dua bahagian iaitu dapur basah dan dapur kering.

Menjenguk ke tingkat atas kediaman pula terdapat satu ruang yang masih dalam proses pengubahsuaian selain turut menempatkan ruang tidur utama yang sangat luas, moden dan mewah! Dilengkapi dengan bilik dua bilik air, bersebelahan bilik tidur utama juga telah diubah suai menjadi ruang simpanan baju dan aksesori mereka suami isteri.

Biarpun masih terdapat beberapa sudut rumah yang belum siap dihias, namun keseluruhan mahligai dua tingkat ini sudah cukup mengagumkan. Pendek kata, dah nampak seperti sebuah resort dan hotel bertaraf lima bintang!

Mengimbas kembali detik percintaan Ain dan Amirul, kedua-duanya selamat bergelar tunang pada tanggal 22 Jun 2019 sebelum sah bergelar suami isteri pada 13 Disember tahun yang sama.

Share
Published by
Suzi