Belum terlalu lama selepas Nona melancarkan wajah penghias kulit depan dan belakang edisi Ogos 2017 di media sosial hari ini, perkongsian daripada dua selebriti muda ini terus mencuri hati peminat.
Pasangan Uqasha Senrose dan Fikry Ibrahim sama-sama memuat naik cover Nona yang memaparkan wajah mereka di akaun masing-masing tapi, yang best-nya dengan cara yang sangat kreatif. Tengok ni…
@fikryibrahim Kalau nak taw sapa gadis sebelah abang ni, kena la beli @majalahnona edisi Ogos! Cc : @kiffyrazak_nona
@uqashasenrose2 Kalau nak tau sapa monyet sebelah saya ni jangan lupa dapatkan magazine Nona isu august #Nona
Dan ini pula komen Fikry Ibrahim yang mengundang tawa peminat di akaun milik @uqashasenrose2.
@fikryibrahim Kojaqqq! Saya tak letak gambaq bequk pun
Mungkinkah stiker emoji yang mereka tampal tu sebahagian daripada cara anak muda sekarang usik-mengusik kawan? Apa pun, kami pasti tiada siapa yang ambil hati kerana Uqasha dan Fikry ni memang terkenal suka bergurau, atau lebih tepatnya bergaduh manja semenjak dari set penggambaran drama Hero Seorang Cinderella lagi.
Uqasha Senrose dan Fikry Ibrahim dipilih sebagai wajah penghias kulit belakang Nona untuk isu Ogos 2017 ini. Kedua-duanya dilihat sebagai pelapis muda dalam dunia hiburan yang berbakat besar dan perlu diberi perhatian.
Manakala untuk kulit depan, Nona menggandingkan pasangan ayah dan anak, Datuk Chef Wan dan Serina bercerita pelbagai kisah hidup yang sedang mereka lalui. Jadi jangan lupa dapatkan naskhah istimewa bertemakan ‘Rumah Terbuka & Kemerdekaan’ ini, di pasaran minggu depan.
Wang Bernilai RM 10,000 Lesap, WAFARIENA ROSLAN Ingatkan Wanita Jangan Mudah Percayakan Sesiapa!
Isi Kandungan
ToggleRata-rata wanita yang bekerjaya pastinya mahu menggunakan hasil ‘titik peluh’ setelah membanting tulang empat kerat untuk memilik aset dan keperluan peribadi masing-masing kan? Malah memiliki kenderaan juga seringkali dianggap sebagai ‘reward’ untuk diri sendiri.
Begitu juga yang dialami oleh pelakon jelita yang namanya sedang meningkat naik, Wafariena Roslan.
RM 10,000 Lesap Begitu Sahaja!
Terdahulu, menerusi perkongsiannya di laman Instagram miliknya, pelakon 7 Hari mencintaiku itu pernah menanggung kerugian mencecah RM5,000 akibat ditipu ejen jualan palsu.
Bagaimanapun, setiap apa yang berlaku mempunyai hikmahnya apabila dia kini berjaya memiliki sebuah kereta sendiri jenis Honda Civic RS.
Sebelum ini, Wafariena menggunakan kenderaan milik kakak untuk urusan kerja, penat lelah berbaloi apabila kereta baharu itu sampai ke tangannya pada Ramadan keenam.
Perasaan lebih teruja apabila kenderaan yang dibelinya merupakan kenderaan pertama yang menggunakan namanya sendiri.
Namun begitu, jika tidak berhati-hati dalam melakukan transaksi membeli sebuah kenderaan, kemungkinan untuk ditipu adalah besar apatah lagi jika ia melibatkan kaum wanita.
Bukan Sekali, Tapi Dua Kali Ditipu Ejen
Menceritakan pengalaman ditipu, insiden berkenaan berlaku lebih setahun lalu apabila jurujual terbabit menghilangkan diri selepas menerima sejumlah wang deposit.
“Pengalaman pernah ditipu dua kali dengan orang berbeza sebanyak RM5,000 semasa ingin membeli kereta membuatkan saya trauma. Kali kedua pula saya tertipu dek rakan sekelas apabila terpengaruh dengan sebuah iklan jualan kereta. Lebih menguatkan lagi kepercayaan saya apabila membaca komennya yang baik-baik sahaja.
Bekas peserta Dewi Remaja 2018/2019 ini sempat menitipkan pesanan untuk semua agar tidak mudah percayakan sesiapa walaupun nampak benar. Jika mahukan sesuatu perlu mengkaji terlebih dahulu dan cari sumber yang sahih untuk membantu.
Mengakui bersyukur dengan rezeki kenderaan baharu yang dimilikinya itu, Wafariena memasang azam untuk berkongsi rezeki dengan keluarga tersayang untuk membeli sebuah lagi kereta baharu untuk kegunaan keluarga.
“Sebak bukan sebab sedih tetapi gembira. Benda yang kita penat berusaha, hasil titik peluh dan sokongan ibu akhirnya dapat membeli sebuah kereta lebih besar.
Wafariena merupakan anak keempat daripada tujuh beradik. Ibu bapanya bercerai ketika dia berusia 15 tahun dan sejak itu dia dan adik-beradiknya dibesarkan oleh ibu mereka yang berstatus ibu tunggal.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari NONA.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!
Sumber Foto: Instagram Wafariena Roslan
Sebak Baca Coretan Nadir Al-Nuri, Balik Malaysia Ramai Nak ‘Bergambar’ Kerana Terkenal Di Media Sosial!
Kepulangan Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, satu-satunya rakyat Malaysia di wilayah Palestin ke tanah air baru-baru ini agak berbeza dari sebelum-sebelumnya. Nadir, 35 tahun, pernah mengejutkan negara berkaitan kontroversi berkaitan sumbangan dana ke tanah Al-Aqsa itu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa tahun lepas.
Bagi yang mengenali Nadir, pasti maklum akan peribadinya yang cukup tenang dan menyenangkan. Pengasas Cinta Gaza Malaysia ini merupakan seorang yang suka membantu dan berbuat amal kebajikan, malah Nadir juga anak seorang ahli akademik terkenal bertaraf profesor serta dilahirkan di Scotland.
Seorang yang terpelajar, Nadir merupakan bekas mahasiswa Asasi Sains UM, graduan Ijazah Sains Marin (UMS), Diploma Syariah dan Bahasa Arab (Kolej Antarabangsa Damsyik) dan Ijazah Sarjana Muda Syariah (Universiti Islam Gaza).
Lelaki yang mengahwini balu syahid Palestin itu turut berkongsi satu coretan yang menyentuh hati. Selain kisah viral yang pernah ‘melonjakkan’ nama Nadir, lelaki hebat ini rupanya disanjung tinggi oleh masyarakat Malaysia. Jom hayati kata-kata beliau…
“Saya mengambil masa agak lama untuk menulis tentang ini tetapi terlalu banyak pihak yang berjasa sampai saya merasakan kewajipan melahirkan rasa terima kasih kepada mereka.
Setelah 10 tahun berada di Palestin tipulah kalau saya tak menilai 10 tahun tersebut dan membisik di dalam hati kalaulah ia digunakan di tempat lain. Kalau digunakan untuk membangunkan bisnes mungkin saya sudah menjadi kaya. Kalau dibangunkan untuk melebarkan sayap kemanusiaan mungkin saya sudah menjejak majoriti negara di dunia. Kalau digunakan untuk menuntut ilmu di universiti idaman mungkin saya sudah bergelar Dr.
Tetapi saya ditakdirkan untuk menanam benih di bumi barakah ini, yang pucuknya mula kelihatan selepas 10 tahun.
Dalam dua tahun terakhir, ia tempoh yang paling sukar untuk saya di sini. Dua tahun tidak balik ke Malaysia membuatkan setiap hari saya membelek laman-laman tempat peranginan dalam negara lalu menutup mata membayangkan berada di sana , berehat seketika.
Kemudian saya membuka group whatsapp keluarga membaca apa yang sedang keluarga lakukan bersama sedang saya berada kejauhan, kerinduan sambil mengenang bila dapat bertentang mata.
Di waktu tohmah dan fitnah meribut pasca perang tahun lepas saya berada dalam keadaan depresi yang teruk lebih-lebih lagi bidadari dan ahli keluarga di sini tak memahami pun hebatnya terjahan netizen yang melanda, mereka hanya nampak saya terjelupuk di bucu katil sambil mengesat air jernih yang tumpah mengalir ke pipi tanpa memahami apa yang boleh dilakukan untuk memujuk saya.
Tetapi betullah, dengan izin Allah, what doesn’t kill you makes you stronger.
Setelah 10 tahun berada di Palestin kepulangan saya ke tanah air baru-baru ini berbeza. Bukan semata-mata kerana sudah 2 tahun tak bertemu ahli keluarga dan kenalan tetapi lebih besar kerana ‘tercampak’ ke pentas utama walaupun dukacitanya, ia tak bermula dengan sebab perjuangan Palestin.
Tetapi begitulah kehendak Allah, dibukakan mata dan hati mereka yang dikasihi melalui apa cara yang dikehendakiNya.
Daripada langkah kaki pertama turun dari perut pesawat di ibu negara, saya mendengar ‘ground personnel’ berbisik, eh, tu Nadir yang di Gaza tu kan? Kemudian saya disapa pihak Kementerian Kesihatan yang bertugas bertanyakan khabar, diajak bergambar dengan pasukan medik yang melakukan ‘swab test’ sampailah ditegur kakitangan Jabatan Imigresen yang menguruskan pasport kecemasan.
Sepanjang berada di kuarantin puluhan peniaga menghantar mesej untuk membiarkan saya merasa produk mereka, hanya belasan yang sempat saya review dan kongsikan tentangnya. Setelah ‘merdeka’ saya bertemu pula puluhan insan yang sebelum ini hanya dikenali di medan maya begitu juga yang memberikan sokongan tanpa pernah bersua.
Ketika itu saya tahu bahawa rupanya wajah saya dikenali ramai rakyat Malaysia, sama ada yang menegur atau yang menjauhkan diri dengan sebab peribadi mereka.
Semasa itu saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah bukan kerana saya dikenali, tetapi kerana Allah telah membuka mata masyarakat untuk isu Palestin melalui batang tubuh saya.
Ia bukan perjalanan yang pendek, 10 tahun daripada usia di tempoh ‘emas’ kehidupan, bermula umur 26 tahun sehingga 35 tahun dihabiskan di sini, setiap hari, setiap masa untuk bumi ini.
Untuk kalian yang sempat saya santuni dan yang tak sempat saya temui, nukilan ini untuk kalian. Kalian yang menyokong saya selama ini atau yang baru mengenali, kalian yang meniup semangat sampai saya tak tumbang dan terus berdiri, kalian yang punyai jutaan pengikut atau yang hanya dikenali makhluk langit.
Untuk kalian semula, dari sedalam hati saya, terima kasih kerana terus menyokong Nadir Al-Nuri. Terima kasih kerana mengetuk hatinya dengan budi kalian dan paling penting, terima kasih kerana membolehkan insan kerdil ini terus bertapak untuk Palestin.
Saya tak akan lama di sini tetapi biarkan waktu-waktu terakhir ini diisi dengan saham pahala kita bersama.
Biarkan jejak kita tinggal agar ia diinjak generasi baru yang akan mewarisi perjuangan ini.
Semoga Allah memberkati kalian.” Nadir Al-Nuri
‘Nampak Kaya & Rezekinya Juga Mudah’ Membezakan ISTIDRAJ Atau Kurniaan Allah SWT
Kurniaan Allah SWT biasanya diisi sebelum dan selepasnya dengan ketaqwaan, kebaikan dan ketaatan. Hal ini sepertimana seseorang yang rajin melakukan solat malam, rajin bersedekah, rajin melakukan solat dhuha, kemudian Allah SWT melimpah ruahkan rezekinya. Maka itu dinamakan sebagai kurniaan atau karamah.
Namun orang yang berterusan melakukan maksiat, tidak mengerjakan sembahyang lima waktu dan derhaka kepada-Nya, namun dia kelihatan kaya dan rezekinya juga mudah, maka inilah yang dinamakan istidraj.
Bagaimana untuk membezakan antara istidraj dengan kurniaan Allah SWT?
“Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Di dalam Mu’jam al-Lughah al-‘Arabiyah (1/734), disebut maksud istidraj secara bahasa adalah diambil daripada perkataan da-ra-ja (درج) yang ertinya adalah naik dari satu tingkatan ke tingkatan selanjutnya. Manakala istidraj daripada Allah SWT terhadap hamba difahami sebagai ‘hukuman’ yang diberikan sedikit demi sedikit dan tidak diberikan langsung. Allah SWT membiarkan seseorang dan tidak disegerakan azabnya. Firman-Nya:
سَنَسْتَدْرِجُهُم مِّنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.”
Surah al-Qalam (44)
Al-Hasan berkata: “Betapa ramai orang yang terkena fitnah dengan cara dipuji dan betapa ramai orang yang terpedaya dengan cara ditutupi aibnya.” (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 18/251 dan Tafsir al-Siraj al-Munir, 4/264)
Sahl bin Abdullah mentafsirkan ayat di atas dengan maksud: “Nikmat-nikmat yang diberikan akan menyebabkan mereka lupa bersyukur.” (Lihat al-Bahr al-Madid, 2/581)
Al-Razi berkata: “Istidraj ialah dengan meminta kurnia turun kepadanya satu darjat kepada darjat yang lain sehingga mereka terpedaya. Tatkala mereka melakukan dosa, Allah SWT menambahkan lagi nikmat sehingga melupakan mereka daripada istighfar.” (Lihat al-Tafsir al-Kabir, 15/77)
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada ‘Uqbah bin ‘Amir R.A, Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا رَأَيْتَ اللهَ تَعَالَى يُعْطِي الْعَبْدَ مِنَ الدُّنْيَا مَا يُحِبُّ وَهُوَ مُقِيمٌ عَلَى مَعَاصِيْهِ فَإِنَّمَا ذَلِكَ مِنهُ اسْتِدْرَاجٌ
Maksudnya: “Apabila kamu melihat Allah SWT memberi kepada hamba daripada (perkara) dunia yang diinginkannya, sedangkan dia terus melakukan maksiat kepada-Nya, maka (ketahuilah) bahawa perkara itu adalah istidraj dari Allah SWT.”
Riwayat Ahmad (17311), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4220)
dan al-Tabarani dalam al-Ausat (8/110)
Mulla Ali al-Qari berkata: Apabila kamu melihat Allah SWT mengurniakan kepada seorang hamba dari kekayaan dunia, sedangkan dia melakukan maksiat, maka asbab yang didapati melalui kurniaan tersebut adalah sebagai istidraj dan tipudaya. Benarlah firman Allah SWT: “سَنَسْتَدْرِجُهُم مِّنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ” yang membawa maksud “Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.” (Lihat Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, 9/396)
Allah SWT berfirman:
فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّىٰ إِذَا فَرِحُوا بِمَا أُوتُوا أَخَذْنَاهُم بَغْتَةً فَإِذَا هُم مُّبْلِسُونَ
Maksudnya: Ketika mereka tidak mengambil pelajaran dari kemiskinan dan sakit yang Kami timpakan kepada mereka, Kami uji mereka dengan rezeki yang banyak. Kami bukakan semua pintu untuk memperoleh rezeki tersebut. Hingga, pada saat mereka senang dan tidak bersyukur dengan apa yang Kami berikan kepada mereka, datanglah azab dengan tiba-tiba. Maka mereka lalu bingung, putus asa, dan tidak mendapatkan jalan keselamatan.
Surah al-An’am (44)
Di dalam Tafsir al-Jalalain disebut, “Ketika mereka meninggalkan peringatan yang diberikan kepada mereka, tidak mahu mengendahkan peringatan tersebut, Allah SWT membuka kepada mereka segala pintu nikmat sebagai bentuk istidraj kepada mereka. Sehinggalah mereka berbangga berkenaan hal itu dengan sombongnya. Kemudian kami seksa mereka dengan tiba-tiba. Lantas mereka pun terdiam dari segala kebaikan.” (Lihat Tafsir al-Jalalain, 2/340)
Ibnu ‘Athaillah al-Sakandari dalam kitab al-Hikam berkata bahawa hendaklah seseorang merasa takut jika dia selalu mendapat kurniaan dan kebaikan daripada Allah SWT, sedangkan dia masih tetap melakukan maksiat kepada-Nya. Kata beliau:
خَفْ مِنْ وُجُودِ إِحْسَانِهِ إِلَيْكَ، وَدَوَامِ إِسَاءَتِكَ مَعَهُ أَن يَكُونَ ذَلِكَ إِسْتِدْرَاجًا لَكَ، سَنَسْتَدْرِجُهُمْ مِنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ
Maksudnya: Hendaklah kamu berasa takut jika kamu terus memperoleh kurniaan Allah SWT sedangkan kamu masih berterusan melakukan maksiat kepada-Nya. Ini kerana, ia boleh jadi satu istidraj (pesona dan tipudaya) sepertimana firman-Nya: ““Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.” (Surah al-Qalam, ayat 44)
Syekh Zarruq berkata, “Wahai para murid, takutlah terhadap kurniaan-Nya kepadamu dalam bentuk kesihatan, kelapangan, rezeki yang melimpah ruah, di tengah-tengah kederhakaanmu terhadap-Nya berupa kelalaian dan kecuaian.” (Lihat Iqaz al-Himam fi Syarh al-Hikam, hlm. 101)
Justeru, marilah sama-sama kita sentiasa meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT selaras dengan firman-Nya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّـهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Surah Ali Imran (102)
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan